19 April, 2010

Menanti Esok...

بسم الله الرحمن الرحيم
Dengan nama Allah Yang Maha Pemurah lagi Maha Penyayang

InsyaAllah sementara masih menuggu tawaran posting, esok saya memulakan perjuangan di sekolah yang baru lagi , bertemu sahabat sejawatan yang baru dan adik-adik pelajar yang baru. ..moga Allah memudahkan setiap perjuangan dalam mendidik anak-anak bangsa..InsyaAllah di sekolah yang baru, pengalaman yang baru dan moga-moga saya dapat membantu anak-anak yang memerlukan, insyaAllah...Lagu " Satu Perjuangan" nyanyian kumpulan nasyid Brothers dan lagu "Sunnah Orang Berjuang" nyanyian kumpulan nasyid Nadamurni ini memberikan semangat untuk saya..insyaAllah..(teringat masa zaman belajar di kampus, lagu-lagu ini menjadi pembakar semangat kami untuk berjuang mencari ilmu untuk dimanfaatkan untuk agama, bangsa dan negara dan juga untuk mendidik anak-anak bangsa). Semoga Allah memudahkan segalanya..insyaAllah...


Lagu: Satu Perjuangan (Brothers)

Syukur Pada Yang Esa
Rahmat PemberianNya
Persaudaraan, Keharmonian

Jalinkan Kasih Sayang
Hulurkanlah Bantuan
Kepada Yang Memerlukannya

Mari Kita Bina Satu Ummah Majujaya
Mula Diri, Keluarga, Sahabat
Masyarakat Dan Negara

Dengan Satu Perjuangan
Satu Arah Tujuan
Di Bawah Rahmat Yang Esa

Kita Melangkah Seiringan
Satu Perjuangan

Rintangan Pasti Melanda
Jangan Undur Walau Selangkah
Teruskan Perjuangan
Hingga Ke Akhirnya
Andai Kau Gugur
Andai Kau Syahid
Kau DiredhaiNya



Lagu :Sunnah Orang Berjuang (Nadamurni)


Berjuang menempah susah
Menanggung derita menongkah fitnah
Itulah gelombang hidup samudera duka
Seorang mujahid membela tauhid

Dipisah dia berkelana
Dibelenggu dia uzlah menagih mehnah
Namun jiwa tetap mara menuju cita
Membara demi Allah dan Rasulnya


Berjuang tak pernah senang
Ombak derita tiada henti
Tenang resah silih berganti
Inilah sunnah, orang berjuang

Malamnya bagai rahib merintih sayu
Dihiris dosa airmata
Siangnya bagaikan singa dirimba
Memerah keringat, mencurah tenaga

Berjuang memang pahit
Kerana syurga itu manis
Bukan sedikit mahar yang perlu dibayar
Bukan sedikit pedih yang ditagih

Berjuang ertinya terkorban
Rela terhina kerna kebenaran

Antara dua jadi pilihan
dunia yang fana
atau syurga...


Semoga yang baik itu datangnya daripada Allah S.W.T dan yang buruk itu datangnya daripada kelemahan diri ini jua..

Damba CintaNYA..
Nurhuda_cahayapetunjuk
4 Jamadilawal 1431H /19 April 2010

16 April, 2010

Jangan Biarkan Aku Di Sini...

بسم الله الرحمن الرحيم
Dengan nama Allah Yang Maha Pemurah lagi Maha Penyayang

Alhamdulillah petang semalam menemani bonda dan ayahanda ke Bank Rakyat untuk membuat sedikit urusan di sana. Saya mengambil tempat di ruang menunggu yang disediakan.
Keletihan sungguh semalam kerana seharian membetulkan projek-projek grafik para pelajar. Memang ia memerlukan idea yang banyak untuk membantu mereka menghasilkan yang terbaik. InsyaAllah mudah-mudahan dipermudahkan Allah. Sambil menunggu, saya terpandang sebuah buku di satu ruangan bacaan. Apabila terpandang bahan bacaan terus sahaja dicapai dan menyelak helaian muka surat satu persatu.

Dan saya tertarik pada:

"Kisah Saidina Umar Al-Khattab r.a Dengan Pengembala Kambing" seperti yang diceritakan di dalam buku itu
(aduhai sampai balik, saya lupa melihat tajuk buku itu, yang saya ingat hanya isinya sahaja he he he).

