Zaman yang serba mencabar ini, banyak sangat kes penceraian yang berleluasa dan kadang kala seakan-akan ia menjadi wabak yang dahsyat. Kerana itu, saya terpanggil untuk mencoretkan sedikit pendapat saya.
Ada di antara usia perkahwinan baru mencecah 3 bulan, pasangan sudah tidak sehaluan dan memfailkan kes penceraian di mahkamah. Apakah pada hari ini, manusia menjadikan perkahwinan sebagai bahan mainan. Ini yang membuatkan saya berasa sangat takut melihatkan fenomena yang semakin menular dalam masyarkat kita hari ini.
Ada pula yang sudah berkahwin 10 tahun tapi berakhir dengan penceraian. Di manakah silapnya….apa yang cukup membimbangkan saya ialah kasih sayang anak-anak. Dalam kes penceraian sebegini, anak-anaklah yang menjadi mangsa keadaan. Anak- anak tidak mengerti apa-apa dan masih memerlukan kasih sayang ibu dan ayah terpaksa berhadapan dengan situasi yang sukar diterima. Anak-anak adalah anugerah Allah S.W.T yang cukup bernilai. Anak-anak adalah amanah Allah kepada kedua ibu bapa. Apakah mereka tidak memikirkan anak-anak yang memerlukan belaian kasih sayang ibu dan ayah. Saya sendiri berasa sungguh sedih melihat keadaan sedemikian.
Tidakkah mereka ketahui bahawa anak-anak adalah perhiasan kehidupan sebagaimana Allah berfirman dalam surah Al-Kahfi ayat 46, yang bermaksud “Harta dan anak adalah perhiasan kehidupan dunia…” Menurut Muhammad Thalib (1997) dalam bukunya yang bertajuk “20 Sifat Fitrah Ibu Bapa” ada menyebut maksud ‘perhiasan’ tersebut ialah Allah menggunakan kata-kata ‘perhiasan’ untuk menggambarkan keadaan anak-anak bagi kedua ibu bapanya. Anak, Allah samakan nilainya sebagai perhiasan bagi kedua ibu dan bapanya. Pasangan suami isteri yang memperolehi anak dari Allah merasa bangga, senang, penghargaan dan hiburan dalam rumahtangga.
Tetapi dalam kes-kes penceraian seperti sekarang adakah mereka berasa bangga dan bersyukur dengan kurniaan anak oleh Allah S.W.T.
Kebanyakan anak-anak yang menjadi mangsa dalam kemelut penceraian ini, kurang mendapat kasih sayang. Apa yang terjadi seterusnya mereka terjebak dalam gejala yang tidak sihat. Remaja-remaja seperti ini, tidak dapat mengawal perlakuan mereka sehingga melakukan perkara-perkara yang tidak baik. Maka akan hilanglah generasi pewaris bangsa, hilangkah bakal pemimpin yang bakal memimpin negara. Kejatuhan institusi keluarga akan menyebabkan terjadi gejala sosial yang semakin menular.
Apa yang saya coretkan di sini, untuk melahirkan rasa kebimbangan saya dalam menghadapi dunia yang semakin mencabar terutama dalam mendidik anak-anak. Walau apapun, keimanan dan ketakwaan kepada Allah adalah kunci segala-galanya. Allah memberi kita akal untuk kita berfikir dengan sebaik-baiknya. Dalam setiap masalah ada penyelesaiannya, apa yang penting dekatkankan diri kita dengan Allah, moga-moga Allah memberi kekuatan dan petunjuk kepada kita semua. Kepada ibu-ibu dan bapa-bapa....ingatlah anak-anak adalah harta yang cukup bernilai...ingatlah tanggungjawab yang Allah berikan supaya mendidik anak-anak dengan sempurna dan berakhlak mulia...
Tiada ulasan:
Catat Ulasan