15 Mei, 2009

Guru..Jasamu Tetap Di Hatiku...

بسم الله الرحمن الرحيم
Dengan nama Allah Yang Maha Pemurah lagi Maha Penyayang

Tanggal 16 Mei merupakan tarikh keramat buat insan yang bergelar guru.

Sabda Rasulullah S.A.W yang bermaksud:

"Sesiapa yang mengajar ia akan seorang hamba akan satu ayat daripada Al-Quran, maka dialah penghulunya"

Sebutir kata yang dicurahkan mempunyai erti yang tersirat di sebalik yang tersurat. Guru memikul amanah yang besar dan memikul harapan bangsa dalam mendidik anak bangsa.
Saya terkenang pada guru-guru dan pensyarah-pensyarah yang banyak mencurahkan ilmu dan begitu baik pada saya.

Saya masih teringat akan kenangan-kenangan bersama-sama guru-guru saya. Kenangan yang paling saya ingat semasa bersekolah rendah. Ketika itu, umur saya 12 tahun. Saya dan adik mengikuti tuisyen subjek Matematik yang diajar oleh seorang guru yang bernama Cikgu Ramli yang tinggal di rumah guru bersebelahan rumah saya (hanya pagar yang memisahkan sekolah dan rumah), dan kebiasaannnya kami akan mengikuti tuisyen pada waktu malam di sekolah tersebut.

Pada suatu hari, keadaan sungguh gelap, saya dan adik berjalan ke rumah cikgu. Setibanya di sana, saya memberi salam dan Cikgu Ramli keluar daripada rumah manakala saya dan adik turut serta di belakang beliau. Perasaan takut mula menyelubungi diri tetapi masih tegar melangkah ke arah sekolah yang gelap gelita. Cikgu Ramli sudah melangkah ke hadapan. Tiba-tiba, saya terdengar bunyi salakan anjing yang semakin kuat, saya dan adik masih bertahan di belakang Cikgu Ramli. Tetapi tiba-tiba bunyi salakan anjing itu, semakin kuat, kuat dan semakin dekat.

Saya terus menjerit, "Cikgu....tolong....tolong.....tolong cikgu...tooolongggg saya......" Ketika itu, saya lupa akan adik di belakang...saya membuka langkah seribu...laju dan terus laju tanpa menoleh ke belakang...dengan sepantas kilat saya sudah berada di hadapan pintu rumah Cikgu Ramli....dan rupa-rupanya adik mengikut berlari di belakang saya. Ya Allah, perasaan ketika itu, Allah saja yang tahu...Cikgu Ramli menjadi panik dan balik ke rumah melihat kami berdua. Alhamdulillah..kami berdua tidak ada apa-apa. Jasa beliau sangat saya hargai sehingga kini, kerana beliau tidak pernah jemu mengajar saya dan adik. Sehingga kini walaupun beliau sudah berpindah, tetapi hubungan beliau dan keluarga saya masih akrab ibarat sebuah keluarga. Kerana beliau jugalah, saya mencintai subjek matematik.

Teringat di zaman sekolah menengah pula. Guru sejarah yang paling ditakuti oleh pelajar, Cikgu Rafi ditugaskan mengajar di kelas saya. Perasaan takut menjelma seluruh warga kelas, dan lebih menakutkan lagi apabila mendengar cerita daripada senior-senior tentang ketegasan Cikgu Rafi. Apabila beliau memasuki kelas saya, memang nampak ketegasannya, dan ada kalanya beliau marah kerana ada segelintir pelajar yang tidak melaksanakan tugas seperti yang diharapkan. Beliau bersikap sedemikian supaya anak didiknya patuh arahannya dan mendapat yang terbaik. Saya sangat suka cara pengajaran beliau, walaupun Sejarah merupakan matapelajaran yang kurang diminati tetapi dengan cara pengajaran beliau, ramai pelajar mampu mendapat yang terbaik.

Banyak kenangan-kenangan di sekolah rendah, di sekolah menengah, di universiti bersama-sama guru-guru dan pensyarah-pensyarah yang masih segar dalam ingatan saya. Bagi saya, guru diibaratkan mentari yang menerangi bumi di siang hari, demi makhluk ciptaan Ilahi. Tanpa guru, siapalah diri ini, ke manalah arah tuju diri ini. Curahan ilmu menjadi diri ini lebih dewasa.

Hakikat yang pasti, menjadi seorang guru adalah satu tanggungjawab yang berat untuk dipikul. Menjadi guru bererti bertanggungjawab dalam mendidik anak-anak bangsa bukan sahaja dari segi mental iaitu mengajar membaca dan mengira tetapi juga mendidik mereka dari segi spiritual iaitu berakhlak mulia, bersopan santun, bertolak ansur, jujur, ikhlas dan kaya dengan sifat-sifat terpuji.

