11 Oktober, 2009

Gempa Bumi, di Padang, Sumatera Barat


بسم الله الرحمن الرحيم
Dengan nama Allah Yang Maha Pemurah lagi Maha Penyayang

Semalam..dalam penat membantu makcik melayan tetamu, mata sempat lagi memandang kaca televisyen, apakah rancangan untuk hari ini. Sebenarnya saya bukanlah penggemar setia rancangan-rancangan di televisyen kerana banyak rancangan yang menyesak dada tatkala melihatnya. Saya lebih gemar membaca buku-buku yang masih tersedia untuk dihadamkan..;)..Walau bagaimanapun rancangan dokumentari 'Majalah 3' adalah antara rancangan yang bagus unuk tontonan dan semalam sekali lagi paparan 'Majalah 3' tidak mengecewakan. Majalah 3 memaparkan tragedi gempa bumi di Padang, Sumatera Barat. Saya menonton sambil linangan air mata, sedih dan banyak beristighfar atas dugaan Allah buat mereka.

Beribu-ribu mangsa meninggal dunia dan tertimbus di bawah timbunan bangunan. Menyayat hati sesiapa yang melihatnya..Dugaan Allah agar manusia sentiasa tabah dalam menghadapi dugaan..Semoga mereka tabah dalam menghadapi dugaan Allah. Dugaan adalah tarbiyah daripadaNYA..


Sebagai hamba Allah yang cintanya hanya pada Allah, hendaklah sentiasa bersyukur, nikmat yang diberikan Allah kepada kita, yang menjauhkan kita daripada bencana. jauhkan diri kita daripada sifat hasad dengki, sifat hati yang sentiasa memusnahkan diri manusia. Kita ambil iktibar dalam setiap perkara yang berlaku. Muhasabah diri dalam setiap perlakuan dan perbuatan kita. Sentiasalah berpegang pada agama Allah, Agama Islam, mudah-mudahan hidup kita akan diberkati Allah selamanya..insyaAllah..InnaAllaha Ma'ana

Firman Allah dalam surah Al-Nasr: ayat 1-3, yang bermaksud:
"Apabila telah datang pertolongan Allah dan kemenangan"
"dan kamu lihat manusia masuk agama Allah dengan berbondong-bondong"
"maka bertasbihlah dengan memuji Tuhan-mu dan mohonlah ampun kepada-NYA. Sesungguhnya Dia adalah Maha Penerima Taubat"

Semoga yang baik itu datangnya daripada Allah S.W.T dan yang buruk itu datangnya daripada kelemahan diri ini jua..

Damba CintaNYA..
Nurhuda_cahayapetunjuk
22 Syawal 1430H /11 Oktober 2009

08 Oktober, 2009

Kembali....

بسم الله الرحمن الرحيم
Dengan nama Allah Yang Maha Pemurah lagi Maha Penyayang

Salam sayang buat semua..lama sungguh saya tidak menulis apa-apa di sini..
Alhamdulillah tugas saya sudah selesai..saya sudah menamatkan latihan mengajar baru-baru ini..bersyukur kepada Allah atas nikmat yang diberikan..bersyukur kerana Allah masih memberi kesempatan kepada saya merasai nikmat dunia yang cukup bernilai..

Saya berdoa semoga dengan izin Allah, saya dapat menjadi pendidik yang terbaik buat insan-insan yang memerlukan. Semoga Allah mengizinkan saya untuk terus berbakti, semoga Allah memberi kekuatan kepada saya dalam mendidik anak bangsa, semoga saya akan terus belajar dan belajar dalam mengejar dan menimba seberapa banyak ilmu.

Terima kasih kepada Kak Kin, Kak Wan dan Kak Sasha atas kiriman kad raya di bawah..semoga ukhwah terus berkekalan, insyaAllah..:)

Kad Raya daripada Kak Wan
Kad Raya daripada Kak Kin

Kad Raya daripada Kak Sasha

Saya tinggalkan dua rangkap pantun yang baru saya baca dalam sebuah buku:

Jadikan takwa sebagai jalan,
Dalam hidup sepanjang zaman,
Taat dan patuh dalam pimpinan,
Selama Al-Quran jadi pegangan.

