30 Disember, 2008

Rasulullah S.A.W Dan Pengemis Yahudi Buta

بسم الله الرحمن الرحيم
Dengan nama Allah Yang Maha Pengasih, Maha Penyayang

Di sudut pasar Madinah Al-Munawarah seorang pengemis Yahudi buta hari demi hari apabila ada orang yang mendekatinya ia selalu berkata ,

"Wahai saudaraku jangan dekati Muhammad, dia itu orang gila, dia itu pembohong, dia itu tukang sihir, apabila kalian mendekatinya kalian akan dipengaruhinya".

Setiap pagi Rasulullah S.A.W mendatanginya dengan membawa makanan, dan tanpa berkata sepatah kata pun Rasulullah SAW menyuap makanan yang dibawanya kepada pengemis itu walaupun pengemis itu selalu berpesan agar tidak mendekati orang yang bernama Muhammad. Rasulullah S.A.W melakukannya hingga menjelang Baginda S.A.W wafat. Setelah kewafatan Rasulullah tidak ada lagi orang yang membawakan makanan setiap pagi kepada pengemis Yahudi buta itu.

Suatu hari Abu Bakar r.a berkunjung ke rumah anaknya Aisyah r.ha. Beliau bertanya kepada anaknya,
"Anakku adakah sunnah kekasihku yang belum aku kerjakan",

Aisyah r.ha menjawab pertanyaan ayahnya,

"Wahai ayah engkau adalah seorang ahli sunnah hampir tidak ada satu sunnah pun yang belum ayah lakukan kecuali satu sunnah saja".

"Apakah Itu?", tanya Abu Bakar r.a.

"Setiap pagi Rasulullah S.A.W selalu pergi ke hujung pasar dengan membawakan makanan untuk seorang pengemis Yahudi buta yang berada di sana", kata Aisyah r.ha.

Keesokan harinya Abu Bakar r.a. pergi ke pasar dengan membawa makanan untuk diberikannya kepada pengemis itu. Abu Bakar r.a mendatangi pengemis itu dan memberikan makanan itu kepada nya.

Ketika Abu Bakar r.a. mulai menyuapnya, si pengemis marah sambil berteriak,
"Siapakah kamu ?".

Abu Bakar r.a menjawab, "Aku orang yang biasa".

"Bukan !, engkau bukan orang yang biasa mendatangiku", jawab si pengemis buta itu.

"Apabila ia datang kepadaku tidak susah tangan ini memegang dan tidak susah mulut ini mengunyah. Orang yang biasa mendatangiku itu selalu menyuapiku, tapi terlebih dahulu dihaluskannya makanan tersebut dengan mulutnya setelah itu ia berikan pada ku dengan mulutnya sendiri", pengemis itu melanjutkan perkataannya.

Abu Bakar r.a. tidak dapat menahan air matanya, ia menangis sambil berkata kepada pengemis itu,
"Aku memang bukan orang yang biasa datang pada mu, aku adalah salah seorang dari sahabatnya, orang yang mulia itu telah tiada. Ia adalah Muhammad Rasulullah S.A.W".

Setelah pengemis itu mendengar cerita Abu Bakar r.a. dia pun menangis dan kemudian berkata,

"Benarkah demikian?, selama ini aku selalu menghinanya, memfitnahnya, ia tidak pernah memarahiku sedikitpun, ia mendatangiku dengan membawa makanan setiap pagi, Baginda begitu mulia.... "

Akhirnya pengemis Yahudi buta tersebut bersyahadat dihadapan Abu Bakar r.a.

Begitulah mulianya Rasulullah S.A.W. Sifat-sifat terpuji Rasulullah menjadi contoh tauladan yang baik kepada seluruh umat Islam di seluruh pelusok dunia.

Semoga yang baik itu datangnya daripada Allah S.W.T dan yang buruk itu datangnya daripada kelemahan diri ini jua..

Nurhuda_cahayapetunjuk
2 Muharram 1430H / 30 Disember 2008

29 Disember, 2008

Kek Gula Hangus Kukus Sempena Maal Hijrah

بسم الله الرحمن الرحيم
Dengan nama Allah Yang Maha Pengasih, Maha Penyayang

Alhamdulillah sempena cuti Maal Hijrah ini, ramai ada di rumah, di kesempatan ini, saya menyediakan Kek Gula Hangus Kukus untuk santapan berbuka puasa sempena awal muharram ini..inilah hasilnya, resepi daripada Majalah Saji..kek ini memang kegemaran saya,



BAHAN-BAHAN :
500gm gula
400ml air
3 sudu besar penuh majerin
3 sudu besar susu pekat
1 sudu besar soda bikarbonat
1 sudu esen vanilla
6 biji telur
250 gm tepung gandum


CARA MENYEDIAKAN:

1. Gula dimasak di dalam periuk sehingga kekuningan. Kemudian masukkan air sehingga menjadi gula hangus. Kemudia ketepikan dan biarkan ia suam.