Begini kisahnya: Pada suatu hari, berjalanlah Saidina Umar Al-Khattab r.a ke padang pasir. Tiba-tiba Saidina Umar Al-Khattab r.a ternampak seorang Badwi sedang mengembala kambing. Saidina Umar Al-Khattab r.a mahu menduga pengembala kambing itu. Kemudian Saidina Umar Al-Khattab r.a mendekati pengembala itu dan menawarkan untuk membeli kambing-kambing tersebut.

Pemuda kulit hitam itu berkata:
"Saya tidak boleh jual kambing ini, kerana ia milik tuan saya"

Saidina Umar Al-Khattab r.a berkata lagi:
"Kalau begitu berilah sedikit susu kambing tersebut kepadaku"

Pemuda itu menjawab:"Tidak boleh tuan"

Saidina Umar Al-Khattab r.a berkata lagi:
"Usah khuatir, tuan kamu tidak nampak perbuatan kamu itu"

Pemuda itu membalas:
"Tetapi ada yang melihatnya iaitu Allah S.W.T, DIA melihat apa yang dikerjakan"

Begitu hebatnya iman pengembala kambing itu, hatinya suci dan bersih dan melakukan sesuatu pekerjaan dengan penuh keikhlasan hanya kerana Allah S.W.T dan patuh setiap arahan yang diamanahkan.

Jagalah aqidah dan jauhkan daripada perbuatan khianat, berbohong, tidak amanah yang tidak akan membawa keberkatan dalam diri. Apabila aqidah kuat, maka insyaAllah amalan dan perlakuan akan baik. Banyak sangat masalah sosial melanda negara sehingga menyesak dada tatkala membaca akhbar-akhbar tempatan. Masalah buang anak, berzina, khalwat yang semakin meruncing. Rapuhnya akhlak mereka sehingga maruah digadaikan, bayi yang tidak berdosa dibuang.

Di mana sifat kemanusiaan, di manakah kasih sayang. Sedangkan seekor ayam sanggup mempertahankan anaknya daripada diganggu oleh musuh, inikan pula manusia yang mempunyai akal fikiran yang cukup cantik yang dijadikan oleh Allah. Membiarkan bayi yang tidak berdosa terkapai-kapai kesejukkan tanpa sehelai selimut dan hanya ditemani oleh sang lalat, sang semut dan plastik sampah membaluti badan yang tidak berdosa.

Saya tidak sanggup melihat gambar-gambar ini..sebak, sedih, marah, geram dan bercampur-baur perasaan saya ketika melihat wajah-wajah yang tidak berdosa diperlakukan sebegini. Ya Allah......


Tidakkah mereka sedari sebenarnya anak-anak itu menangis.....merintih dan memohon agar jangan biarkan mereka di situ. Dibiarkan seorang diri..

Rintihan si anak kecil yang tidak berdosa :

Ibu...
Jangan biar aku di sini, ibu..
Ibu..
Tolonglah bawa aku pergi dari sini...
Ibu...
Berilah aku harapan untuk hidup, ibu..
Aku mahu menjadi anak yang berjaya di dunia dan akhirat
Ibu..
Kasihani lah aku..aku takut..aku takut apabila gelap menjelma...
Aku berasa sejuk tanpa sehelai kain membaluti tubuhku..
Aku mahu merasai kasih sayangmu..
Aku mahu merasai nikmat hidup dunia walau ku tahu dunia ini penuh cabaran dan dugaan..
Aku mahu menjadi seperti anak-anak yang lain, dibelai, disayang, didakap oleh insan yang bernama ibu...
Apa salah ku sehingga aku dibuang di tempat yang hina ini..
Apa salahku sehingga aku dibunuh begini..
Apa salahku ibu...

Ibu...
Tidak adakah sekelumit rasa rindu dan kasihmu apabila menatap wajahku ini..
Ibu...
Seandainya aku diberi peluang untuk hidup, seandainya aku boleh melafazakan kata-kata...
Ingin saja ku ucapkan sayang padamu, ibu....


Allah berfirman dalam surah Al-Kahfi ayat 46; yang bermaksud:

" Harta dan anak adalah perhiasan kehidupan dunia...."

