16 Disember, 2009

Selamat Tinggal Tahun 1430H dan Selamat Datang Tahun 1431H


بسم الله الرحمن الرحيم
Dengan nama Allah Yang Maha Pemurah lagi Maha Penyayang

Akhirilah tahun 1430H dengan baik dan mulakanlah tahun 1431H dengan azam dan semangat yang baru demi kasih dan cinta kita kepada Allah S.W.T...Alhamdulillah ku bersyukur kepadaMU..Semoga kasih sayang Allah sentiasa bersama-samaku dalam mencari yang terbaik disisi Allah dan dalam mengejar "Nur", "Cahaya Petunjuk"

Syukur kepadaMU, Ya Allah kerana memberi pelbagai nikmat kepadaku sehingga ke hari ini, Ya Allah..bantulah diriku ini menjadi hambaMU yang benar-benar bersyukur dan ikhlas, bantulah diriku menjadi hambaMU yang taat perintahMU, bantulah diriku menjadi anak yag solehah,penyejuk hati ibu dan ayah, jauhkanlah diriku daripada terpedaya dengan hasutan dan godaan syaitan durjana, bantulah aku dan keluargaku dalam mencari yang terbaik di sisiMU,aku sentiasa menagih kasih sayangMU,Ya Allah..menagih kasih sayangMU yang tiada tolok bandingnya..temukanlah aku dengan cinta yang membawa aku cinta kepadaMU, Tuhan ku yang SATU..Sesungguhnya hanya cinta kepadaMU adalah cinta yang kekal dan abadi dan Sesungguhnya Engkau lah Maha Pengasih dan Maha Penyayang..Berilah aku sekeluarga kebahagiaan di dunia dan di akhirat..Aminn..

Doa Akhir Tahun dibawah ini, dibaca 3 kali pada akhir waktu Asar atau sebelum masuk waktu Maghrib pada akhir bulan Zulhijjah. Sesiapa yang membaca doa ini, Syaitan berkata:

“Kesusahan bagiku dan sia-sia lah pekerjaanku menggoda anak Adam pada setahun ini dan Allah binasakan
aku satu saat jua. Dengan sebab membaca doa ini, Allah ampunkan dosanya setahun”


Dan Doa Awal Tahun di bawah ini, dibaca 3 kali selepas maghrib pada malam satu Muharram. Sesiapa yang membaca doa ini, Syaitan berkata:

“Telah amanlah anak Adam ini daripada godaan pada tahun ini kerana Allah telah mewakilkan
dua Malaikat memeliharanya daripada fitnah Syaitan”.


InsyaAllah..sama-samalah kita beramal..


Semoga yang baik itu datangnya daripada Allah S.W.T dan yang buruk itu datangnya daripada kelemahan diri ini jua..

Damba CintaNYA..
Nurhuda_cahayapetunjuk
29 Zulhijjah 1430H /16 Disember 2009

10 Disember, 2009

Sang Semut...

بسم الله الرحمن الرحيم
Dengan nama Allah Yang Maha Pemurah lagi Maha Penyayang

Salam ingatan buat sahabat-sahabat. Saya cuba memotivasikan diri menulis walau seketika. Memohon agar Allah memberikan saya idea, moga-moga dapat menghasilkan sesuatu yang terbaik untuk dijadikan pedoman bersama.
Adakalanya idea datang dengan tiba-tiba, meminta untuk diterjemahkan dalam penulisan tapi niat itu terhenti, kenapa ya?? Memang benar, menulis memerlukan kesungguhan untuk menghasilkan yang terbaik.

Wah..Subhanaallah...besar sungguh semut di atas itu, semut juga makhluk Allah, yang sangat kecil dan terkenal dengan sifatnya yang rajin dan bekerjasama. Apabila terpandang semut yang banyak, dan menghurung makanan di atas meja, rasa geram di hati. Mahu saja dibunuh satu persatu, namun hati terus berkata jangan kerana semut juga makhluk Allah. Kesian semut.

