28 Mac, 2010

Di Dunia Ada Syurga - Asma Nadia

بسم الله الرحمن الرحيم
Dengan nama Allah Yang Maha Pemurah lagi Maha Penyayang

Minggu lepas saya bersama dua orang adik sepupu yang solehah ini, Nurul Izzati (7 tahun) dan Nurul Najihah (5 tahun) ke kedai buku Badan Cemerlang di Plaza Angsana, Johor. Di sini lah tempat saya untuk mencari buku-buku terbaru dan alhamdulillah selalunya pencarian tidak menghampakan. Sebenarnya niat di hati ingin menjejakkan kaki ke Pesta Buku Antarabangsa di PWTC tetapi tidak kesampaian kerana ada hal-hal yang tidak dapat dielakkan.

Apabila ke kedai buku pastinya tidak ketinggalan membelikan buku-buku untuk si cilik yang solehah ini..:) Saya tidak boleh memilih buku selagi buku mereka tidak dicari terlebih dahulu dan mereka tidak akan berhenti berkata,

"Salah la Kak Y
u, ni bukan tempat buku kanak-kanak"

dan akhirnya saya akur bahawa buku mereka perlu dicari terlebih dahulu :). Semoga si kecil ini, sentiasa mencintai ilmu dan menjadi anak-anak dan adik-adik yang solehah..:)

Sejak kecil saya memang suka membaca buku-buku ayahanda, novel-novel, kitab-kitab dan buku-buku agama milik beliau .Semasa di alam persekolahan, apabila saya memasuki pertandingan pidato, syarahan, berzanji dan tilawah Al-Quran, hadiah yang diterima ialah buku-buku cerita, kitab-kitab..inilah yang mendorong saya mencintai buku dan sehingga kini, jika saya mahu melelapkan mata, buku pasti ada di sisi dan membaca seketika. Semoga Allah memberi saya peluang untuk terus mencintai buku dan menggali segala ilmu yang diperolehi dengan membaca, insyaAllah..

Saya sudah lama selesai membaca sebuah buku dan baru berkesempatan untuk memberikan sedikit ulasan tentang buku ini.

Tajuk: Di Dunia Ada Syurga
Penulis: Asma Nadia
Penerbit: PTS Sdn Bhd
Muka surat: 147
Harga: RM11.90

Buku ini mengandungi 12 bab yang terdiri daripada pelbagai kisah benar. Kisah benar berkaitan dengan doa, keikhlasan dalam berdoa dan akhirnya Allah memakbulkan doa-doa orang-orang yang tidak pernah putus-putus meminta, memohon kepada Allah Yang Maha Berkuasa.

Bab 1: Catatan Hati dalam setiap sujudku
Bab 2: Jalan Menuju Rumahmu
Bab3: Keajaiban Doa
Bab 4: Rindu Kami Bertemu dalam Tahajud
Bab 5: Ingin Selalu Berada Dekat Denganmu
Bab 6: Api menyala di Atap Rumah Kami
Bab 7: Dalam Sukar, Ada yang Ingin Dikatakannya
Bab 8: Ibu
Bab 9: Rumah Hijau Dalam Hati Kami
Bab 10: Bukan Kerana Allah Tidak Sayang
Bab 11: Gadis Yang Membuat Saya Cemuburu
Bab 12: Catatan Kecil Daripada Malam-malam Yang Panjang

Setiap bab ada kisahnya sendiri dan setiap kisah ada terselit pengajaran yang cukup berguna tentang doa. Saya memetik satu kisah yang sangat menyentuh hati dan perasaan saya dan sambil membaca tanpa disedari titisan airmata gugur di helaian buku ini.

Kisah di dalam bab 4: Rindu Kami Bertemu Dalam Tahajud, mengisahkan ibu terpisah dengan anak-anaknya apabila hak penjagaan diberikan kepada bapa atas alasan faktor kewangan. Si anak yang sulung yang baru berusia 11 tahun begitu memahami ibunya. Begitu perit ibu hendak berpisah dengan anak-anak yang soleh yang selama ini menjadi sumber kekuatannya dan anak-anak terpaksa berdikari tanpa seorang ibu di sisi. .
Antara kata-kata ibu :

"Bersendirian tanpa anak-anak, saya merasakan diri ini sebagai manusia yang kalah dan tidak punya apa-apa. Hingga saya sedari yang saya masih memiliki Allah. Saya mendekatkan diri dengannya lebih tulus dan memanjatkan doa yang lebih khusyuk. Hanya kepadaNYA saya serahkan anak-anak dan cinta mereka kepada saya"

Ini yang membuatkan saya tersentuh dan berkali-kali tersedu-sedu apabila membacanya. Dalam apa jua keadaaan susah dan senang , jangan sekali-kali kita lupakan Allah kerana Allah selalu bersama-sama kita. Allah menyayangi hambaNYA yang selalu memohon pertolongan dan petunjuk. Allah Maha Besar, Allah Maha Besar..

Dan lagi, ibu ini selalu mengerjakan solat malam untuk mendapat ketenangan dan kekuatan atas ujian Allah, dan sentiasa redha atas ujian yang menimpanya. Si anak yang baru berumur 11 tahun juga kerap menunaikan solat tahajud dan si anak pernah mengirim sms kepada ibunya lewat malam:

"Ibu, tadi saya sangat rindu dengan ibu. Lalu, saya solat tahajud dan beritahu Allah yang saya sangat rindukan ibu"

Sekiranya dia rindukan ibunya, dia akan solat tahajud dan berdoa kepada Allah, selepas berbicara dengan Allah barulah si anak dapat tidur dengan tenang. Alhamdulillah sayu hati saya...bertuah si ibu mendapat anak yang soleh. Allah mendengar setiap butir-butir doanya.

Terlalu banyak pengajaran yang diperolehi di dalam buku ini dan susunan kata-katanya amat mudah difahami. Diselitkan juga maksud ayat-ayat Al-Quran di dalamnya.

"Dan Tuhanmu berpesan, Berdoalah kepadaku, nescaya akan Aku perkenankan bagimu. Sesungguhnya orang-orang yang menyombong diri daripada menyembahku akan masuk neraka jahanam dalam keadaan hina"
(Surah Al-Mukmin: ayat 60)

Saya berdoa semoga saya tidak akan pernah putus asa untuk berdoa dan terus berdoa kepada Allah, semoga Allah memberi saya kekuatan untuk saya terus memohon yang terbaik di sisiNYA. Allah Maha Besar, Allah Maha Penyayang, Allah S.W.T yang saya sangat saya cintai.

Kata-kata di kulit hadapan buku ini:

"Tuhanku..bersamaMU tidak ada jalan buntu"

"DenganMU Tuhan, berat terasa ringan,
DenganMU Tuhan, aku punya harapan,
Engkau yang memungkinkan kemustahilan,
Engkaulah jua yang menciptakan keajaiban"


Semoga yang baik itu datangnya daripada Allah S.W.T dan yang buruk itu datangnya daripada kelemahan diri ini jua..

Damba CintaNYA..
Nurhuda_cahayapetunjuk
12 Rabiulakhir 1431H /28 Mac 2010

2 ulasan:

kakchik berkata...

tak pernah puas menatap buku dan tak pernah puas ke kedai buku walaupun punyai kedai buku sendiri.

nurhuda_cahayapetunjuk berkata...

Kak Chik..

huda sependapat dgn kak chik...
Kak chik lagi bertuah kerana sudah ada kedai buku sendiri, mahu juga ikut jejak langkah kak chik..:)

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails

YA ALLAH...

YA ALLAH...

INDAHNYA....


I made this widget at MyFlashFetish.com.