Anak-anak adalah anugerah Allah yang cukup bernilai. Tidakkah mereka ketahui bahawa dosa yang dibuat itu akan menghantui diri mereka seumur hidup, akan timbul kekesalan dalam diri atas dosa yang dilakukan. Pergaulan bebas antara lelaki dan perempuan terutama di kalangan remaja hari ini banyak mendorong penularan kes-kes sebegini dan berleluasanya masalah zina.

Duhai Adik-adikku, duhai sahabat-sahabatku, duhai remaja harapan bangsa....

Takutlah kepada Allah di mana jua kita berada. Takutkan Allah ketika bersendirian ataupun ramai sebagai formula hidup dan insyaAllah itulah yang akan dapat menyelamatkan daripada kebinasaan iman. Saudara Mohd Al-Adib Samuri dalam artikelnya dalam majalah Solusi ada menyebut :

"Jenayah boleh dicegah dengan menanam rasa takut kepada Allah, bukan rasa takut kepada undang-undang manusia. Takut kepada Allah yang boleh bertindak dengan tindakan-NYA yang di luar jangkaan kita, baik di dunia dan di akhirat. Menanam rasa takut kepada Allah ketika ramai mahupun ketika bersendirian"

Nabi mewasiatkan kepada Muaz r.a ketika mengutuskan ke Yaman. Baginda bersabda yang bermaksud:

"Wahai Muaz, takutlah Allah di mana jua kamu berada, dan takutilah kejahatan dengan kebaikan yang akan memadamkannya, dan berakhlaklah kepada manusia dengan akhlak yang baik"

Sabda Rasulullah S.A.W:

"Hendaklah kamu menyembah Allah seolah-olah kamu melihatnya, jika sekiranya tidak melihatnya yakinlah bahwa Allah melihat segala perbuatan kamu itu"



Untuk peringatan diri ini jua..

Semoga yang baik itu datangnya
daripada Allah S.W.T dan yang buruk itu datangnya daripada kelemahan diri ini jua..

Damba CintaNYA..
Nurhuda_cahayapetunjuk
1 Jamadilawal 1431H /16 April 2010

05 April, 2010

Hanya Kerana Allah...

بسم الله الرحمن الرحيم
Dengan nama Allah Yang Maha Pemurah lagi Maha Penyayang

Suatu hari satu pertempuran telah berlaku di antara pihak Islam dengan pihak Musyrik. Kedua-dua belah pihak berjuang dengan hebat untuk mengalahkan antara satu sama lain. Tiba saat pertempuran itu diberhentikan seketika dan kedua-dua pihak pulang ke markas masing-masing.

Di sana, Nabi Muhammad S.A.W dan para sahabat telah berkumpul membincangkan tentang pertempuran yang telah berlaku itu. Peristiwa yang baru mereka alami itu masih terbayang-bayang di ruang mata. Dalam perbincangan itu, mereka begitu kagum dengan salah seorang daripada sahabat mereka iaitu, Qotzman. Semasa bertempur dengan musuh, dia kelihatan seperti seekor singa yang lapar membaham mangsanya. Dengan keberaniannya itu, dia telah menjadi buah mulut ketika itu.

"Tidak seorang pun di antara kita yang dapat menandingi kehebatan Qotzman," kata salah seorang sahabat.

Mendengar perkataan itu, Rasulullah pun menjawab,

"Sebenarnya dia itu adalah golongan penduduk neraka."

Para sahabat menjadi heran mendengar jawapan Rasulullah itu. Bagaimana seorang yang telah berjuang dengan begitu gagah menegakkan Islam boleh masuk dalam neraka. Para sahabat berpandangan antara satu sama lain apabila mendengar jawapan Rasulullah itu.

Rasulullah sedar para sahabatnya tidak begitu percaya dengan ceritanya, lantas baginda berkata,

"Semasa Qotzman dan Aktsam keluar ke medan perang bersama-sama, Qotzman telah mengalami luka parah akibat ditikam oleh pihak musuh. Badannya dipenuhi dengan darah. Dengan segera Qotzman meletakkan pedangnya ke atas tanah, manakala mata pedang itu pula dihadapkan ke dadanya. Lalu dia terus membenamkan mata pedang itu ke dalam dadanya."