Ujian dahsyat terhadap iman,
Hampir menggoncang asas pegangan,
Di pagi petang, di kiri kanan,
Iman di dada jangan lepaskan.

Jagalah iman, moga-moga Allah memberikan petunjuk dan hidayah selama-lamanya kepada kita semua..Aminn...

Semoga yang baik itu datangnya daripada Allah S.W.T dan yang buruk itu datangnya daripada kelemahan diri ini jua..

Damba CintaNYA..
Nurhuda_cahayapetunjuk
19 Syawal 1430H /8 Oktober 2009

11 Ogos, 2009

Panjatkanlah Doa Kepada Allah S.W.T....


بسم الله الرحمن الرحيم
Dengan nama Allah Yang Maha Pemurah lagi Maha Penyayang

Tulisan saya kali ini mungkin berbaur kerisauan dalam diri akibat wabak yang kian merebak melanda dunia hari ini. Masakan tidak, sehingga ke hari ini, sudah meragut 32 nyawa dan ramai yang dikuarantin. Gelisah dalam diri memikirkan bilakah wabak ini akan berakhir. ..

Cuma saya agak terkilan, mengapa dan kenapa orang ramai masih tidak ada kesedaran tentang wabak ini, kenapa masih ramai yang berjalan di tempat awam tanpa memakai topeng? kenapa masih ada sekolah yang tidak mewajibkan pelajar-pelajar memakai penutup muka itu? aduhai...di manakah kesedaran mereka tentang bahayanya wabak ini..


Walau apa pun pada saya, ini adalah dugaan Allah S.W.T buat kita. Sebagai hamba Allah, kita hendaklah sentiasa percaya bahawa setiap yang berlaku itu pasti ada hikmahnya. Dalam ruang yang ada ini, kita muhasabah diri, melihat dalam segenap perlakuan kita selama ini. Allah menguji hambaNYA untuk melihat kekuatan iman dalam diri setiap hambaNYA. HambaNYA yang taat dan kuat saja yang dapat melalui segala ujian dan dugaan Allah.

Marilah kita perbanyakkan bersolat taubat, bersolat hajat dan melakukan amalan-amalan sunat, moga-moga ia dapat meningkatkan kekuatan iman kita kepada Allah S.W.T dan tabah dalam menghadapi dugaan-dugaan Allah. Perbanyakkanlah berdoa kepada Allah S.W.T, moga-moga doa-doa kita itu diperkenankan Allah S.W.T.


Sebagaimana Firman Allah S.W.T dalam Surah Al-Mu'min ayat 60 yang bermaksud:
"Dan Tuhanmu berfirman,"Berdoalah kepadaKU, nescaya akan Aku perkenankan bagimu. Sesungguhnya orang-orang yang sombong tidak mahu menyembahKU akan masuk neraka Jahanam dalam keadaan hina dina"

Panjatkanlah doa semoga seluruh umat Islam selamat daripada apa jua bencana dan wabak durjana itu.

Ya Allah..

Ampunilah dosa-dosa kami,

Lindungilah kami daripada segala bencana dan penyakit-penyakit yang berjangkit,
Jadikanlah kami, hambaMU yang sentiasa taat dan tabah dalam menghadapi dugaan, Bantulah kami dalam memperbaiki amalan dan perlakuan kami,
Bantulah kami dalam meningkatkan keimanan kepadaMU, Ya Allah,

Bantulah kami dalam menjadi hambaMU yang taat dan patuh kepadaMU, Ya Allah..
Ya Rahman..Ya Rahim...
Permudahkan kami dalam menghadapi dugaanMU, Ya Allah...


Mudah-mudahan Allah menjauhkan diri kita daripada penyakit yang merbahaya itu..



Semoga yang baik itu datangnya daripada Allah S.W.T dan yang buruk itu datangnya daripada kelemahan diri ini jua..

