26 Februari, 2009

Jagalah Amal Perbuatanmu..

بسم الله الرحمن الرحيم
Dengan nama Allah Yang Maha Pemurah lagi Maha Penyayang

Sabda Rasulullah S.A.W kepada Mu'adz, "Wahai Mu'adz, apabila di dalam amal perbuatanmu itu ada kekurangan :

· Jagalah lisanmu supaya tidak terjatuh di dalam ghibah terhadap saudaramu/muslimin.
· Bacalah Al-Qur'an
· Tanggunglah dosamu sendiri untukmu dan jangan engkau tanggungkan dosamu kepada
orang lain.
· Jangan engkau mensucikan dirimu dengan mencela orang lain.
· Jangan engkau tinggikan dirimu sendiri di atas mereka.
· Jangan engkau masukkan amal perbuatan dunia ke dalam amal perbuatan akhirat.
· Jangan engkau menyombongkan diri pada kedudukanmu supaya orang takut kepada
perangaimu yang tidak baik.
· Jangan engkau membisikkan sesuatu sedang dekatmu ada orang lain.
· Jangan engkau merasa tinggi dan mulia daripada orang lain.
· Jangan engkau sakitkan hati orang dengan ucapan-ucapanmu.

Nescaya di akhirat nanti, kamu akan dirobek-robek oleh anjing neraka. Firman Allah S.W.T. yang bermaksud, "Demi (bintang-bintang) yang berpindah dari satu buruj kepada buruj yang lain."

Sabda Rasulullah S.A.W., "Dia adalah anjing-anjing di dalam neraka yang akan merobek-robek daging orang (menyakiti hati) dengan lisannya, dan anjing itupun merobek serta menggigit tulangnya."

Kata Mu'adz, " Ya Rasulullah, siapakah yang dapat bertahan terhadap keadaan seperti itu, dan siapa yang dapat terselamat daripadanya?"

Sabda Rasulullah S.A.W., "Sesungguhnya hal itu mudah lagi ringan bagi orang yang telah dimudahkan serta diringankan oleh Allah S.W.T."


Semoga yang baik itu datangnya daripada Allah S.W.T dan yang buruk itu datangnya daripada kelemahan diri ini jua..


Nurhuda_cahayapetunjuk
1 Rabiulawal 1430H / 26 Februari 2009

20 Februari, 2009

Pelajar Malas Bawa Buku.!!!

بسم الله الرحمن الرحيم
Dengan nama Allah Yang Maha Pemurah lagi Maha Penyayang

Sudah seminggu lamanya saya tidak menulis apa-apa di sini, sekadar melawat tanpa meninggalkan apa-apa kesan di sini..alasannnya sama, terlalu sibuk dengan tugasan dan mini tesis yang perlu disiapkan..:)..maafkan saya..moga Allah permudahkan segalanya...:)
Alhamdulillah hari ini, ada sedikit ruang masa yang diberikan Allah, bolehlah saya menulis di sini..Sebenarnya sudah hampir dua minggu saya ingin menulis tentang isu ini, tetapi kesuntukan masa..

Isu apa ya?..Begini..8hb Februari yang lalu, saya terbaca di akhbar tempatan berkenaan isu 'Trend pelajar sekolah enggan bawa buku teks ke sekolah'.

Malah berbagai-bagai alasan yang diberikan oleh pelajar yang ditermu ramah berkenaan bawa buku teks ke sekolah..saya mendapati perkara ini bukan sahaja berlaku kepada pelajar-pelajar bandar tetapi juga pelajar-pelajar luar bandar. Mereka juga tidak kurang hebatnya. Sambil membaca artikel tersebut, macam-macam perasaan saya..sedih, marah dan terlalu kecewa dengan sikap pelajar-pelajar di zaman ini.

Cuba kita bayangkan, bagaimana mereka ini hendak belajar di sekolah jika hanya membawa beg kosong tanpa sebarang buku ke sekolah..bagaimana budaya ilmu yang mereka terapkan. Pada saya, ini bukan sahaja satu trend tetapi satu sikap yang akan menjadi barah dalam remaja dan pelajar yang bakal menjadi pewaris bangsa..Astaghfirullah...apa sudah jadi...

