10 Januari, 2009

Intifada Dan Rindu Hakiki

بسم الله الرحمن الرحيم
Dengan nama Allah Yang Maha Pengasih, Maha Penyayang

Alhamdulillah pagi ini, masih diberi kesempatan oleh Allah S.W.T untuk menghirup udara yang segar..bersyukur kepada Allah, bumi Malaysia masih lagi aman..hari ini, sambil membaca akhbar di internet, terjumpa satu artikel bertajuk "Intifada Dan Rindu Hakiki"..entah kenapa bergenang airmata tatkala mebaca artikel daripada akhbar Kosmo Online ini...Saya ingin berkongsi artikel tersebut bersama-sama sahabat-sahabat di sini..


INTIFADA DAN RINDU HAKIKI

Oleh HAMZAH ABDUL HAMID dan FATIMI NADIAH ZAINUDEEN

Biarpun kekejaman Israel terhadap penduduk Palestin terus berlarutan, penduduk asal bumi berdarah itu tidak putus berdoa dan mengharapkan ia kembali dirahmati keamanan.



PERNAH menetap di Amerika Syarikat (AS) selama lebih empat tahun seraya mengikuti suami yang dilantik menjadi imam di sana, Kefah Kamel Ahmad Abu-Hannoud, 40, menyaksikan kesungguhan dan susah payah rakyat negara kuasa besar itu hanya untuk membantu anjing dan kucing liar.

Mengakui penduduk AS kebanyakannya baik hati, namun apabila berbicara tentang Palestin, masing-masing mendiamkan diri atau menutup mata.

"Adakah kami lebih hina dan rendah daripada anjing dan kucing liar?" tanya Kefah. Nada sebaknya meruntun jiwa. Ada masa dan ketikanya Kefah hanya terdiam dan termenung jauh.

Apa yang berlaku, kata Kefah, tidak adil. Rakyat Palestin juga salah satu komuniti di dunia yang mempunyai hak yang sama untuk hidup di muka bumi.

"Isreal bukan saja membunuh penduduk Palestin, tetapi juga ekonomi, politik dan pendidikannya," katanya.

Dilahirkan di kampung Asira Utara berdekatan Nablus, darah Palestin mengalir pekat di dalam tubuhnya. Namun pelajar di Kulliyah Ilmu Wahyu dan Sains Manusia, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) di Gombak ini mengatakan beliau tidak mempunyai sebarang ingatan tentang negara asalnya itu kerana tidak pernah melihat bumi Palestin.

"Keluarga saya diusir keluar dari Palestin sehelai sepinggang sejak lebih 40 tahun lalu. Moyang saya yang dulu berharta terpaksa memulakan semula hidupnya di Jordan tanpa apa-apa. Kini kampung saya di Jordan dan kami hanya menyewa saja di sana," jelasnya sambil menambah lebih 70 peratus penduduk Jordan adalah pelarian Palestin.

Lantaran itu, setiap kali membaca atau mendengar berita tentang nasib Palestin, emosinya mudah tersentuh.

"Seperti umat Islam yang lain, saya juga marah dengan apa yang sedang berlaku. Anak-anak yang kehilangan ibu bapa terbiar tanpa sokongan. Yang kehilangan harta benda, bergelut setiap hari untuk terus hidup. Hendak membina semula kehidupan, tempat mencari nafkah juga sudah musnah.

"Orang Palestin di Palestin sendiri tidak percaya apa yang mereka sedang alami," katanya. Kefah menambah, separuh daripada keluarganya masih menghuni bumi bergolak itu, membuatkan tidur malamnya jarang lena.

"Ada malam yang saya tidak dapat lena langsung. Menangis saja dan terfikir-fikir apalah yang dapat dilakukan untuk membantu mereka sekeluarga. Siapa yang sanggup lihat keluarga sendiri diperlakukan begitu," ujarnya lagi.


SERUAN kemanusiaan dan kecaman terhadap kezaliman Israel dan sekutunya datang dari setiap penjuru dunia. Namun semua itu tidak mampu memberi kekuatan kepada rakyat Palestin melainkan semangat Intifada itu sendiri.