Damba CintaNYA..
Nurhuda_cahayapetunjuk
20 Sya'aban 1430H /11 Ogos 2009

06 Ogos, 2009

Lembaran Hidup Wanita Solehah

بسم الله الرحمن الرحيم
Dengan nama Allah Yang Maha Pemurah lagi Maha Penyayang

Mampukah aku menjadi seperti Siti Khadijah?
Agung cintanya kepada Allah dan Rasulullah, hartanya diperjuangkan ke jalan fisabilillah,
Penawar hati, kekasih Allah, susah dan senang rela bersama..

Dapatkah kudidik jiwa seperti Siti Aisyah?
Isteri Rasulullah yang bijak, pendorong kesusahan dan penderitaan,
Tiada sukar untuk dilaksanakan.

Mengalir airmataku melihat pengorbanan puteri solehah, Siti Fatimah,
Akur dalam setiap perintah, taat dengan abuyanya yang sentiasa berjuang,
Tiada memiliki harta dunia, layaklah dia sebagai wanita penghulu syurga.

Ketika aku marah, inginku intip serpihan sabar, dari catatan hidup Siti Sarah....

Tabahkan jiwaku, setabah umi nabi Ismail, mengendong bayinya yang masih merah, mencari air Penghilang dahaga, di terik padang pasir merah, ditinggalkan suami akur tanpa bantah, Pengharapannya hanya kepada Allah, itulah wanita bernama Siti Hajar.....

Mampukah aku menjadi wanita solehah?
Mati dalam keunggulan iman,
Bersinar harum tersebar,
Bagai wanginya pusara Masyitah......


Semoga yang baik itu datangnya daripada Allah S.W.T dan yang buruk itu datangnya daripada kelemahan diri ini jua..

Damba CintaNYA..
Nurhuda_cahayapetunjuk
15 Sya'aban 1430H /6 Ogos 2009

04 Ogos, 2009

Renungan Buat Diri..

بسم الله الرحمن الرحيم
Dengan nama Allah Yang Maha Pemurah lagi Maha Penyayang

Alhamdulillah..itulah kalimah yang sentiasa meniti di bibir supaya kita masih lagi mengingati dan mensyukuri nikmat yang diberikan oleh Allah. Cuma ada kalanya sebagai manusia, kita sentiasa leka dan alpa dengan keseronokkan dunia atau seronok mendengar bisikan-bisikan syaitan yang sememangnya mahu menyesatkan anak-anak adam.

Alhamdulillah..saya sudah pulih daripada demam..kerisauan melanda diri beberapa hari kebelakangan ini kerana penularan wabak yang menakutkan itu, mahu menyebut namanya saja, sudah gentar dalam diri.
Marilah sama-sama kita berdoa, memohon daripada Allah S.W.T, moga-moga Allah melindungi kita semua daripada penyakit-penyakit yang merbahaya..Marilah kita sama-sama perbanyakkan solat hajat dan solat taubat, moga-moga kita tabah dalam menghadapi ujian yang diberikan Allah S.W.T ini...

Saya ingin berkongsi sabda Rasulullah S.A.W. di bawah ini:

"Daripada Abu Hurairah r.a katanya : Aku mendengar Rasulullah S.A.W bersabda, "Umatku akan ditimpa penyakit-penyakit yang pernah menimpa umat-umat dahulu" Sahabat bertanya, " Apakah penyakit-penyakit umat terdahulu itu?" Nabi S.A.W menjawab, "Penyakit-penyakit itu ialah: (1) terlalu banyak seronok (2) terlalu mewah (3) menghimpun harta sebanyak mungkin (4) tipu-menipu dalam merebut harta benda dunia (5) saling memarahi (6) hasut-menghasut sehingga zalim-menzalimi."

Renung-renungkan.................


SELAMAT BERAMAL DI BULAN SYAABAN...


Semoga yang baik itu datangnya daripada Allah S.W.T dan yang buruk itu datangnya daripada kelemahan diri ini jua..