Saya dapat lihat perbezaan pelajar-pelajar dahulu dengan pelajar sekarang. Saya ingat lagi masa saya bersekolah rendah dan menengah, sanggup memikul buku di dalam beg supaya tidak ketinggalan apabila guru mengajar, walaupun saya rasa berat memikul buku tapi dalam hati , saya berkata insyaAllah Allah mempermudahkan kepada saya dalam menuntut ilmu. Zaman sekarang, alasan mereka, buku terlalu berat, sakit bahu memikul buku, guru mengajar bosan dan berbagai-bagai alasan dan akhirnya mereka hidup dalam pelbagai alasan dan akan merugikan diri sendiri. Pada saya, bosan macam mana sekalipun guru itu mengajar, guru patut dihormati, barulah kita memperolehi keberkatan dalam menuntut ilmu.



Adakah pelajar-pelajar sekarang terlalu manja? di mana budaya ilmu mereka? di mana sikap kepimpinan mereka? inilah yang sering saya fikirkan..Yang menyedihkan saya, jika pelajar-pelajar yang tidak membawa buku ini, dimarahi oleh guru, maka kemudian guru pula dipersalahkan oleh ibu bapa kerana memarahi anak-anak mereka yang tidak membawa buku..apa sudah jadi?..bagaimana guru ingin membetulkan kelemahan pelajar jika ibu bapa tidak memberi sebarang tindakan terhadap anak-anak mereka..

Bagaimana mereka ingin menjadi cemerlang sedangkan sehelai kertas dan sebatang pensil atau pen pun tidak dibawa ke sekolah..bagaimana guru ingin membantu mereka sedangkan mereka sendiri tidak mahu berusaha ke arah kejayaan..malah ibu bapa seolah-olah tidak mengendahkan mereka..pada saya, semuanya bermula di rumah, jika anak-anak dididik dengan sebaiknya maka perkara ini tidak berlaku..ibu bapa terlalu mengejar kemewahan sehingga mengabaikan anak-anak...dididikan agama tidak dititik beratkan maka bagaimana ingin melahirkan pelajar-pelajar yang berakhlak mulia..dalam laporan akhbar itu juga menyebut, seorang guru memarahi pelajar yang tidak membawa buku teks, apa yang pelajar tersebut lakukan ialah merenung tajam ke arah guru tersebut dan menyebab guru tersebut berasa takut..macam-macam kes didedahkan di dalam akhbar seperti pelajar memukul guru, mana hormatnya mereka kepada guru..

Saya pernah menasihati adik sepupu yang baru berpindah, bersekolah di kampung, jangan sekali-kali tinggal buku di bawah meja dan pulang ke rumah tanpa membawa buku teks. Jika semua buku ditinggalkan, macam mana hendak mengulang kaji pelajaran di rumah? Saya merasakan budaya ilmu kurang diterapkan kepada pelajar-pelajar. Aduhai...


Saya teringat abah pernah bercerita kepada saya dan adik bagaimana susahnya abah menuntut ilmu. Abah berkata abah mencari duit sendiri untuk ke sekolah dengan menjaja jagung rebus, membuat gula melaka dengan memanjat pokok kelapa yang tinggi. Sewaktu musim buah-buahan terutama musim buah durian, abah akan belajar di pondok durian yang hanya diterangi oleh cahaya pelita. Maka pada ketika itu, abah akan membawa semua kitab-kitabnya sewaktu bersekolah arab ke pondok duriannya untuk mengulang kaji pelajaran. Apa yang menyedihkan, pada suatu hari, pondok durian abah terbakar, dan habis kesemua kitab-kitab abah..abah sangat sedih, dan kerana terlalu sayangkan kitab-kitabnya yang dipenuhi ilmu, maka abah ambil abu-abu kitab tersebut masukkan dalam air dan minum...sampai begitu sekali cintanya dan sayangnya abah pada kitab-kitabnya yang banyak berjasa.