"Dia melakukan perbuatan itu adalah kerana dia tidak tahan menanggung kesakitan akibat dari luka yang dialaminya. Akhirnya dia mati bukan kerana berlawan dengan musuhnya, tetapi membunuh dirinya sendiri. Melihatkan keadaannya yang parah, ramai orang menyangka yang dia akan masuk syurga. Tetapi dia telah menunjukkan dirinya sebagai penduduk neraka."

Menurut Rasulullah S.A.W lagi, sebelum dia mati, Qotzman ada mengatakan, katanya,

"Demi Allah aku berperang bukan kerana agama tetapi hanya sekadar menjaga kehormatan kota Madinah supaya tidak dihancurkan oleh kaum Quraisy. Aku berperang hanyalah untuk membela kehormatan kaumku. Kalau tidak kerana itu, aku tidak akan berperang."

Sedikit kisah untuk renungan kita bersama...Segalanya hanya kerana Allah S.W.T. Rebutlah yang terbaik di sisi Allah S.W.T.

Saya pinjam kata-kata seorang sahabat untuk renungan bersama,

"Allah berhak memberi cinta pada kita

Dia juga berhak menarik cintaNYA kembali

Allahlah pemilik cinta hati-hati manusia..

Sebab itu apabila kita kuat dgn Allah.. kita redha pada Allah.. maka kita cintakan Allah

dan Allah pasti akan mmberi cinta itu pada kita pula..

itu keberkatan paling agung, nikmat paling besar cinta yg sangat hebat"

(Ibnu Rashidi-Faridrashidi.com)



Semoga yang baik itu datangnya daripada Allah S.W.T dan yang buruk itu datangnya daripada kelemahan diri ini jua..

Damba CintaNYA..
Nurhuda_cahayapetunjuk
20 Rabiulakhir 1431H /5 April 2010

03 April, 2010

Akhlak Seorang Mukmin

بسم الله الرحمن الرحيم
Dengan nama Allah Yang Maha Pemurah lagi Maha Penyayang

Sebahagian daripada akhlak yang mesti dimiliki oleh seseorang yang bergelar mukmin ialah:

1. Bersifat warak daripada melakukan perkara-perkara yang syubhah
2. Sentiasa menundukkan pandangan daripada melihat sesuatu yang tidak sewajarnya.
3. Memelihara lidah daripada mengeluarkan perkataan yang tidak sepatutnya.
4. Malu melakukan perkara yang dilarang oleh Allah S.W.T
5. Lemah lembut dan sabar.
6. Benar dan jujur.
7. Tawadhuk
8. Menjauhi perbuatan buruk sangka, mengumpat dan menjejaki keburukan orang.
9. Pemurah
10. Menjadi Qudwah hasanah (tauladan) kepada masyarakat sekitar.

"Ya Allah..perbaikilah agamaku yang menjadi perkara paling penting padaku. Perbaikilah duniaku yangmenjadi kehidupanku. Perbaikilah akhiratku yang menjadi tempat aku kembali. Jadikanlah hidup ini sebagai tambahan segala kebaikan bagiku. Jadikanlah kematian itu sebagai istirahatku daripada segala kejahatan"

"Ya Allah, sematkan dalam jiwaku rasa takwa kepadaMU, sucikanlah hatiku kerana Engkau sahaja yang dapat menyucikannya. Engkau yang maha menguasainya. Ya Allah..aku berlindung daripada ilmu pengetahuan yang tidak berguna, daripada hati yang tidak khusyuk, daripada nafsu yang tidak pernah puas, dan daripada doa yang tidak diterima. Ya Allah..pimpinlah aku ke jalan kebenaran dan jalan yang diredhai olehMU, Ya Allah"


Semoga yang baik itu datangnya daripada Allah S.W.T dan yang buruk itu datangnya daripada kelemahan diri ini jua..