Damba CintaNYA..
Nurhuda_cahayapetunjuk
13 Sya'aban 1430H /4 Ogos 2009

25 Julai, 2009

Bulan Syaaban Kesempatan Untuk Memperbaiki Diri

بسم الله الرحمن الرحيم
Dengan nama Allah Yang Maha Pemurah lagi Maha Penyayang

Subhanaallah...sudah tiba bulan Syaaban..Alhamdulillah Ya Allah..diri ini bersyukur kerana masih lagi berkesempatan untuk berada dalam bulan Syaaban, bulan yang dikasihi Rasulullah..

Maka sempena kedatangan bulan Syaaban, saya sertakan artikel ini di sini....
Sumber:http://www.ashtech.com.my/bulanislam/Syaaban.html

BULAN SYAABAN :

Persediaan Di Ambang Ramadhan

Setiap bulan dalam sepanjang tahun mengikut kiraan taqwim Hijriyyah mempunyai kelebihan tertentu dan keistimewaan beribadat di dalamnya. Sesungguhnya Allah S.W.T menciptakan hari atau bulan itu ada yang baik dan ada yang lebih baik. Sebagaimana yang disebutkan oleh hadis Nabi S.A.W mengenai kelebihan bulan Muharram, Rejab, Syaaban, Ramadhan, Syawal dan Zulhijjah sebagai bulan-bulan yang istimewa. Begitu juga dengan hari-hari tertentu seperti Jumaat, Khamis dan Isnin mempunyai pelbagai fadhilat.

Bulan Syaaban Dan Galakkan Beribadat Di Dalamnya

Sekarang kita berada di bulan Syaaban. Bulan Syaaban juga mempunyai keistimewaan tersendiri di dalam Islam. Keadaan ini samalah juga dengan bulan-bulan yang lain yang mempunyai fadhilat tersendiri, sehingga menyebabkan kehadirannya sentiasa ditunggu-tunggu oleh mereka yang ahli ibadat sebagai masa mengaut pahala.

Bulan Syaaban adalah antara bulan yang paling dicintai oleh Rasulullah S.A.W di mana Baginda S.A.W akan lebih banyak berpuasa di bulan ini. Pernah diriwayatkan bahawa Baginda tidak pernah berpuasa sunat dalam sebulan, lebih banyak daripada puasanya di bulan Syaaban.

Dalam makna yang lain Baginda Nabi S.A.W memperbanyakkan puasa sunat di bulan Syaaban dibandingkan bulan-bulan yang lain. Oleh kerana itu, amatlah dituntut bagi umat Islam mencontohi apa yang dilakukan oleh Baginda itu kerana selain memperbanyak amal kebajikan di bulan ini, ia juga merupakan suatu latihan rohani ke arah mempersiapkan diri menyambut kedatangan bulan Ramadhan.

Amalan-Amalan Sunat Pada Bulan Syaaban

Keistimewaan bulan ini bahawa amalan seluruh manusia diangkat untuk dihadapkan kepada Allah S.A.W, maka sewajarnyalah sepanjang bulan ini diisikan dengan amal ibadah dan kebajikan. Maka antara amalan yang digalakkan pada bulan Syaaban adalah:

1. Memperbanyak puasa sunat.

Bahawa Nabi S.A.W lebih gemar berpuasa sunat dalam bulan Syaaban berbanding dengan bulan-bulan yang lain.

2. Bertaubat dan beristiqhfar

Taubat ialah pembersihan rohani kerana taubat itu menjadi tuntutan dalam agama supaya setiap diri individu yang sememangnya tidak ma‘shum ini melakukan taubat pada setiap masa dan ketika. Tegasnya hukum taubat itu adalah wajib dari segi syarak. Walau bagaimanapun sebenar-benar taubat itu ialah yang dikatakan taubat nasuha.