Alhamdulillah, dengan berkat usaha abah mencintai ilmu dan bersungguh-sungguh menuntut ilmu, abah menjadi pelajar terbaik sekolah-sekolah arab kerajaan Johor ketika itu. Pada saya, ini suatu kisah yang perlu dikongsi bersama, betapa sukarnya pelajar-pelajar zaman dahulu menuntut ilmu, dengan menggunakan duit sendiri ke sekolah..Pada zaman ini, pelajar-pelajar mewah dan dibekalkan dengan buku yang secukupnya tetapi masih lagi tidak membawa buku ke sekolah dengan pelbagai alasan.


Saya tinggalkan sahabat-sahabat di sini dengan persoalan : Siapakah yang harus dipersalahkan dalam hal ini? Tepuk dada tanyalah iman..

Semoga yang baik itu datangnya daripada Allah S.W.T dan yang buruk itu datangnya daripada kelemahan diri ini jua..


Nurhuda_cahayapetunjuk
23 Safar 1430H / 19 Februari 2009

12 Februari, 2009

Usaha, Doa dan Tawakal

بسم الله الرحمن الرحيم
Dengan nama Allah Yang Maha Pemurah lagi Maha Penyayang

Allah S.W.T menghendaki seluruh hamba-NYA berusaha bersungguh-sungguh dalam melakukan sesuatu dan diiringi dengan doa kepada Allah..Allah Maha Besar, Maha Penyayang, maka pinta dan mohonlah pada-NYA..insyaAllah jika berusaha, berdoa dan bertawakal kepada Allah, insyaAllah pasti berjaya..

Saya tinggalkan di sini satu kisah...

Suatu hari ketika Imam Abu Hanifah sedang berjalan-jalan melalui sebuah rumah yang jendelanya masih terbuka, terdengar oleh beliau suara orang yang mengeluh dan menangis tersedu-sedu. Keluhannya mengandungi kata-kata,

"Aduhai, alangkah malangnya nasibku ini, agaknya tiada seorang pun yang lebih malang dari nasibku yang celaka ini. Sejak dari pagi lagi belum datang sesuap nasi atau makanan pun di kerongkongku sehingga seluruh badanku menjadi lemah longlai. Oh, manakah hati yang belas ikhsan yang sudi memberi curahan air walaupun setitik."

Mendengar keluhan itu, Abu Hanifah berasa kasihan lalu beliau pun balik ke rumahnya dan mengambil bungkusan hendak diberikan kepada orang itu. Sebaik saja dia sampai ke rumah orang itu, dia terus melemparkan bungkusan yang berisi wang kepada si malang tadi lalu meneruskan perjalanannya. Dalam pada itu, si malang berasa terkejut setelah mendapati sebuah bungkusan yang tidak diketahui dari mana datangnya, lantas beliau tergesa-gesa membukanya. Setelah dibuka, nyatalah bungkusan itu berisi wang dan secebis kertas yang bertulis,

" Hai manusia, sungguh tidak wajar kamu mengeluh sedemikian itu, kamu tidak pernah atau perlu mengeluh diperuntungkan nasibmu. Ingatlah kepada kemurahan Allah dan cubalah bermohon kepada-Nya dengan bersungguh-sungguh. Jangan suka berputus asa, hai kawan, tetapi berusahalah terus."

Pada keesokan harinya, Imam Abu Hanifah melalui lagi rumah itu dan suara keluhan itu kedengaran lagi,

"Ya Allah Tuhan Yang Maha Belas Kasihan dan Pemurah, sudilah kiranya memberikan bungkusan lain seperti kelmarin,sekadar untuk menyenangkan hidupku yang melarat ini. Sungguh jika Tuhan tidak beri, akan lebih sengsaralah hidupku, wahai untung nasibku."

Mendengar keluhan itu lagi, maka Abu Hanifah pun lalu melemparkan lagi bungkusan berisi wang dan secebis kertas dari luar jendela itu, lalu dia pun meneruskan perjalanannya. Orang itu terlalu riang sebaik saja mendapat bungkusan itu. Lantas terus membukanya.