2. Satukan majerin, susu pekat, telur, soda bikarbonat dan esen vanilla ke dalam bekas. Pukul sehingga sebati.

3. Masukkan semua tepung dan kacau sehingga rata.

4. Tuangkan gula hangus dan kacau sehingga sebati.

5. Kemudian masukkan bahan ke dalam acuan.

6. Kemudian masukkan ke dalam pengukus dengan api yang sederhana. (Sebelum acuan dimasukkan, pengukus dipanaskan dahulu)

Selamat Mencuba...

Semoga yang baik itu datangnya daripada Allah S.W.T dan yang buruk itu datangnya daripada kelemahan diri ini jua..

Nurhuda_cahayapetunjuk
1 Muharram 1430H / 29 Disember 2008

27 Disember, 2008

Doa Awal Dan Akhir Tahun

بسم الله الرحمن الرحيم
Dengan nama Allah Yang Maha Pengasih, Maha Penyayang

Akhirilah tahun 1429H dengan baik dan mulakanlah tahun 1430H dengan azam dan semangat yang baru demi kasih dan cinta kita kepada Allah S.W.T...Alhamdulillah ku bersyukur kepadaMU..

Doa Akhir Tahun dibawah ini, dibaca 3 kali pada akhir waktu Asar atau sebelum masuk waktu Maghrib pada akhir bulan Zulhijjah. Sesiapa yang membaca doa ini, Syaitan berkata:

“Kesusahan bagiku dan sia-sia lah pekerjaanku menggoda anak Adam pada setahun ini dan Allah binasakan
aku satu saat jua. Dengan sebab membaca doa ini, Allah ampunkan dosanya setahun”


Dan Doa Awal Tahun di bawah ini, dibaca 3 kali selepas maghrib pada malam satu Muharram. Sesiapa yang membaca doa ini, Syaitan berkata:

“Telah amanlah anak Adam ini daripada godaan pada tahun ini kerana Allah telah mewakilkan
dua Malaikat memeliharanya daripada fitnah Syaitan”.


InsyaAllah..sama-samalah kita beramal..

Semoga yang baik itu datangnya daripada Allah S.W.T dan yang buruk itu datangnya daripada kelemahan diri ini jua

Nurhuda_cahayapetunjuk

29 Zulhijjah 1429 / 27 Disember 2008

25 Disember, 2008

Ahlan Wasahlan Ya Muharram

بسم الله الرحمن الرحيم
Dengan nama Allah Yang Maha Pengasih, Maha Penyayang

Alhamdulillah bersyukur jkepada Allah S.W.T, masih dihidupkan sehingga hari ini, dapat menikmati alam ciptaan Allah ini.
Bulan Muharram bakal menjelma..Ahlan Wasahlan Ya Muharram..

InsyaAllah sedikit yang ingin saya berkongsi bersama-sama sahabat-sahabat di sini berkaitan amalan dan kelebihan bulan Muharram..


Amalan & Kelebihan Bulan Muharram

1) Sabda Rasulullah S.A.W; " Seutama-utama sembahyang selepas sembahyang fardhu adalah sembahyang di waktu malam, dan seutama-utama puasa selain puasa bulan ramadhan adalah pada bulan Allah yakni Muharram" (Riwayat Muslim)

2) Saidina Ali Bin Abi Talib K.W. berkata: " Jika kamu ingin berpuasa sesudah puasa ramadhan, berpuasalah pada bulan Muharram sebab bulan itu adalah bulan Allah. Pada bulan itu, Allah telah memberikan suatu taubat pada suatu kaum dan Allah tetap memberikan taubat kepada yang lain-lainnya"

3) Pada hari Asyura' juga kita digalakkan memperbanyakkan sedekah, berdoa dan menggembirakan lagi hati keluarga dengan pertemuan keluarga.

4) Ibnu Abbas R.A telah berkata, Rasulullah S.A.W telah bersabda, "Barangsiapa telah berpuasa pada hari Asyura (10 Muharram), maka Allah S.W.T akan memberi kepadanya pahala 10,000 Malaikat. Sesiapa yang berpuasa pada hari Asyura akan diberi pahala 10,000 orang yang berhaji dan umrah dan 10,000 pahala orang yang mati syahid. Sesiapa yang yang mengusap kepala anak-anak yatim pada hari tersebut, maka Allah akan mengangkatnya dengan setiap rahmat satu darjat. Dan sesiapa pada 10 Muharram itu memberi makan kepada orang yang berbuka puasa, maka seolah-olah ia memberi makan pada seluruh umat Rasulullah S.A.W dan mengenyangkan perut mereka."