Kalau Iraq diserang kerana minyaknya, Palestin, Kefah percaya, diserang kerana kekuatannya sebagai pusat melahirkan ilmuan.

"Dahulu di Palestin, tiada keluarga yang tidak ada pemegang ijazah sarjana. Semuanya berpendidikan. Kami percaya ilmu adalah senjata yang lebih kuat. Malah, sebahagian besar daripada kami mempelajari bahasa dan tulisan Hebrew," jelasnya yang kini melanjutkan pengajian ke peringkat ijazah doktor falsafah bersama-sama suami.

Sayangnya pada hari ini, senario itu berubah - kini sukar sekali hendak ditemukan rakyat Palestin yang tidak pernah masuk penjara.

"Sejak Palestin dijajah, anak-anak yang belum mencecah 16 tahun juga disumbat ke penjara, hanya kerana hakim percaya mereka boleh mendatangkan bahaya. Ada yang dikurung tanpa sebab sehingga dua tahun," luah Kefah dalam cebisan amarah.

Abang Kefah yang kini menetap di AS baru-baru ini pulang ke Jordan menjenguk ibu tercinta. Dalam perjalanan, dia melawat hospital tempat pelarian Palestin dirawat. Menurut abangnya, pelarian-pelarian berkenaan kedengaran terlalu mengharap.

"Mereka tercedera, kehilangan keluarga dan harta benda, tetapi mereka masih mengucapkan syukur ke hadrat Ilahi. Berulang kali mereka melafazkan Alhamdulillah. Mereka percaya Tuhan pasti menolong mereka," cerita Kefah.

Kefah dan suaminya, Naser Younes Hasan Al-Kisnawy, 41, sering berhubung dengan keluarga di Jordan.

"Mereka memerlukan lebih daripada sokongan moral. Kalau ada yang sanggup beri biasiswa kepada anak-anak Palestin atau menolong merawat kecederaan yang dialami mangsa serangan, itu sudah cukup membantu," kata Naser.

Naser yang pernah berkunjung ke Indonesia memuji tindakan sekolah-sekolah di sana yang mengadakan ceramah tentang Palestin kepada pelajar tempatan. Langkah ini disifatkannya tepat kerana pada hakikatnya masih banyak bahagian dunia yang tidak mengetahui keadaan sebenar.


KELUARGA Kefah Kamel Ahmad Abu-Hannoud (kiri) dan suami, Naser Younes Hasan Al-Kisnawy diusir keluar dari negara mereka sendiri sejak 40 tahun lalu.

Sebagai anak jati yang membesar di Palestin, Naser masih ingat rumah agam milik neneknya di Baitulmaqdis. Dirampas askar Yahudi, mereka sekeluarga bukan saja tidak dapat kembali ke rumah itu, malah melihat ke arahnya pun tidak diizinkan. Sedangkan pada rumah itulah segala harta mereka dibelanjakan.

"Penduduk Palestin berilmu. Tanahnya subur dan dapat menghasilkan tanaman yang baik. Penanaman pokok buah zaitun dan penghasilan minyak zaitun juga rancak. Pendek kata ada banyak ladang di sana. Lembu dan kambingnya pula hidup sihat," kenang Naser yang berasal dari Bait Aqsa, Baitulmaqdis.

Namun kini, muka bumi Palestin hanya berlandskapkan serpihan bangunan dan bahan letupan. Udaranya dipenuhi hanyir darah yang terus tumpah. Pemandangannya berhiaskan bangkai mayat yang bergelimpangan.

Biarpun kezaliman itu disedari rumpun bangsa Arab yang lain, tiada pula yang tampil membela sepenuh hati. Kalau pun kecaman negara-negara sedunia tidak memberi sebarang makna kepada Israel dan sekutunya, apa pula pendirian dan tindakan jiran terdekat seperti Jordan, Mesir dan Syria?

"Pernahkah kita terfikir kalau-kalau keputusan pilihan raya yang melantik pemerintah di setiap negara-negara tersebut mempunyai pertalian tersembunyi dengan Amerika Syarikat?" kata Dr. Radwan Jamal Hussein, 46.