Seperti dahulu juga, di dalam bungkusan itu tetap ada cebisan kertas lalu dibacanya,

"Hai kawan, bukan begitu cara bermohon, bukan demikian cara berikhtiar dan berusaha. Perbuatan demikian 'malas' namanya. Putus asa kepada kebenaran dan kekuasaan Allah. Sungguh tidak redha Tuhan melihat orang pemalas dan putus asa, enggan bekerja untuk keselamatan dirinya. Jangan….jangan berbuat demikian. Hendak senang mesti suka pada bekerja dan berusaha kerana kesenangan itu tidak mungkin datang sendiri tanpa dicari atau diusahakan. Orang hidup tidak perlu atau disuruh duduk diam tetapi harus bekerja dan berusaha. Allah tidak akan perkenankan permohonan orang yang malas bekerja. Allah tidak akan mengkabulkan doa orang yang berputus asa. Sebab itu, carilah pekerjaan yang halal untuk kesenangan dirimu. Berikhtiarlah sedapat mungkin dengan pertolongan Allah. Insya Allah, akan dapat juga pekerjaan itu selama kamu tidak berputus asa. Nah…carilah segera pekerjaan, saya doakan lekas berjaya."

Sebaik saja dia selesai membaca surat itu, dia termenung, dia insaf dan sedar akan kemalasannya yang selama ini dia tidak suka berikhtiar dan berusaha.

Pada keesokan harinya, dia pun keluar dari rumahnya untuk mencari pekerjaan. Sejak dari hari itu, sikapnya pun berubah mengikut peraturan-peraturan hidup dan tidak lagi melupai nasihat orang yang memberikan nasihat itu.


Semoga yang baik itu datangnya daripada Allah S.W.T dan yang buruk itu datangnya daripada kelemahan diri ini jua..


Nurhuda_cahayapetunjuk
16 Safar 1430H / 12 Februari 2009

10 Februari, 2009

Setahun Bersama Teratak Indah

بسم الله الرحمن الرحيم
Dengan nama Allah Yang Maha Pemurah lagi Maha Penyayang

Alhamdulillah....segala puji bagi Allah yang mencipta seluruh alam. Hari ni, genap setahun saya menulis di sini..melakar setiap kata-kata untuk dikongsi bersama-sama sahabat-sahabat maya di Teratak Indah ini.

Sebenarnya, saya menjadi penulis blog ini tanpa dirancang..minat timbul apabila setiap hari saya mengunjungi blog Prof Kamil. Sebenarnya saya meminati bidang penulisan, jadi apalah salahnya jika saya cuba membuka blog ini. Alhamdulillah laluannya sangat mudah, maka lahirlah Teratak Indah. Saya bersyukur kepada Allah Azzawajalla atas rahmat-NYA.

Jazakallahhu khairan kasiran kepada sahabat-sahabat di sini kerana masih berkunjug ke Teratak Indah. Saya mohon maaf sekiranya terkasar bahasa atau menyinggung perasaan sahabat-sahabat sewaktu menulis di Teratak Indah. Saya adalah hamba Allah yang lemah yang selalu terleka dan alpa, maka sama-samalah kita ingat-mengingati antara satu sama lain. Tulisan di sini untuk diri saya jua, sebagai ingatan untuk hari-hari esok yang masih lagi jauh perjalanannya. Semoga Allah memberkati kita semua dalam mencari yang terbaik di sisi Allah..insyaAllah jika hati bersih dan ikhlas semata-mata kerana Allah, insyaAllah rahmat Allah sentiasa bersama orang-orang yang bertaqwa dan mempunyai akhlaq 'husnul huluq'..Doakan saya terus di sni

Firman Allah dalam surah Al-Anfaal ayat 29 yang bermaksud:

"Hai orang-orang yang beriman jika kamu bertaqwa kepada Allah, nescaya Dia akan memberikan kamu furqan (petunjuk yang dapat membezakan antara yang haq dan yang batil) dan menghapuskan segala kesalahanmu dan mengampuni dosa-dosamu. Dan Allah mempunyai kurnia yang besar."

Semoga yang baik itu datangnya daripada Allah S.W.T dan yang buruk itu datangnya daripada kelemahan diri ini jua..