5) Sabda Rasulullah S.A.W yang bermaksud: "Rasulullah S.A.W ketika ditanya berkenaan Puasa pada hari Asyura, maka baginda menjawab: "Ia dapat melupuskan dosa setahun yang lalu". (Riwayat Imam Muslim)

Peristiwa Di Bulan Muharram

1) Penghijrahan Rasulullah (1 Muharram
)
2) Pembukaan Khaibar (7 Muharram)
3) Hari Asyura (10 Muharram)
4) Menziarahi Karbala (12 Muharram
)


InsyaAllah..sama-samalah kita menghayati dan beramal di bulan Allah ini...
Semoga yang baik itu datangnya daripada Allah S.W.T dan yang buruk itu datangnya daripada kelemahan diri ini jua..

Nurhuda_cahayapetunjuk
27 Zulhijjah 1429 / 25 Disember 2008

23 Disember, 2008

Mangkuk Yang Cantik, Madu & Sehelai Rambut


بسم الله الرحمن الرحيم
Dengan nama Allah Yang Maha Pengasih, Maha Penyayang

Rasulullah SAW, dengan sahabat-sahabatnya Abu Bakar r.a., Umar r.a., Uthman r.a., dan 'Ali r.a., bertamu ke rumah Ali r.a. Di rumah Ali r.a. isterinya Sayidatina Fathimah r.ha. puteri Rasulullah S.A.W menghidangkan untuk mereka madu yang diletakkan di dalam sebuah mangkuk yang cantik, dan ketika semangkuk madu itu dihidangkan sehelai rambut terikut di dalam mangkuk itu. Baginda Rasulullah S.A.W kemudian meminta kesemua sahabatnya untuk membuat suatu perbandingan terhadap ketiga benda tersebut (Mangkuk yang cantik, madu, dan sehelai rambut).

Abu Bakar r.a. berkata,
"Iman itu lebih cantik daripada mangkuk yang cantik ini, orang yang beriman itu lebih manis daripada madu, dan mempertahankan iman itu lebih susah daripada meniti sehelai rambut".

Umar r.a. berkata,
"Kerajaan itu lebih cantik daripada mangkuk yang cantik ini, seorang raja itu lebih manis daripada madu, dan memerintah dengan adil itu lebih sulit daripada meniti sehelai rambut".

Uthman r.a. berkata,
"Ilmu itu lebih cantik daripada mangkuk yang cantik ini, orang yang menuntut ilmu itu lebih manis daripada madu, dan beramal dengan ilmu yang dimiliki itu lebih sulit daripada meniti sehelai rambut".

'Ali r.a. berkata,
"Tetamu itu lebih cantik daripada mangkuk yang cantik ini, menjamu tetamu itu lebih manis daripada madu, dan membuat tetamu gembira sehingga kembali pulang ke rumahnya adalah lebih sulit daripada meniti sehelai rambut".

Fatimah r.ha.berkata,
"Seorang wanita itu lebih cantik daripada sebuah mangkuk yang cantik, wanita yang berpurdah itu lebih manis daripada madu, dan mendapatkan seorang wanita yang tak pernah dilihat orang lain kecuali muhrimnya lebih sulit daripada meniti sehelai rambut".

Rasulullah SAW berkata,
"Seorang yang mendapat taufiq untuk beramal adalah lebih cantik daripada mangkuk yang cantik ini, beramal dengan amal yang baik itu lebih manis daripada madu, dan berbuat amal dengan ikhlas adalah lebih sulit daripada meniti sehelai rambut".

Malaikat Jibril AS berkata,
"Menegakkan syiar-syiar agama itu lebih cantik dari sebuah mangkuk yang cantik, menyerahkan diri; harta; dan waktu untuk usaha agama lebih manis daripada madu, dan mempertahankan usaha agama sampai akhir hayat lebih sulit daripada meniti sehelai rambut".

Allah SWT berfirman,
" SyurgaKU itu lebih cantik daripada mangkuk yang cantik itu, nikmat SyurgaKU itu lebih manis daripada madu, dan jalan menuju SyurgaKU adalah lebih sulit daripada meniti sehelai rambut".

P/s: Renung-renungkan kisah ini...semoga yang baik itu datangnya daripada Allah dan yang buruk itu datangnya daripada kelemahan diri ini jua..

Nurhuda_cahayapetunjuk
25 Zulhijjah 1429 / 23 Disember 2008

Cupcake Drpd Kak Zaliana dan Tag Drpd IKB

بسم الله الرحمن الرحيم
Dengan nama Allah Yang Maha Pengasih, Maha Penyayang

Subhanallah..cantik kan cup cake di atas tu..itu pemberian Kak Zaliana di blognya..Syukran jazilan Kak Za, sungguh kreatif..insyaAllah boleh lah saya berguru dengan Kak Za ni..:)
Di bawah ini pula adalah tag daripada IKB..maaf la, saya tak pandai sangat, ni baru pertama kali di tag oleh sahabat di sini..:) kalau ada kekurangan harap dimaafi..