Menurut pensyarah Pengajian al-Quran dan Sunnah, Kulliyyah Ilmu Wahyu dan Sains Manusia UIAM itu, Israel, Amerika dan sekutu mereka yang lain amat berwaspada dengan gerakan Intifada di Palestin.


DEMONSTRASI aman di hadapan Kedutaan Amerika Syarikat di Jalan Tun Abdul Razak, Kuala Lumpur ini ditempuh oleh penulis Jumaat lalu dalam perjalanan menemu ramah Kefah, Kamel dan Dr. Radwan di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia di Gombak

Intifada yang berjaya bermakna eksperimen yang sama boleh dibuat di kalangan rakyat negara-negara jiran Palestin demi kebangkitan Islam keseluruhannya.

"Apabila itu berlaku, kedudukan pemerintah di negara-negara acuan Amerika boleh terjejas," terangnya yang turut berpendapat kedaulatan Palestin sengaja diganggu gugat kerana musuh Islam seakan mahu memisahkan hubungan geografi antara Islam Asia Timur dengan Islam di Asia Tengah dan Afrika.

"Intifada mengajar generasi Palestin untuk tidak takut kepada sesiapa kecuali Allah. Katakan pada saya, apakah yang membuatkan anak-anak kecil Palestin berani berdiri di hadapan kereta kebal dan hanya menggenggam beberapa butir batu untuk dilontar? Itulah keberanian yang tidak dimiliki oleh mana-mana generasi dalam dunia," ujarnya yang berasal dari Jenin.

Askar Yahudi ada di mana-mana. Bila-bila saja orang Palestin boleh ditahan untuk disoal siasat, dikurung berjam-jam atau diseksa tanpa sebab. Kalau mereka bersuara atau membantah, tentera Yahudi ada 'lesen' untuk membunuh.

Pemeriksaan di sempadan adalah proses yang mendera emosi dan fizikal. Tentera Yahudi akan memeriksa secara menyeluruh, termasuk memaksa orang menanggalkan semua pakaian. Kalau melihat orang yang bermisai dan berjanggut, pasti serta-merta mereka dilabel pengikut Hamas.

"Sebab itulah sudah 17 tahun tidak pulang ke Palestin. Kalau saya berbuat demikian, saya mungkin tidak lagi boleh keluar dari Palestin, apatah lagi untuk kembali ke Malaysia. Entah-entah saya akan dipenjara.

"Setiap tiga tahun, saya diberikan tiket untuk pulang ke tanah air. Tetapi saya tidak pernah kembali ke Palestin sejak 1999. Keadaan di sana terlalu sulit," luahnya kecewa.

Selain serangan senjata dan bom, strategi Zionis meliputi usaha menafikan hak rakyat Palestin untuk bersekolah, keluar berjalan dan bekerja. Mengebom bangunan dan masjid serta membunuh wanita dan anak-anak sudah dianggap satu permainan biasa.

"Kalau kami melawan kerana mempertahankan hak kami, dengan mudah kami dianggap sebagai pengganas. Tapi siapa sebenarnya pengganas?" soal Radwan tegas.


DR. RADWAN menjadikan ilmu sebagai saluran membebaskan diri. Pensyarah pengajian al-Quran dan Sunnah ini merupakan lulusan Universiti Jordan di peringkat sarjana muda, UIAM (sarjana) dan Universiti Kebangsaan Malaysia (doktor falsafah).


Tidak cukup dengan melumpuhkan bekalan makanan dan bantuan perubatan, hendak bercucuk tanam bagi mengisi perut pun boleh menyemarakkan api dengki dan kejam di mata tentera Yahudi.

"Kalau kami menanam sayur, mereka akan merosakkannya apabila ia mula tumbuh. Bagi tanaman bermusim pula, mereka akan merosakkannya menjelang hari menuai hasil," kata Radwan.

Walaupun ruang ingatan Radwan sesak dengan gambaran menakutkan, dia dan keluarganya masih ingin kembali bersama-sama ke Palestin untuk bertemu sanak saudara. Seingat mereka, Palestin adalah bumi yang paling indah.