Sifat guru yang sabar dalam mendidik menjadi teras kejayaan anak-anak bangsa. Kerana sabar itu indah dan menghiasi diri dengan sifat sabar merupakan akhlak orang-orang mulia. Mereka menghadapi kesusahan mendidik anak bangsa dengan kelapangan dada, tidak mudah menyerah, serta penuh kepercayaan diri.

Saya sentiasa ingat pesanan seorang guru kepada saya: Carilah redha Allah yang paling utama, kemudian redha ibu bapa dan redha guru-guru yang mendidik kita.

Bonda dan ayahanda juga adalah guru yang terbaik buat saya. Merekalah yang telah banyak mengajar saya erti hidup, mendidik saya menjadi orang yang berguna. Mereka ibarat permata yang menyinari hidup saya. Tanpa mereka siapalah saya.


Buat guru-guru dan pensyarah-pensyarah yang pernah mengajarku...

Tiada kata semanis bicara
Tiada ungkapan seindah bahasa
Sekalung ucapan terima kasih ku hulurkan kepada guru-guru dan pensyarah-pensyarah yang pernah mendidik diri ini.

Berlalunya masa telah mematangkan diri ini dengan ilmu yang dicurahkan...
Jasa kalian kepadaku tidak terbalas, hanya Allah yang membalasnya....

Dalam setiap waktu dan ketika, doaku tetap mengiringimu buat para pendidik..tetapi percayalah, ilmu yang dicurahkan ini tidak akan ku sia-siakan...
Inilah janjiku buatmu duhai barisan pendidikku..
Semoga Allah sentiasa memberkati dan merahmati insan-insan yang pernah mendidik diri ini..

Semoga hidup para pendidik terus ceria dan janganlah bersedih kerana dalam setiap perkara ada hikmah yang terselindung.

Ali bin Jabalah berkata:

Semoga kebahagiaan menjelma
Semoga jiwa kita terubat dengan harapan
Maka janganlah menyerah sebab jika kau menyerah kecemasan akan menyergap jiwa
Seseorang yang paling dekat dengan kebahagiaan adalah orang yang memiliki harapan

Generasi hari ini adalah cerminan pemimpin masa akan datang. Semoga harapan pendidik untuk mendidik anak bangsa menjadi pemimpin yang cemerlang, gemilang dan terbilang akan terlaksana..

Doakan saya menjadi guru yang mampu mendidik anak bangsa dengan penuh kesabaran...:)

BERAPA TINGGI SI PUCUK PISANG,
TINGGI LAGI ASAP GAHARU,
BERAPA TINGGI SI GUNUNG LEDANG,
TINGGI LAGI BUDIMU GURU.

TIGA NYIRU DI TENGAH LAMAN,
SATU DIBUAT HIASAN PENTAS,
JASA GURU KEKAL BERZAMAN,
BAGAI DAKWAT PADA KERTAS.


"GURU PEMBINA NEGARA BANGSA"

SELAMAT HARI GURU..




Semoga yang baik itu datangnya daripada Allah S.W.T dan yang buruk itu datangnya daripada kelemahan diri ini jua..


Nurhuda_cahayapetunjuk
20 J'awal 1430H /15 Mei 2009

6 ulasan:

Khairul berkata...

Salam Huda,
Saya dan Puan Wan mengucapkan selamat Hhari guru kepada Huda. Teruskan perjuangan .

semalu berkata...

Salam...
Slmt hari guru.
Semoga kita tabah dan sabar dalam meneruskan perjuangan guru2 kita yg terdahulu.

nurhuda_cahayapetunjuk berkata...

En Khairul Kamarudin dan Puan Wan

Waalaikummussalam..
Terima kasih En K dan Puan Wan...semoga saya juga setabah kalian berdua dalam mengharungi dugaan sebagai pendidik anak bangsa...:)

nurhuda_cahayapetunjuk berkata...

semalu

waalaikummussalam..

Terima kasih..semoga kita mampu mendidik anak bangsa dengan cemerlang, gemilang dan terbilang...:)

semalu...anda juga seorang guru?

saljuhumairah berkata...

selamat hari guru..tak terlewat lagi rasanya..kan..
semoga menjadi pendidik yang cemerlang..

mengimbau kenangan sambutan hari guru sek. ren. layan lagu ni..

Kami guru Malaysia
Berikrar dan berjanji
Mendidik dan memimpin
Putra putri negara kita

Pada Seri Paduka
Kami tumpahkan setia
Rukun Negara kita
Panduan hidup kami semua

Di bidang pembangunan
Kami tetap bersama
Membantu, membina
Negara yang tercinta

Amanah yang diberi
Kami tak persiakan
Apa yang kami janji
Tunai tetap kami tunaikan

Lagu & Lirik : Hashim Ahmad

nurhuda_cahayapetunjuk berkata...

LUKISAN PENA

Terima kasih atas ucapan itu..doakan saya menjadi pendidik yang mampu mendidik anak bangsa dengan penuh kesabaran...;)semuanya kerana Allah S.W.T

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails

YA ALLAH...

YA ALLAH...

INDAHNYA....


I made this widget at MyFlashFetish.com.