Ingatkah kita pada kisah Nabi Sulaiman AS dan semut..saya cuba untuk membawa sahabat-sahabat menghayati kisah-kisah tersebut:

KISAH PERTAMA:

Pada suatu ketika, kerajaan Nabi Sulaiman AS sedang mengalami musim kering yang begitu panjang. Lama sudah hujan tidak turun membasahi bumi. Kekeringan melanda di mana-mana. Baginda Sulaiman AS mulai didatangi oleh umatnya untuk meminta pertolongan dan memintanya memohon kepada Allah S.W.T agar menurunkan hujan untuk membasahi kebun-kebun dan sungai-sungai mereka. Baginda Sulaiman AS kemudian memerintahkan satu rombongan besar pengikutnya yang terdiri daripada bangsa jin dan manusia berkumpul di lapangan untuk berdoa memohon kepada Allah SWT agar musim kering segera berakhir dan hujan segera turun.

Sampainya mereka di lapangan Baginda Sulaiman AS melihat seekor semut kecil berada di atas sebuah batu. Semut itu berbaring kepanasan dan kehausan. Baginda Sulaiman AS kemudian mendengar sang semut mulai berdoa memohon kepada Allah S.W.T

"Ya Allah pemilik segala khazanah, aku berhajat sepenuhnya kepada-Mu, Aku berhajat akan air-Mu, tanpa air-Mu ya Allah aku akan kehausan dan kami semua kekeringan. Ya Allah aku berhajat sepenuhnya pada-Mu akan air-Mu, kabulkanlah permohonanku", doa sang semut kepada Allah SWT.

Mendengar doa si semut, maka Baginda Sulaiman AS kemudian segera memerintahkan rombongannya untuk kembali pulang ke kerajaan sambil berkata kepada mereka,

"Kita segera pulang, sebentar lagi Allah SWT akan menurunkan hujan-Nya kepada kalian. Allah SWT telah mengabulkan permohonan seekor semut".

Kemudian Baginda Sulaiman dan rombongannya pulang kembali ke kerajaan.

KISAH KEDUA:

Suatu hari Baginda Sulaiman AS sedang berjalan-jalan. Ia melihat seekor semut sedang berjalan sambil mengangkat sebutir buah kurma. Baginda Sulaiman AS terus mengamatinya, kemudian beliau memanggil si semut dan bertanya kepadanya,

"Hai semut kecil untuk apa kurma yang kau bawa itu?.

Si semut menjawab,

"Ini adalah kurma yang Allah SWT berikan kepadaku sebagai makananku selama satu tahun"

Baginda Sulaiman AS kemudian mengambil sebuah botol lalu ia berkata kepada si semut,

"Wahai semut kemarilah engkau, masuklah ke dalam botol ini, aku telah memberikan dua kurma ini dan akan aku berikan separuhnya padamu sebagai makananmu selama satu tahun. Tahun depan aku akan datang lagi untuk melihat keadaanmu"

Si semut taat pada perintah Nabi Sulaiman AS. Setahun telah berlalu. Baginda Sulaiman AS datang melihat keadaan si semut. Ia melihat kurma yang diberikan kepada si semut itu tidak banyak berkurang.

Baginda Sulaiman AS bertanya kepada si semut, "Hai semut mengapa engkau tidak menghabiskan kurmamu."

" Wahai Nabiullah, aku selama ini hanya menghisap airnya dan aku banyak berpuasa. Selama ini Allah SWT yang memberikan kepadaku sebutir kurma setiap tahunnya, akan tetapi kali ini engkau memberiku separuh buah kurma. Aku takut tahun depan engkau tidak memberiku kurma lagi kerana engkau bukan Allah Pemberi Rezeki (Ar-Rozak)", jawab si semut.

Begitulah sebahagian kisah Nabi Sulaiman AS dengan semut.