My Top 10 Most Favorite Foods:

1. Laksa johor (tanpa belacan:)
2. Bee hoon sup

3. Laksa penang (tanpa belacan, huda tak makan belacan :)

4. Asam pedas

5. Sambal tumis durian resepi mak

6. Gulai nenas ikan sepat masin

7. Ikan siakap 3 rasa

8. Kek coklat kukus
9. Cheese cake
10. Semua makanan yang halal dimakan :)


Top 10 Things I Love Doing:
1. Membaca
2. Membaca

3. Membaca

4. Membaca

5.
Membaca
6. Berkumpul dengan keluarga

7.
Menulis terutama di blog TERATAK INDAH..:)
8. Memasak
9. Duduk di rumah

10. Berjalan-jalan dengan keluarga..


5 Things I Love Doing When I'm EMO :
1.
Ambil wuduk
2.
Mengaji untuk tenangkan fikiran
3. Bercerita dengan mak

4.
Bercerita kat mak cik dan orang yang paling rapat dalam keluarga
5. Diamkan diri sambil fikir semula apa yang telah dibuat


Top 5 Types of Guys I Adore :(alamak IKB, ni akak kena jawab juga ya)
1. Beriman
dan boleh membimbing saya di dunia dan akhirat..:)
2. Penyabar
3. Boleh menerima keluarga saya seadanya
dan saya juga boleh menerima keluarganya
4. Jujur

5. Pemurah


5 Things I Love Doing When I'm Happy :
1.
Bersyukur..(ni paling perlu sebab segala anugerah yang buat kita gembira adalah Allah S.W.T, jadi kita mestilah sentiasa bersyukur atas nikmatNYA..)
2.
Senyum...(ni perlu sebab senyum satu sedekah hehehe)
3.
Makan..hehehe
4.
Bercakap dengan mak
5.
Bermain dan mengusik adik-adik sepupu..:)

Things I Wish To Happen :
Menjadi pendidik yang berjaya mendidik anak-anak bangsa, wanita solehah, anak yang solehah, isteri yang solehah dan mujahidah..insyaAllah


My Top 10 Most Addicted Song :
1. Antara dua cinta ( nyanyian Raihan)
(Dalam blog saya)
2. Ummiku sayang (lupa nyanyian siapa :)
3. Ayah (nyanyian Aeman)

4. Anak soleh (nyanyian Aeman)

5. Taubat seorang hamba
(nyanyian Irsyadee & Hafiz Hamidun)
6. Di pondok kecil (nyanyian Aeman&Bazli UNIC,dulu nyanyian
nadamurni )
7. Buatmu Ibu (nyanyian Aeman)
8. Rasulullah
(nyanyian Hijjaz)
9. Menanti di barzakh
(nyanyian Fareast)
10. Cinta Agung (nyanyian Qathurunnada)


Terima kasih kepada kedua-dua sahabat ini..jalinkan ikatan silaturrahim sesama kita, setiap umat Islam bersaudara, semoga ukhwah yang terbina hanya kerana Allah mendapat keberkatan daripadaNYA..insyaAllah

Nurhuda_cahayapetunjuk
25 Zulhijjah 1429 / 23 Disember 2008

21 Disember, 2008

Kisah Jibril AS, Kerbau, Kelawar & Cacing

بسم الله الرحمن الرحيم
Dengan nama Allah Yang Maha Pengasih, Maha Penyayang

Suatu hari Allah SWT memerintahkan malaikat Jibri AS untuk pergi menemui salah satu makhluk-Nya iaitu kerbau dan bertanyakan kepada si kerbau adakah dia suka telah diciptakan Allah SWT sebagai seekor kerbau. Malaikat Jibril AS segera pergi menemui si Kerbau.

Pada siang yang panas itu, si kerbau sedang berendam di sungai. Malaikat Jibril AS mendatanginya kemudian mula bertanya kepada si kerbau,

"Hai kerbau apakah kamu suka telah dijadikan oleh Allah SWT sebagai seekor kerbau".

Si kerbau menjawab,

"Masya Allah, alhamdulillah, aku bersyukur kepada Allah SWT yang telah menjadikan aku sebagai seekor kerbau, daripada aku dijadikan-Nya sebagai seekor kelawar di mana ia mandi dengan kencingnya sendiri".

Mendengar jawapan itu, Malaikat Jibril AS segera pergi menemui seekor kelawar.

Malaikat Jibril AS datang kepada seekor kelawar yang siang itu sedang tidur bergantungan di dalam sebuah gua. Kemudian mula bertanya kepada si kelawar,

"Hai kelawar apakah kamu suka telah dijadikan oleh Allah SWT sebagai seekor kelawar".

Si kelawar menjawab,

"Masya Allah, alhamdulillah, aku bersyukur kepada Allah SWT yang telah menjadikan aku sebagai seekor kelawar daripada aku dijadikan-Nya seekor cacing. Tubuhnya kecil, tinggal di dalam tanah, berjalan menggunakan perutnya", jawab si kelelawar.

Mendengar jawapan itu, Malaikat Jibril AS segera pergi menemui seekor cacing yang sedang merayap di atas tanah.