Nurhuda_cahayapetunjuk
14 Safar 1430H / 10 Februari 2009

06 Februari, 2009

Masa- 24 Jam Sehari, Mana Hilangnya..


بسم الله الرحمن الرحيم
Dengan nama Allah Yang Maha Pemurah lagi Maha Penyayang

Subahanaallah...saya rasakan masa yang diberikan 24 jam cukup singkat, adakah benar begitu? kekadang saya termenung mana hilangnya masa saya habiskan sehingga masa 24 jam sehari tidak mencukupi, benar ker?...adakala masa untuk diri cukup terbatas dek tugasan yang perlu diselesaikan..namun inilah hakikatnya..sebagai hamba Allah, yang diberikan masa 24 jam, harus digunakan sebaik mungkin..setiap detik adalah amat bermakna, masa adalah anugerah Allah yang cukup bernilai..sejak akhir-akhir ini, penuh tugasan di meja sehingga terbatas untuk menulis...moga Allah beri saya ruang untuk terus di sini..:) insyaAllah ada waktu, saya terus di sini, melakar setiap coretan untuk kita bersama dalam mencari sinar hari esok, untuk mendapat yang terbaik drpd Allah Maha Pencipta..;) InsyaAllah masa digunakan sebaik mungkin..:)
setiap apa yang dilakukan ikhlas hanya kerana Allah..:)



Semoga Allah mempermudahkan segalanya...moga saya diberi kekuatan oleh Allah S.W.T dalam meneruskan perjuangan ini, InsyaAllah..Aminn...:)

Semoga yang baik itu datangnya daripada Allah S.W.T dan yang buruk itu datangnya daripada kelemahan diri ini jua..


Nurhuda_cahayapetunjuk
10 Safar 1430H / 6 Februari 2009

01 Februari, 2009

Kisah Lima Perkara Aneh

بسم الله الرحمن الرحيم
Dengan nama Allah Yang Maha Pemurah lagi Maha Penyayang

Abu Laits as-Samarqandi adalah seorang ahli fiqh yang masyur. Suatu ketika dia pernah berkata, ayahku menceritakan bahawa antara Nabi-nabi yang bukan Rasul ada menerima wahyu dalam bentuk mimpi dan ada yang hanya mendengar suara.

Maka salah seorang Nabi yang menerima wahyu melalui mimpi itu, pada suatu malam bermimpi diperintahkan yang berbunyi,

"Esok engkau dikehendaki keluar dari rumah pada waktu pagi menghala ke barat. Engkau dikehendaki berbuat, pertama; apa yang negkau lihat (hadapi) maka makanlah, kedua; engkau sembunyikan, ketiga; engkau terimalah, keempat; jangan engkau putuskan harapan, yang kelima; larilah engkau daripadanya."

Pada keesokan harinya, Nabi itu pun keluar dari rumahnya menuju ke barat dan kebetulan yang pertama dihadapinya ialah sebuah bukit besar berwarna hitam. Nabi itu kebingungan sambil berkata,

"Aku diperintahkan memakan pertama aku hadapi, tapi sungguh aneh sesuatu yang mustahil yang tidak dapat dilaksanakan."

Maka Nabi itu terus berjalan menuju ke bukit itu dengan hasrat untuk memakannya. Ketika dia menghampirinya, tiba-tiba bukit itu mengecilkan diri sehingga menjadi sebesar buku roti. Maka Nabi itu pun mengambilnya lalu disuapkan ke mulutnya. Apabila ditelan terasa sungguh manis bagaikan madu. Dia pun mengucapkan syukur 'Alhamdulillah'.

Kemudian Nabi itu meneruskan perjalanannya lalu bertemu pula dengan sebuah mangkuk emas. Dia teringat akan arahan mimpinya supaya disembunyikan, lantas Nabi itu pun menggali sebuah lubang lalu ditanamkan mangkuk emas itu, kemudian ditinggalkannya. Tiba-tiba mangkuk emas itu terkeluar semula. Nabi itu pun menanamkannya semula sehingga tiga kali berturut-turut. Maka berkatalah Nabi itu,

"Aku telah melaksanakan perintahmu." Lalu dia pun meneruskan perjalanannya tanpa disadari oleh Nabi itu yang mangkuk emas itu terkeluar semula dari tempat ia ditanam."