Surah 27 di dalam Al-Quran iaitu surah An-Naml yang mengandungi 93 ayat ada menyebut berkaitan kisah Nabi Sulaiman AS dengan semut. Surah ini dinamakan dengan An-Naml yang bererti semut. Pada ayat 18 dan 19 ada menyebut kisah tersebut di mana seekor semut meminta semu-semut yang lain agar masuk ke sarangnya supaya tidak dipijak oleh Nabi Sulaiman AS dan tenteranya. Maka apabila mendengar perintah semut itu, maka Nabi Sulaiman AS tersenyum dan Baginda bersyukur kepada Allah Yang Maha Berkuasa kerana melimpahkan nikmat yang besar malah sebagai hamba Allah, baginda memohon agar dimasukkan dalam golongan orang-orang yang soleh.

Berikut petikan doa Nabi Sulaiman AS sebagaimana dalam Ayat 19 Surah An-Naml yang bermaksud:

"Maka dia(Sulaiman) tersenyum lalu tertawa kerana mendengar perkataan semut itu. Dan Dia berdoa:"Ya Tuhanku, anugerahkanlah aku ilham untuk tetap mensyukuri nikmatMU yang telah Engkau anugerahkan kepadaku dan kepada kedua orang tuaku dan agar aku mengerjakan kebajikan yang Engkau redhai, dan masukkanlah aku dengan rahmatMU ke dalam golongan hamba-hambaMU yang soleh."


Semut juga terkenal dengan sifatnya yang rajin dan tolong-menolong antara satu sama lain. Ini boleh kita jadikan panduan untuk menghayati sifat kerajinan sang semut, berusaha dan terus berusaha tanpa berputus asa

Daripada Aisyah, Rasulullah S.A.W bersabda yang bermaksud :

"Bahawa Allah mencintai seseorang yang apabila ia mengerjakan sesuatu kerja, ia laksanakan dengan cemerlang"

Allah S.W.T juga menetapkan dalam sunnah kehidupan bahawa kejayaan itu adalah hasil kerja yang bersungguh-sungguh dan tekun. Orang yang cemerlang ialah orang yang sentiasa melakukan sesuatu kerja dengan bersungguh-sungguh dan sentiasa memohon petunjuk daripada Allah S.W.T. Maka insyaAllah orang itu bukan sahaja akan cemerlang di dunia tetapi juga cemerlang di akhirat.

Firman Allah S.W.T dalam surah Al-Najm, ayat 39 yang bermaksud:

" Dan bahawa sesungguhnya tidak ada (balasan) bagi seseorang melainkan (balasan) apa yang diusahakannya"


Semoga yang baik itu datangnya daripada Allah S.W.T dan yang buruk itu datangnya daripada kelemahan diri ini jua..

Damba CintaNYA..
Nurhuda_cahayapetunjuk
23 Zulhijjah 1430H /10 Disember 2009


23 November, 2009

Aktiviti Membaca : Janji Miftahul Raudhah

بسم الله الرحمن الرحيم
Dengan nama Allah Yang Maha Pemurah lagi Maha Penyayang

Alhamdulillah...cuti sekolah sudah bermula. Selamat berjuang saya ucapkan kepada semua anak-anak didik yang sedang menduduki peperiksaan SPM. Semoga beroleh kecemerlangan dan banyakkan berdoa, mudah-mudahan kejayaan menanti orang-orang yang berusaha dan sentiasa berdoa kepadaNYA.

Coretan kali ini, untuk memberi sedikit ulasan tentang buku yang telah saya baca tempoh hari.

TAJUK: JANJI MIFTAHUL RAUDHAH
PENULIS: SAYIDAH MU'IZZAH KAMARUL SHUKRI
HALAMAN: 175
PENERBIT: GALERI ILMU

Buku ini adalah karya sulung Sayidah Mu'izzah Kamarul Shukri, seorang anak muda yang masih menuntut dalam jurusan undang-undang di Universiti Islam Antarabangsa. Apabila saya memulakan membaca buku ini, saya terus terpaut tanpa mahu berhenti selagi tidak sampai ke titik noktah ayat terakhir di halaman 175.