Damba CintaNYA..
Nurhuda_cahayapetunjuk
18 Rabiulakhir 1431H /3 April 2010


28 Mac, 2010

Di Dunia Ada Syurga - Asma Nadia

بسم الله الرحمن الرحيم
Dengan nama Allah Yang Maha Pemurah lagi Maha Penyayang

Minggu lepas saya bersama dua orang adik sepupu yang solehah ini, Nurul Izzati (7 tahun) dan Nurul Najihah (5 tahun) ke kedai buku Badan Cemerlang di Plaza Angsana, Johor. Di sini lah tempat saya untuk mencari buku-buku terbaru dan alhamdulillah selalunya pencarian tidak menghampakan. Sebenarnya niat di hati ingin menjejakkan kaki ke Pesta Buku Antarabangsa di PWTC tetapi tidak kesampaian kerana ada hal-hal yang tidak dapat dielakkan.

Apabila ke kedai buku pastinya tidak ketinggalan membelikan buku-buku untuk si cilik yang solehah ini..:) Saya tidak boleh memilih buku selagi buku mereka tidak dicari terlebih dahulu dan mereka tidak akan berhenti berkata,

"Salah la Kak Y
u, ni bukan tempat buku kanak-kanak"

dan akhirnya saya akur bahawa buku mereka perlu dicari terlebih dahulu :). Semoga si kecil ini, sentiasa mencintai ilmu dan menjadi anak-anak dan adik-adik yang solehah..:)

Sejak kecil saya memang suka membaca buku-buku ayahanda, novel-novel, kitab-kitab dan buku-buku agama milik beliau .Semasa di alam persekolahan, apabila saya memasuki pertandingan pidato, syarahan, berzanji dan tilawah Al-Quran, hadiah yang diterima ialah buku-buku cerita, kitab-kitab..inilah yang mendorong saya mencintai buku dan sehingga kini, jika saya mahu melelapkan mata, buku pasti ada di sisi dan membaca seketika. Semoga Allah memberi saya peluang untuk terus mencintai buku dan menggali segala ilmu yang diperolehi dengan membaca, insyaAllah..

Saya sudah lama selesai membaca sebuah buku dan baru berkesempatan untuk memberikan sedikit ulasan tentang buku ini.

Tajuk: Di Dunia Ada Syurga
Penulis: Asma Nadia
Penerbit: PTS Sdn Bhd
Muka surat: 147
Harga: RM11.90

Buku ini mengandungi 12 bab yang terdiri daripada pelbagai kisah benar. Kisah benar berkaitan dengan doa, keikhlasan dalam berdoa dan akhirnya Allah memakbulkan doa-doa orang-orang yang tidak pernah putus-putus meminta, memohon kepada Allah Yang Maha Berkuasa.

Bab 1: Catatan Hati dalam setiap sujudku
Bab 2: Jalan Menuju Rumahmu
Bab3: Keajaiban Doa
Bab 4: Rindu Kami Bertemu dalam Tahajud
Bab 5: Ingin Selalu Berada Dekat Denganmu
Bab 6: Api menyala di Atap Rumah Kami
Bab 7: Dalam Sukar, Ada yang Ingin Dikatakannya
Bab 8: Ibu
Bab 9: Rumah Hijau Dalam Hati Kami
Bab 10: Bukan Kerana Allah Tidak Sayang
Bab 11: Gadis Yang Membuat Saya Cemuburu
Bab 12: Catatan Kecil Daripada Malam-malam Yang Panjang

Setiap bab ada kisahnya sendiri dan setiap kisah ada terselit pengajaran yang cukup berguna tentang doa. Saya memetik satu kisah yang sangat menyentuh hati dan perasaan saya dan sambil membaca tanpa disedari titisan airmata gugur di helaian buku ini.

Kisah di dalam bab 4: Rindu Kami Bertemu Dalam Tahajud, mengisahkan ibu terpisah dengan anak-anaknya apabila hak penjagaan diberikan kepada bapa atas alasan faktor kewangan. Si anak yang sulung yang baru berusia 11 tahun begitu memahami ibunya. Begitu perit ibu hendak berpisah dengan anak-anak yang soleh yang selama ini menjadi sumber kekuatannya dan anak-anak terpaksa berdikari tanpa seorang ibu di sisi. .
Antara kata-kata ibu :

"Bersendirian tanpa anak-anak, saya merasakan diri ini sebagai manusia yang kalah dan tidak punya apa-apa. Hingga saya sedari yang saya masih memiliki Allah. Saya mendekatkan diri dengannya lebih tulus dan memanjatkan doa yang lebih khusyuk. Hanya kepadaNYA saya serahkan anak-anak dan cinta mereka kepada saya"

Ini yang membuatkan saya tersentuh dan berkali-kali tersedu-sedu apabila membacanya. Dalam apa jua keadaaan susah dan senang , jangan sekali-kali kita lupakan Allah kerana Allah selalu bersama-sama kita. Allah menyayangi hambaNYA yang selalu memohon pertolongan dan petunjuk. Allah Maha Besar, Allah Maha Besar..