Malaikat Jibril AS bertanya kepada si cacing,

"Wahai cacing kecil apakah kamu suka telah dijadikan Allah SWT sebagai seekor cacing".

Si cacing menjawab,

" Masya Allah, alhamdulillah, aku bersyukur kepada Allah SWT yang telah menjadikan aku sebagai seekor cacing, daripada dijadikan-Nya aku sebagai seorang manusia. Apabila mereka tidak memiliki iman yang sempurna dan tidak beramal soleh ketika mereka mati, mereka akan diseksa selama-lamanya".

Maha Suci Allah, Tuhan Pencipta Seluruh Alam...mudah-mudahan sedikit sebanyak kisah ini mengingatkan kita semua..maka jagalah iman kita, jagalah amal kita..mudah-mudahan dalam setiap amal perbuatan kita, diredhai oleh Allah S.W.T..dan sentiasa mendapat keberkatan daripadaNYA..insyaAllah..

Allah S.W.T mengingatkan kita dalam firman-NYA, dalam Surah At-Tahrim ayat 6 yang bermaksud:
"Wahai orang-orang yang beriman ! Peliharalah dirimu dan keluargamu daripada api neraka yang bahan bakarnya adalah manusia dan batu, penjaganya adalah malaikat-malaikat yang kasar dan keras, yang tidak durhaka kepada Allah terhadap apa yang DIA perintahkan kepada mereka dan selalu mengerjakan apa yang diperintahkan"
(Surah At-Tahrim : Ayat 6)

Semoga yang baik itu datangnya daripada Allah S.W.T dan yang buruk itu datangnya daripada kelemahan diri ini jua...

Nurhuda_cahayapetunjuk
23 Zulhijjah 1429 / 21 Disember 2008

16 Disember, 2008

Binalah Hatimu Yang Bahagia

بسم الله الرحمن الرحيم
Dengan nama Allah Yang Maha Pengasih, Maha Penyayang


Jari-jemari ini seakan ingin menekan-menekan papan kekunci ini, mahu saja dikeluarkan apa saja yang difikirkan di benak fikiran ini satu-persatu.


Menulis di sini sekadar mahu mengingatkan diri ini, insan yang masih tercari-cari diri, insan sentiasa memohon keberkatan dan keredhaan Maha Suci Allah, Yang Menjadikan Alam ini.


Sambil ditemani buku-buku yang setia menuggu meminta dibaca dan dihadam satu demi satu, jari terus menekan-nekan papan kekunci ini...


Membaca memberikan saya berfikir dan menghayati setiap tulisan dan karya yang dibaca.

Moga ilmu yang diperolehi memberi manfaat, mudah-mudahan...InsyaAllah..


Sambil mencari-cari buku di rak buku kepunyaan abah, saya terjumpa sebuah buku bertajuk ”Akhlak” karya Abdul Rahman Rukaini, Mantan Ketua Bahagian Agama dan Tamadun Islam Dewan Bahasa Dan Pustaka Perunding dan Penulis Kitab-kitab Sekolah Agama Kerajaan Johor. Tulisan beliau sangat mudah difahami ayat-ayatnya. Salah satu tulisan beliau adalah berkaitan Amal Soleh.


Menurut Abdul Rahman Rukaini (2001), pengertian Amal Soleh, ialah merupakan apa saja amal orang Islam yang meliputi gerak hati (termasuk akal) pengucapan lisan dan perlakuan anggota tubuh badan (termasuk pancaindera) mengikut syariat Islam. Amal dilakukan dengan:

  • Niat yang ikhlas kerana Allah S.W.T
  • Mengikut rukun, syariat dan cara yang betul
  • Tidak dicampuri oleh perkara maksiat dan perkara-perkara yang membatalkan atau merosakkannya.

Amal itu mencakupi amal yang menghubungkan antara manusia dengan Allah S.W.T, dengan diri sendiri, dengan orang lain atau dengan alam dan kehidupan seluruhnya. Ringkasnya, ruang lingkup amal soleh amat luas yang membolehkan setiap orang mengambil peluang untuk melakukan bagi mencapai keselamatan, keamanan dan kebahagian di dunia dan di akhirat. (Abdul Rahman Rukaini, 2001)


Tulisan ini, mengingatkan saya, di mana setiap manusia diberi peluang oleh Allah untuk melakukan yang terbaik. Maka terpulang pada insan tersebut untuk merebut peluang yang diberikan oleh Allah Azzawajjalla.


Cukup indah dan cantik setiap anugerah Allah kepada kita. Alam yang dihuni ini penuh dengan sumber-sumber yang diberikan Allah supaya kita melihat dan merenung kebesaran Allah. SUBHANALLAH....