Buku yang mengisahkan seorang anak remaja yang bernama Miftahul Raudhah (bermaksud "Kunci Taman Syurga") yang ingin mengotakan janjinya pada kakaknya yang tercinta, Jannah. Miftahul Raudhah sangat cekal orangnya dan berusaha bersungguh-sungguh untuk berjaya. Ketaatannya kepada Allah S.W.T, ibu, ayah dan guru mencerminkan Miftahul Raudhah adalah remaja solehah. Saya rasakan buku ini sangat sesuai dibaca oleh remaja-remaja di zaman ini kerana ciri-ciri muslimah yang ada pada Miftahul Raudhah patut dijadikan contoh. Buku ini juga menyelitkan kata-kata yang bagus. Antara petikan kata-kata yang masih saya ingat yang diselitkan dalam buku ini ialah

"Cintailah sesiapa pun, ibu, ayah, cikgu, kawan-kawan, sesiapa saja. Tapi pantakkannya pada kecintaan Ilahi. Maka cinta itu akan jadi berhikmah buat orang yang dicintai"

"Carilah kekuatan daripada kekuatan Allah S.W.T. Pohonlah dengan sabar dan solat. Allah sentiasa bersama dengan orang yang sabar"

"Uhibbuki fillah abadan abadaa, Aku mencintaimu kerana Allah selama-lamanya"


Bahasa yang mudah dan sangat sesuai dibaca. Kata-kata yang manis dan saya yakin, buku ini ditulis dengan sentuhan nurani yang suci daripada penulis. Tahniah buat penulis, Sayidah Mu'izzah Kamarul Shukri. Karya sulung anda memang hebat. Satu cubaan yang bagus sekali. Semoga penulis dapat menghasilkan lebih banyak lagi buku-buku yang bermanfaat khususnya buat golongan remaja.

Akhir sekali untuk renungan bersama:

"Ingatlah bahawa mencari bahagia itu tidak ubah seperti menanam bunga mawar. Sebaik ditanam tidak terus berputik, tetapi biarlah ia tumbuh dan membesar lebih dahulu."

"Dan sesiapa berpaling dari mengingati-KU, maka sesungguhnya baginya kehidupan yang sempit"Align Left

Semoga yang baik itu datangnya daripada Allah S.W.T dan yang buruk itu datangnya daripada kelemahan diri ini jua..

Damba CintaNYA..
Nurhuda_cahayapetunjuk
6 Zulhijjah 1430H /23 November 2009

09 November, 2009

Coretan Ini...

بسم الله الرحمن الرحيم
Dengan nama Allah Yang Maha Pemurah lagi Maha Penyayang

Allah Maha Besar....Allah Maha Besar....Allah Maha Besar...
Selawat dan salam buat Junjungan Besar, Nabi Muhammad S.A.W...
Salam sayang buat semua sahabat-sahabat....

Putaran masa begitu cepat hingga adakalanya kita terlupa...alhamdulillah...syukur pada Allah S.W.T kerana memberi kesempatan merasai kasih sayang daripadaNYA..Semoga kita semua terus dapat merasai kasih sayang dan lindungan rahmat daripada Allah S.W.T. Semoga orang-orang yang kita sayang dan seluruh umat Islam mendapat keberkatan daripada Allah S.W.T

Sejak akhir-akhir ini, banyak sungguh tugasan..dan kemuncak tugasan ialah menanda kertas jawapan peperiksaan pelajar..macam-macam jawapan yang ditulis yang membuatkan saya tersenyum, pelik dan emmm macam-macam perasaan....realiti zaman sekarang, pelajar yang tidak suka belaja tapi lebih gemar perkara-perkara yang melalaikan..adakalanya guru adalah musuh mereka...wahhh..ini yang membuatkan saya sedih...:( bagaimana nak membentuk generasi akan datang....apabila emosi marah menguasai diri, cepat-cepat saya beristighfar supaya marah saya tidak berpanjangan...sedih juga apabila ada anak didik yang tidak mahu mendengar kata, tapi apa boleh buat, saya berusaha sedaya yang termampu dalam mendidik mereka dan sentiasa mendoakan mereka....