Dan lagi, ibu ini selalu mengerjakan solat malam untuk mendapat ketenangan dan kekuatan atas ujian Allah, dan sentiasa redha atas ujian yang menimpanya. Si anak yang baru berumur 11 tahun juga kerap menunaikan solat tahajud dan si anak pernah mengirim sms kepada ibunya lewat malam:

"Ibu, tadi saya sangat rindu dengan ibu. Lalu, saya solat tahajud dan beritahu Allah yang saya sangat rindukan ibu"

Sekiranya dia rindukan ibunya, dia akan solat tahajud dan berdoa kepada Allah, selepas berbicara dengan Allah barulah si anak dapat tidur dengan tenang. Alhamdulillah sayu hati saya...bertuah si ibu mendapat anak yang soleh. Allah mendengar setiap butir-butir doanya.

Terlalu banyak pengajaran yang diperolehi di dalam buku ini dan susunan kata-katanya amat mudah difahami. Diselitkan juga maksud ayat-ayat Al-Quran di dalamnya.

"Dan Tuhanmu berpesan, Berdoalah kepadaku, nescaya akan Aku perkenankan bagimu. Sesungguhnya orang-orang yang menyombong diri daripada menyembahku akan masuk neraka jahanam dalam keadaan hina"
(Surah Al-Mukmin: ayat 60)

Saya berdoa semoga saya tidak akan pernah putus asa untuk berdoa dan terus berdoa kepada Allah, semoga Allah memberi saya kekuatan untuk saya terus memohon yang terbaik di sisiNYA. Allah Maha Besar, Allah Maha Penyayang, Allah S.W.T yang saya sangat saya cintai.

Kata-kata di kulit hadapan buku ini:

"Tuhanku..bersamaMU tidak ada jalan buntu"

"DenganMU Tuhan, berat terasa ringan,
DenganMU Tuhan, aku punya harapan,
Engkau yang memungkinkan kemustahilan,
Engkaulah jua yang menciptakan keajaiban"


Semoga yang baik itu datangnya daripada Allah S.W.T dan yang buruk itu datangnya daripada kelemahan diri ini jua..

Damba CintaNYA..
Nurhuda_cahayapetunjuk
12 Rabiulakhir 1431H /28 Mac 2010

27 Mac, 2010

InsyaAllah-Maher Zain

بسم الله الرحمن الرحيم
Dengan nama Allah Yang Maha Pemurah lagi Maha Penyayang

Khas buat sahabat-sahabat, saya kongsikan lagu ini daripada Maher Zain, tajuknya :InsyaAllah..

Tajuk:InsyaAllah
Maher Zain

Everytime you feel like you cannot go on
You feel so lost
That your so alone
All you is see is night
And darkness all around
You feel so helpless
You can’t see which way to go
Don’t despair and never loose hope
Cause Allah is always by your side
Insha Allah x3

Insya Allah you’ll find your way
Everytime you can make one more mistake
You feel you can’t repent
And that its way too late
Your’re so confused, wrong decisions you have made
Haunt your mind and your heart is full of shame
Don’t despair and never loose hope
Cause Allah is always by your side
Insha Allah x3

Insya Allah you’ll find your way
Insha Allah x3
Insya Allah you’ll find your way
Turn to Allah
He’s never far away
Put your trust in Him
Raise your hands and pray

OOO Ya Allah
Guide my steps don’t let me go astray
You’re the only one that showed me the way,
Showed me the way x2
Insha Allah x3
Insya Allah we’ll find the way



Semoga yang baik itu datangnya daripada Allah S.W.T dan yang buruk itu datangnya daripada kelemahan diri ini jua..

Damba CintaNYA..
Nurhuda_cahayapetunjuk
11 Rabiulakhir 1431H /27 Mac 2010

12 Mac, 2010

Mengapa Aku Dihidupkan Dunia Ini?