"Indah di Palestin itu bukan dinilai pada luarannya, tetapi indah kerana rahmat dan keberkatan yang ia miliki. Allah menjadikannya bumi yang dirahmati. Dalam al-Quran juga disebut sebanyak tujuh kali. Palestin ialah bumi barakah," katanya.

Walaupun kini status dirinya dihormati sebagai pensyarah di salah sebuah universiti terunggul, kelima-lima anaknya mendapat tempat dalam institusi pengajian tinggi di Malaysia serta melayari kehidupan yang selesa, namun semua itu belum dapat menandingi harapan untuk mengecapi nikmat di tempat asalnya.

"Saya merindui setiap sudut di bumi Palestin, pada setiap batang pokok dan jalan-jalannya. Saya rindu untuk bersembahyang di Masjid Al-Aqsa," ujar Radwan yang tidak dapat menyembunyikan lara hatinya.

"Merindui Palestin sama seperti anda merindui ibu sendiri. Anda tidak mahu kehilangannya. Palestin ibarat ibu yang anda cintai."


p/s: Sumber artikel ini daripada kosmo online:

http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2009&dt=0111&pub=Kosmo&sec=Rencana_Utama&pg=ru_01.htm

Marilah sama-sama kita berdoa, semoga Allah melindungi sahabat-sahabat seagama kita di Palestin, semoga Allah melaknat Israel..semoga kemenangan buat umat Islam di Palestin..Aminn..

Semoga yang baik itu datangnya daripada Allah S.W.T dan yang buruk itu datangnya daripada kelemahan diri ini jua..


Nurhuda_cahayapetunjuk
13 Muharram 1430H / 10 Januari 2009

6 ulasan:

Ibnurashidi berkata...

Setiap kali kisah Palestin tersiar pasti saya terasa pilu..sedih dengan nasib umat Islam sendiri yang tidak mampu merampas kembali tanah suci yang pernah di sebut dalam Quran berulang kali itu...

Saya teramat merindukan Salahuddin Al-Ayubi dan Saidina Khattab kedua kembali.

nurhuda_cahayapetunjuk berkata...

Betul akhie..

Hanya doa yang mampu kita panjatkan..doa kepada Allah adalah senjata yang paling tajam bagi orang Islam...sedih melihat merekan menjadi pelarian di bumi sendiri lebih2 lagi bumi yang subur dan penuh dgn rahmat Allah..
Mudah-mudahan bumi rahmat Allah itu kembali bersinar tidak lama lagi..

Marilah kita panjatkan doa, buat bekalan mereka melawan kekejaman zionis yang durjana..

fazemy berkata...

Masih ramai lg rakyat Msia yg x tahu psl palestin ni. patut buat mcm kat Indonesia tu. adakan ceramah2 psl palestin ni kat pelajar skolah. org msia cakap nk boikot brg usa..tp Mcd, KFC masih penuh lagi org dtg makan. sedih.

Sheikh Helmi berkata...

Israel la'natullahhia'laih... Doa kami sentiasa bersama pejuang & syuhada' terutamnya di Palestin,amin.. Takbir!!!

nurhuda_cahayapetunjuk berkata...

fazemy..

Betul yang anda cakapkan itu, masih ramai yg tidak tahu pasal palestin..mugkin inilah tugas kita membantu menyebarkan info supaya mereka dapat mengetahui penderitaan rakyat-rakyat palestin..boikot barangan Israel dan sekutunya terutama USA, itulah cara boleh membantu sahabat-sahabat di Palestin selain doa juga penting bagi senjata yang ampuh dan tajam melawan serngan Yahudi laknatullah...semoga Allah memperkenankan doa2 org yang teraniaya...

nurhuda_cahayapetunjuk berkata...

Sheikh Helmi...

Aminn...semoga doa2 kita semua buat mereka dimakbulkan Allah , semoga Allah memberi kemenangan buat umat Islam..

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails

YA ALLAH...

YA ALLAH...

INDAHNYA....


I made this widget at MyFlashFetish.com.