Taubat nasuha tidak akan tercapai tanpa mendatangkan terlebih dahulu syarat-syarat yang ditentukan. Umpamanya jika dosa itu antara hamba dengan Tuhan:

1. Hendaklah dia meninggalkan dosa atau maksiat itu.

2. Hendaklah dia benar-benar menyesali dan merasa dukacita atas perbuatan maksiatnya itu.

3. Hendaklah dia berjanji dan berazam untuk tidak akan kembali mengulangi melakukannya.

Manakala jika dosa itu bersangkut paut dengan hak orang lain, maka selain syarat-syarat sebagaimana yang disebutkan di atas, ditambah lagi satu syarat iaitu hendaklah membersihkan dirinya daripada hak orang itu atau orang yang melakukan dosa itu memohon maaf kepada orang berkenaan.

Selain daripada itu, peranan taubat itu sendiri tidak terhenti setakat membersihkan diri daripada segala dosa dan maksiat. Lebih daripada itu ia juga merupakan suatu cara untuk kita sentiasa berlindung diri kepada Allah S.WT memohon keberkatan ketika kita memulakan dan membuat sesuatu pekerjaan yang berfaedah dan mengharapkan kurnia, taufiq serta diselamatkan daripada ditimpa musibah, kesusahan, kesulitan dan sebagainya.

Adapun istighfar itu pula ialah pernyataan memohon ampun kepada Allah daripada semua dosa. Lafaz istighfar itu di antaranya ialah bererti: “Aku memohon ampun kepada Allah yang Maha Agung”.

3. Memperbanyak zikir dan berdoa

Zikir ialah ucapan yang dilakukan dengan lidah atau mengingati Allah dengan hati, dengan ucapan atau ingatan yang mempersucikan Allah dan membersihkanNya dari sifat-sifat yang tidak layak untukNya.

Terdapat banyak ayat Al-Quran dan hadis yang memerintahkan agar manusia mengambil berat tentang zikir. Banyak faedah yang diperolehi hasil daripada berzikir. Antaranya ialah:

i. Menenangkan hati:

Ini bersesuaian dengan janji Allah S.WT bahawa orang-orang yang beriman itu tenang hati mereka dengan zikrullah. Ini kerana berzikir (mengingati Allah) itu mententeramkan hati manusia.

ii. Kawalan Diri dan Perlindungan Malaikat:

Seseorang itu merasa terkawal kerana Allah S.WT sentiasa menyertainya di mana sahaja dia berada. Akibatnya paling minima dia takut hendak berbuat maksiat dan bersedia pula untuk melakukan ketaatan.

Bahkan dia juga mendapat kawalan sepenuhnya daripada malaikat. Bagi orang yang sekadar duduk di majlis zikir sekalipun tidak bersama berzikir akan mendapat juga rahmat Allah dan kawalan malaikat.

iii. Terpelihara Daripada Godaan dan Pujukan Syaitan.

iv. Meningkatkan Rasa Kecintaan Kepada Allah:

Untuk meningkatkan kecintaan kepada Allah, mestilah memahami dan menghayati bacaan tasbih, doa dan istighfar yang diucapkan itu

SELAMAT BERAMAL DI BULAN SYAABAN...

Semoga yang baik itu datangnya daripada Allah S.W.T dan yang buruk itu datangnya daripada kelemahan diri ini jua..

Damba CintaNYA..
Nurhuda_cahayapetunjuk
3 Sya'aban 1430H /26 Julai 2009

19 Julai, 2009

Kembali Setelah Sebulan..

بسم الله الرحمن الرحيم
Dengan nama Allah Yang Maha Pemurah lagi Maha Penyayang


Sebulan lebih saya tidak menulis apa-apa di sini...ini bermakna sudah sebulan lebih juga saya menjalani praktikal di sekolah..mungkin ada sedikit kekangan masa yang membuatkan saya tidak dapat menulis apa-apa di sini..yang pasti rindu saya untuk menulis di sini tidak pernah luntur..:)