بسم الله الرحمن الرحيم
Dengan nama Allah Yang Maha Pemurah lagi Maha Penyayang

Alhamdulillah bertemu kembali setelah hampir 3 bulan saya tidak mengemaskini "Teratak Indah", dan inilah coretan pertama saya untuk tahun 2010 dan 1431H, ke mana saya selama ini? masa yang cukup terbatas dengan urusan kerjaya dan keluarga yang perlu diuruskan...walau pun begitu hati tidak putus-putus memohon agar diberikan kekuatan untuk menulis di sini untuk dikongsi sedikit ilmu...Alhamdulillah bersyukur atas nikmat yang cukup bernilai..kepada sahabat-sahabat yang bertanyakan coretan terbaru, maafkan saya...alhamdulillah hari ini, saya diberikan kekuatan oleh Allah S.W.T untuk menggerak jari untuk entri yang terbaru...

Berbicara tentang hidup....pernah kita terfikir sejenak, mengapa kita dihidupkan dan untuk apa kita hidup..pernah dengar ayat ini disebut-sebut "Makan untuk hidup atau hidup untuk makan?" adakah kita hidup semata-mata untuk makan, minum, tidur, berhibur sampai lupa syariat Islam, bersahabat sampai lupa batas pergaulan, atau mungkin akan hidup 1000 tahun lagi sampai lupa mungkin hari ini, esok atau lusa kita akan dijemput ke alam barzakh?

"Mengapa Aku Dihidupkan Di Dunia Ini?"

Aku dihidupkan............:

1) Untuk sujud menyembah Allah
Firman Allah dalam Surah Al-Bayyinah: ayat 5 yang bermaksud;
"Padahal mereka hanya diperintah menyembah Allah, dengan ikhlas mentaati-NYA semata-mata kerana (menjalankan) agama dan juga agar melaksanakan solat dan menunaikan zakat, dan yang demikian itulah agama yang lurus (benar)"
(Surah Al-Bayyinah :ayat 5)

2) Untuk aku sebagai khalifah di muka bumi ini...
Ketika Allah S.W.T mula menyatakan kehendakNYA untuk menjadikan nabi Adam A.S di hadapan malaikat. Dia (Allah) telah menyebutkan status makhlukNYA itu sebagai Khalifa Fil Ard (Khalifah di muka bumi).

Firman Allah S.W.T dalam Surah Al-Baqarah: Ayat 30 yang bermaksud;
"Sesungguhnya Aku hendak menjadikan di atas muka bumi itu seorang khalifah........."
(Surah Al-Baqarah: ayat 30)

3) Untuk aku menyeru kebaikan, membanteras kejahatan......
Firman Allah S.W.T dalam Surah Ali 'Imran: Ayat 8 dan 9 yang bermaksud:
"(Mereka berdoa), "Ya Allah, janganlah Engkau condongkan hati kami kepada kesesatan setelah Engkau berikan petunjuk kepada kami, dan kurniakanlah kepada kami rahmat dari sisiMU, sesungguhnya Engkau Maha Pemberi"
(Surah Ali 'Imran : ayat 8)

"Ya Allah, Engkaulah yang mengumpulkan manusia pada hari yang tidak ada keraguan padanya. Sungguh Allah tidak menyalahi janji"
(Surah Ali 'Imran: ayat 9)

4) Allah tidak jadikan aku sia-sia...
Firman Allah S.W.T dalam Surah Al-Mu'minun: ayat 115 yang bermaksud:
"Maka apakah Kami menciptakan kamu main-main (tanpa ada maksud) dan bahawa kamu tidak akan dikembalikan kepada Kami?"
(Surah Al-Mu'minun:ayat 115)


Nabi S.A.W bersabda, "Berusahalah untuk duniamu seolah-olah kamu akan hidup selama-lamanya dan berusahalah untuk akhiratmu seolah-olah kamu akan mati esok hari"


Semoga yang baik itu datangnya daripada Allah S.W.T dan yang buruk itu datangnya daripada kelemahan diri ini jua..

Damba CintaNYA..
Nurhuda_cahayapetunjuk
26 Rabiulawal 1431H /12 Mac 2010

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails

YA ALLAH...

YA ALLAH...

INDAHNYA....


I made this widget at MyFlashFetish.com.