Ketika dia sedang berjalan, tiba-tiba dia ternampak seekor burung helang sedang mengejar seekor burung kecil. Kemudian terdengarlah burung kecil itu berkata,

"Wahai Nabi Allah, tolonglah aku."

Mendengar rayuan burung itu, hatinya merasa simpati lalu dia pun mengambil burung itu dan dimasukkan ke dalam bajunya. Melihatkan keadaan itu, lantas burung helang itu pun datang menghampiri Nabi itu sambil berkata,

"Wahai Nabi Allah, aku sangat lapar dan aku mengejar burung itu sejak pagi tadi. Oleh itu janganlah engkau patahkan harapanku dari rezekiku."

Nabi itu teringatkan pesanan arahan dalam mimpinya yang keempat, iaitu tidak boleh putuskan harapan. Dia menjadi kebingungan untuk menyelesaikan perkara itu. Akhirnya dia membuat keputusan untuk mengambil pedangnya lalu memotong sedikit daging pehanya dan diberikan kepada helang itu. Setelah mendapat daging itu, helang pun terbang dan burung kecil tadi dilepaskan dari dalam bajunya.

Selepas kejadian itu, Nabi meneruskan perjalannya. Tidak lama kemudian dia bertemu dengan satu bangkai yang amat busuk baunya, maka dia pun bergegas lari dari situ kerana tidak tahan menghidu bau yang menyakitkan hidungnya. Setelah menemui kelima-lima peristiwa itu, maka kembalilah Nabi ke rumahnya. Pada malam itu, Nabi pun berdoa. Dalam doanya dia berkata,

"Ya Allah, aku telah pun melaksanakan perintah-Mu sebagaimana yang diberitahu di dalam mimpiku, maka jelaskanlah kepadaku erti semuanya ini."

Dalam mimpi, beliau telah diberitahu oleh Allah S.W.T. bahawa,

"Yang pertama engkau makan itu ialah marah. Pada mulanya nampak besar seperti bukittetapi pada akhirnya jika bersabar dan dapat mengawal serta menahannya, maka marah itu pun akan menjadi lebih manis daripada madu.

"Kedua; semua amal kebaikan (budi), walaupun disembunyikan, maka ia tetap akan nampak jua."

" Ketiga; jika sudah menerima amanah seseorang, maka janganlah kamu khianat kepadanya".

"Keempat; jika orang meminta kepadamu, maka usahakanlah untuknya demi membantu kepadanya meskipun kau sendiri berhajat. "


"Kelima; bau yang busuk itu ialah ghibah (menceritakan hal seseorang). Maka larilah dari orang-orang yang sedang duduk berkumpul menceritakan hal seseorang."

Saudara-saudaraku, kelima-lima kisah ini hendaklah kita semaikan dalam diri kita, sebab kelima-lima perkara ini sentiasa saja berlaku dalam kehidupan kita sehari-hari.

Perkara yang tidak dapat kita elakkan setiap hari ialah mengata hal orang. Haruslah kita ingat bahawa kata-mengata hal seseorang itu akan menghilangkan pahala kita, sebab ada sebuah hadis mengatakan di akhirat nanti ada seorang hamba Allah akan terkejut melihat pahala yang tidak pernah dikerjakannya.

Lalu dia bertanya,

"Wahai Allah, sesungguhnya pahala yang Kamu berikan ini tidak pernah aku kerjakan di dunia dulu."


Maka berkata Allah S.W.T., "Ini adalah pahala orang yang mengata-ngata tentang dirimu."


Semoga yang baik itu datangnya daripada Allah S.W.T dan yang buruk itu datangnya daripada kelemahan diri ini jua..


p/s: sekadar peringatan untuk diri ini jua.


Nurhuda_cahayapetunjuk
5 Safar 1430H / 1 Februari 2009

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails

YA ALLAH...

YA ALLAH...

INDAHNYA....


I made this widget at MyFlashFetish.com.