Allah berfirman dalam Surah Al-A’raf, ayat 56 yang bermaksud :


" Dan janganlah kamu berbuat kerosakan di bumi setelah (diciptakan) dengan baik. Berdoalah kepada-NYA dengan rasa takut dan penuh harap. Sesungguhnya rahmat Allah sangat dekat kepada orang yang berbuat kebaikan "

(56: سورة الأعراف)


Setiap amal yang dilakukan hendaklah berlandaskan ilmu, maka insyaAllah amal dapat dilakukan dengan terbaik. Motivasikan diri dengan mendekati Allah dalam setiap waktu dan ketika, moga kita sentiasa disisi Allah Yang Maha Berkuasa dan Maha Penyayang.


Bibit-bibit maaruf sentiasa bersemi di hati, dengan bertasbih, "Subhanallah”, bertakbir "Allahu akbar” dan bertahmid "Alhamdulillah”.


Rasulullah S.A.W bersabda :

" Sebaik-baik manusia adalah orang yang panjang umurnya dan baik amalannya, dan seburuk-buruk manusia adalah orang yang panjang umur dan buruk amalannya "
(Riwayat Ahmad)

Mungkin ada ketika kita alpa..alpa dengan kemewahan dunia, alpa dengan keseronokkan dunia. Berdoalah semoga hati kita sentiasa mengingati Allah, mengingati Allah, mengingati Allah....


Doa yang Allah ajarkan dalam firmanNYA dalam Surah Ali Imran,ayat 8 :

" Ya Tuhan kami, janganlah Engkau condongkan hati kami kepada kesesatan setelah Engkau berikan petunjuk kepada kami, dan anugerahkanlah kepada kami rahmat dari sisi-MU, sesungguhnya Engkau Maha Pemberi Anugerah "

( سورة ال عمران :8)


Rasulullah S.A.W bersabda:

" Ingatlah, dalam tubuh manusia itu ada segumpal daging. Kalau segumpal daging itu baik, maka akan baiklah seluruh tubuhnya. Tetapi, bila rosak, nescaya akan rosak pula seluruh tubuhnya. Segumpal daging itu bernama qalbu "

(Riwayat Bukhari & Muslim)


Sesungguhnya Allah Maha Penyayang dan Maha Pengasih...

Binalah hati ini dengan akhlak mulia, akhlak yang terpuji di sisi Allah....

Moga Allah menganugerahkan kepada kita, "nur” (cahaya-cahaya) iman, keyakinan dan zikir sehingga hidup kita diterangi cahaya Ilahi, cahaya petunjuk dan cahaya hidayah yang membawa kebahagian dan keberkatan hidup di dunia dan akhirat. Aminn..


Surah Al-An’am, ayat 162 dan ayat 163 yang bermaksud :

”Katakanlah (Muhammad)’ ”Sesungguhnya solatku, ibadahku, hidupku, dan matiku hanyalah untuk Allah, Tuhan seluruh alam,”

( سورة الانعام : 162 )


" tidak ada sekutu bagiNYA; dan demikianlah yang diperintahkan kepadaku dan aku adalah orang yang pertama-tama berserah diri (muslim).”

( سورة الانعام : 163 )


Coretan ini adalah ingatan untuk diri ini jua..sekadar ingin berkongsi kembara di hati ini...

Semoga yang baik itu datangnya daripada Allah Azzawajjalla dan yang buruk itu datangnya daripada kelemahan diri ini jua..

BINALAH HATIMU YANG BAHAGIA....



Nurhuda_cahayapetunjuk
18 Zulhijjah 1429 / 16 Disember 2008

14 Disember, 2008

Burasak (Makanan Tradisional Masyarakat Bugis)

بسم الله الرحمن الرحيم
Dengan nama Allah Yang Maha Pengasih, Maha Penyayang

Burasak merupakan makanan tradisional masyarakat Bugis yang sangat popular terutama pada hari perayaan sama ada hari raya aidilfitri atau hari raya aidil adhah. Bagi masyarakat Bugis di Tawau, Sabah, mereka memanggilnya dengan nama Buras...:)
Kalau hari raya, inilah makanan yang saya nanti-nantikan...:)

Di bawah ini, saya sertakan cara-cara membuatnya yang saya perolehi daripada website..
http://www.my
resipi.com/top/detail/5813

Bahan-bahan (10 orang)

  • 1 kg beras wangi, masak seperti nasi lemak kosong, dgn santan, sedikit garam, dan air. Nasi keras sedikit pun tak pe.
  • Daun pisang muda potong sebesar A4 beberapa keping utk bungkus nasi.
  • Daun pisang tua panjang lebih kurang 3 jengkal. Berapa keping tgk berapa set nasi dpt buat.
  • Tali rafia dan gunting