Cabaran di sekolah?..tipu kalau saya kata tidak ada cabaran. Cabaran menjadi guru sangat hebat, dengan sikap anak-anak remaja sekarang yang membuatkan saya sangat sedih...pertama kali masuk ke kelas, terkejut dengan sikap pelajar-pelajar yang kurang hormat pada guru, melawan cakap cikgu dan saya terfikir inikah generasi yang bakal memimpin negara...kenapa?Kerana kebanyakan anak-anak remaja sekarang suka terpengaruh dengan benda-benda yang menyeronokkan sehingga tiada langsung di hati mereka untuk menambahkan ilmu pengetahuan..Saya pernah bertanya kepada pelajar, " Apa tujuan kamu ke sekolah?", jawab mereka "Mahu eratkan silaturrahim cikgu" sambil mereka tersenyum-senyum...kenapa mereka berkata begitu kerana kebanyakan mereka ke sekolah untuk berjumpa teman lelaki atau teman wanita dan tugas utama sebagai pelajar ditinggalkan dan dilupakan. Aduhai...mengeluh panjang saya...

Ada juga yang paling suka menyanyi dalam kelas...ini lagi satu budaya..apabila saya tanya" Apakah cita-cita kamu?" jawab pelajar tersebut.."Menjadi penyanyi, cikgu"..Aduhai...pengaruh televisyen lagi hebat daripada pengaruh guru di sekolah...


Setiap kali masuk ke kelas, pasti saya akan bertanya "Siapa yang solat penuh semalam?" atau " siapa yang solat subuh sebelum ke sekolah?"..cuba bayangkan dalam satu kelas yang mempunyai 43 orang pelajar, hanya ada seorang atau dua orang sahaja yang solat penuh atau solat subuh..mengucap panjang saya..ada yang mengaku satu keluarga tak solat..astaghfirullah...
Saya cuba untuk menasihati mereka, mendekati mereka..tetapi apabila tiba di rumah mereka lupa apa nasihat guru di sekolah dan esok berperangai seperti biasa...

Dan kebanyakan anak-anak remaja sekarang ini, memang kurang perhatian daripada ibu bapa..apabila guru berikan perhatian, cakap baik-baik, mereka mudah untuk mendengar kata tetapi adakalanya saya seakan hilang sabar dengan kerenah mereka cuma saya cuba mengawal kemarahan supaya ia tidak bertambah lebih buruk...

Saya selalu bertanya kepada pelajar-pelajar saya "Kamu tak mahu jadi anak yang baik?", " Kamu tak mahu ibu dan ayah kamu masuk syurga?" saya menyambung lagi, " Kamu tahu tak, doa anak-anak yang soleh akan membawa mak dan ayah ke syurga, kalau kamu jadi baik, mak dan ayah kamu pun akan gembira"....ada yang berkata,"Nak jadi baik cikgu", "Mestilah nak mak ayah masuk syurga"..

Ada juga pelajar yang mengaku dengan saya, dia menghisap rokok sejak darjah enam lagi..Pelajar perempuan tidak terkecuali, sama hebat perangainya dengan pelajar lelaki..pakaian yang ketat, berbaju kurung dan bertudung tapi tudung yang singkat sehingga boleh menampakkan tengkuk..mengucap panjang saya...

Apa yang boleh saya lakukan ialah membantu mereka selagi termampu..saya sentiasa berdoa semoaga mereka mencintai Allah sepenuh hati mereka, mencitai ilmu, menghormati ibu bapa, guru dan semoga mereka berbahagia di dunia dan akhirat..

" Dari Ibnu 'Amr, dari Nabi Muhammad S.A.W: " Keredhaan Allah S.W.T. terdapat pada keredhaan ayah dan bonda; dan kemurkaan-NYA terdapat pada kemurkaan ayah dan bonda"
(HR. Thabarani)

Semoga yang baik itu datangnya daripada Allah S.W.T dan yang buruk itu datangnya daripada kelemahan diri ini jua..

Nurhuda_cahayapetunjuk
26 Rejab 1430H /19 Julai 2009

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails

YA ALLAH...

YA ALLAH...

INDAHNYA....


I made this widget at MyFlashFetish.com.