Cara-cara

  1. 24-10-08_2148
    Setelah nasi sejuk (panas pon ok kalau tangan kebal hehehe...), senduk sedikit letak atas daun pisang muda.
  2. 24-10-08_2149
    Lipat nasi macam lipat kuih lepat pisang, urut2 atas bungkusan kasi nasi leper dan padat. Jgn nipis sgt atau tebal sgt.... yang sedang-sedang saja...
  3. 24-10-08_2154
    Ambil 5-6 biji burasak, bungkus dgn daun pisang tua macam bungkus hadiah (gulung ikut bentuk burasak yg bertingkat tu dan lipat kiri kanan, baru ikat dgn tali rafia.
  4. 24-10-08_2321
    Rebus 3-4 jam, angkat dan tos macam ketupat. Buka tali dan buangkan daun pisang tua, hidangkan sebiji2 atau potong dua.
  5. Kalau beraya ke rumah orang bugis yg betul2 asli , mereka akan hidangkan asam pedas ikan parang yg dimasak sehingga tulang-tulang dia dah lembut macam tulang ikan sardin. Saya prefer ikan merah asam pedas, tapi burasak sedap juga makan dgn rendang ke.. ayam masak merah ke... cubalah.. mungkin rasa dia pelik sikit bagi org yg pertama rasa burasak.
http://www.myresipi.com/top/detail/5813

p/s: SELAMAT MENCUBA..:)

12 Disember, 2008

LIMA BELAS BUKTI KEIMANAN

بسم الله الرحمن الرحيم
Dengan nama Allah Yang Maha Pengasih, Maha Penyayang

Al-Hakim meriwayatkan Alqamah bin Haris r.a berkata, aku datang kepada Rasulullah S.A.W. dengan tujuh orang dari kaumku. Kemudian setelah kami beri salam dan beliau tertarik sehingga beliau bertanya,

"Siapakah kamu ini ?"

Jawab kami, "Kami adalah orang beriman."

Kemudian baginda bertanya,

"Setiap perkataan ada buktinya, apakah bukti keimanan kamu ?"

Jawab kami,

"Buktinya ada lima belas perkara. Lima perkara yang engkau perintahkan kepada kami, lima perkara yang diperintahkan oleh utusanmu kepada kami dan lima perkara yang kami terbiasakan sejak zaman jahiliyyah ?"

Tanya Nabi S.A.W.,

"Apakah lima perkara yang aku perintahkan kepada kamu itu ?"

Jawab mereka,

"Kamu telah perintahkan kami untuk beriman kepada Allah, percaya kepada Malaikat-Nya, Kitab-kitab-Nya, Rasul-rasul-Nya, percaya kepada takdir Allah yang baik mahupun yang buruk."

Selanjutnya tanya Nabi S.A.W,

"Apakah lima perkara yang diperintahkan oleh para utusanku itu ?"

Jawab mereka,

"Kami diperintahkan oleh para utusanmu untuk bersaksi bahwa tidak ada Tuhan selain Allah dan engkau adalah utusan Allah, hendaknya kami mendirikan solat wajib, mengerjakan puasa di bulan Ramadhan, menunaikan zakat dan berhaji bila mampu."

Tanya Nabi S.A.W. selanjutnya,

"Apakah lima perkara yang kamu masih terbiasakan sejak zaman jahiliyyah ?"

Jawab mereka,

"Bersyukur di waktu senang, bersabar di waktu kesusahan, berani di waktu perang, redha pada waktu kena ujian dan tidak merasa gembira dengan sesuatu musibah yang menimpa pada musuh."

Mendengar ucapan mereka yang amat menarik ini, maka Nabi S.A.W. berkata,

"Sungguh kamu ini termasuk di dalam kaum yang amat pandai sekali dalam agama mahupun dalam tatacara berbicara, hampir saja kamu ini serupa dengan para Nabi dengan segala macam yang kamu katakan tadi."

Kemudian Nabi S.A.W. selanjutnya,

"Mahukah kamu aku tunjukkan kepada lima perkara amalan yang akan menyempurnakan dari yang kamu punyai ? Janganlah kamu mengumpulkan sesuatu yang tidak akan kamu makan. Janganlah kamu mendirikan rumah yang tidak akan kamu tempati, janganlah kamu berlumba-lumba dalam sesuatu yang bakal kamu tinggalkan,, berusahalah untuk mencari bekal ke dalam akhirat."

p/s: Renung-renungkan kisah ini....:)

11 Disember, 2008

Di Pondok Kecil...

Align Center

بسم الله الرحمن الرحيم
Dengan nama Allah Yang Maha Pengasih, Maha Penyayang

DI PONDOK KECIL

Di suatu hari
Ayah berkata jaga adikmu
Ayah kan pergi jauh
Ku merayu pada ayah
Jangan tinggalkan kami

Kerana kami sayangkan ayah
Ayahku pergi berjuang
Demi cinta yang murni
Menegak kebenaran
Di muka Bumi
Berlakunya kisah di pondok kecil

Di pondok kecil
Di pantai ombak
Berbuih putih beralun-alun
Di pondok kecil
Di pantai ombak
Berbuih putih beralun-alun

Di suatu hari
Ayah berkata jaga adikmu
Ayah kan pergi jauh
Ku pandang wajah ayah
Dahinya ku cium
Airmata mengalir
Hatiku pilu

Diam-diamlah sayang
Jangan menangis
Doakan ayah semoga sejahtera

Diam adikku sayang
Jangan menangis
Di Pondok Kecil (feat Bazli UNIC) lyric found on www.lirik.tv
Walaupun ayah gugur
Pastinya dia syahid

Di pondok kecil
Di pantai ombak
Berbuih putih beralun-alun
Di pondok kecil
Di pantai ombak
Berbuih putih beralun-alun

Wahai abangku
Ke mana ayah
Ku sayang ayah
Ku cinta ayah
Wahai abangku
Ke mana ayah
Ku sayang ayah
Ku cinta ayah

Duhai adikku sayang
Jangan bersedih
Ayahmu pergi menyambut seruan Ilahi
Tapi ingatlah adikku pesanan ayah
Belajar berusaha walau di mana jua
Pada-Mu Tuhan aku bermohon
Dosa ayahku minta diampunkan
Ku iringi doa rahmati dia
Tempatkanlah ayahku bersama kekasih-Mu

Di pondok kecil
Di pantai ombak
Berbuih putih beralun-alun
Di pondok kecil
Di pantai ombak
Berbuih putih beralun-alun

p/s : Lagu masa kecik-kecik dulu..:)

09 Disember, 2008

Lambaian Kaabah..

بسم الله الرحمن الرحيم
Dengan nama Allah Yang Maha Pengasih, Maha Penyayang

Salam Aidil Adhah buat semua..:)
Lagu ini untuk sahabat-sahabat sekalian..:)

03 Disember, 2008

Syaitan Musuh Utama

بسم الله الرحمن الرحيم

Dengan nama Allah Yang Maha Pengasih, Maha Penyayang

Alhamdulillah masih berupaya mencoretkan sesuatu di sini..sedikit coretan peringatan untuk dikongsi bersama...moga-moga memberi manfaat kepada kita semua...
insyaAllah

Syaitan adalah musuh utama Allah dan musuh Nabi..

Firman Allah,

"Hai orang-orang yang beriman, masuklah kamu ke dalam Islam secara keseluruhan, dan janganlah kamu turuti langkah-langkah syaitan. Sesungguhnya syaitan itu musuh yang nyata bagimu"
(208 :سورة البقرة )

Syaitan telah ingkar perintah Allah. Syaitan telah berikrar untuk merosakkan seluruh keturunan anak Nabi Adam dan syaitan bersumpah dan berkata :
"Kerana Adamlah aku dihukumkan kafir dan kerana Adamlah aku dimurkai Allah!"

Maka syaitan bersumpah akan menyesatkan, mengganggu, menyakiti dan menipu manusia. Maka dengan itu, Allah memerintahkan setiap manusia agar sentiasa memohon perlindungan daripada Allah S.W.T daripada gangguan syaitan yang direjam. Perbanyakkan membaca surah Al-Ikhlas, surah Al-Falaq dan surah An-Nas . Sentiasalah berdoa kepada Allah S.WT. , semoga kita dijauhkan daripada syaitan laknatullah.

Firman Allah S.W.T dalam surah Al-Ikhlas yang bermaksud:

" Katakanlah (Muhammad), 'Dia lah Allah, Yang Maha Esa' " (Ayat 1)
"Allah tempat meminta segala sesuatu" (Ayat 2)

" (Allah) tidak beranak dan tidak pula diperanakkan" (Ayat 3)

" Dan tidak ada sesuatu yang setara dengan Dia" (Ayat 4)

( سورة الاخلاص : 4-1)


Firman Allah S.W.T dalam surah Al-Falaq yang bermaksud:

" Katakanlah, ' Aku berlindung kepada Tuhan yang menguasai subuh (fajar)', " (Ayat 1)
" dari kejahatan (makhluk yang) Dia ciptakan, " (Ayat 2)
" dan dari kejahatan malam apabila telah gelap gulita," (Ayat 3)
" dan dari kejahatan (perempuan-perempuan) penyihir yang meniup pada buhul-buhul (talinya), " (Ayat 4)
" dan dari kejahatan orang yang dengki apabila dia dengki " (Ayat 5)
( سورة الفلق : 5-1)

Firman Allah S.W.T dalam surah An-Nas yang bermaksud:

" Katakanlah, 'Aku berlindung kepada Tuhannya manusia, " (Ayat 1)
" Raja manusia, " (Ayat 2)

" Sembahan manusia, " (Ayat 3)

" dari kejahatan (bisikan) syaitan yang bersembunyi, " (Ayat 4)

" yang membisikkan (kejahatan) ke dalam dada manusia' " (Ayat 5)

" dari (golongan) jin dan manusia" (Ayat 6)

( سورة الناس : 6-1)


Teguhkan iman dan sentiasalah meniti zikir di bibir, mudah-mudahan kita dilindungi Allah Azzawajalla daripada hasutan syaitan durjana..insyaAllah....

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails

YA ALLAH...

YA ALLAH...

INDAHNYA....


I made this widget at MyFlashFetish.com.