Keputusan praktikal akhir saya dah pun keluar beberapa minggu yang lalu...Alhamdulillah saya dapat A dan saya dapat tamatkan pengajian dengan PNGK yang cemerlang :)...Alhamdulillah...Inilah yang saya tunggu-tunggu untuk dikongsi bersama mak, abah dan keluarga..tak terucap dibibir dengan nikmat yang diberikan Allah dan doa mak,abah, keluarga dan sahabat-sahabat yang sentiasa mengiringi. Saya percaya jika kita berusaha, yakin, sentiasa berdoa dan bertawakal, maka insyaAllah kejayaan milik kita. Saya berdoa semoga saya sentiasa menjadi hambaNYA yang sentiasa bersyukur. Ikhlaskan diri dalam melakukan setiap perkara, moga-moga ia akan menjadi ibadah dan diberkati Allah....

Alhamdulillah...Alhamdulillah....Alhamdulillah...terima kasih Ya Allah..kerana memberi saya peluang merasai nikmat ini...Inilah hadiah buat mak, abah dan keluarga yang tercinta..semoga impian dan cita-cita saya akan tercapai, saya akan terus berusaha untuk terus berjaya insyaAllah....emm...ke mana destinasi saya selepas ini..???...:) :)


Hobi membaca sejak dulu lagi masih tidak pudar. Dua buah buku telah saya khatamkan iaitu "Satu Bulan Tiga Bintang" dan "Janji Mifathul Raudhah". InsyaAllah ada sedikit masa nanti, akan dibuat ulasannya di sini..:)

Ini buku yang baru saya sentuh dan cuba untuk dikhatamkan..Buku yang sangat bagus daripada adik Hilal Asyraf, seorang penulis muda yang karyanya bagus sekali. Judul yang menarik "Langit Ilahi", semoga buku ini memberi motivasi buat saya dan mendapat panduan yang berguna. InsyaAllah saya cuba memotivasikan diri untuk membaca walau dalam kesibukan...:) Doakan saya.......


" Tegaklah Islam dalam diri kamu nescaya tertegak Islam dalam negara kamu"
(Imam Hassan Al-Hudaibi)

Semoga yang baik itu datangnya daripada Allah S.W.T dan yang buruk itu datangnya daripada kelemahan diri ini jua..

Damba CintaNYA..
Nurhuda_cahayapetunjuk
21 Zulkaedah 1430H /9 November 2009

16 Oktober, 2009

Kewajipan Pelihara Bumi Allah


بسم الله الرحمن الرحيم
Dengan nama Allah Yang Maha Pemurah lagi Maha Penyayang

Alhamdulillah..pagi yang ceria ini sama-sama kita hayati anugerah ciptaan Allah. Pagi ini semasa melayari internet, saya terjumpa artikel ini
"Kewajipan Pelihara Bumi Allah"
Oleh: Mohd Shahrizal Nasir
rencana@hmetro.com.my
http://www.hmetro.com.my/Current_News/myMetro/Friday/AdDin/20091016110837/Article/indexv_html
Sama-sama kita hayati artikel ini...

SEBAGAI khalifah Allah di muka bumi, manusia memikul amanah cukup besar. Manusia bertanggungjawab sepenuhnya bagi memakmurkan bumi serta memelihara segala khazanah kekayaan Allah daripada segala bentuk ancaman, kerosakan dan kemusnahan.

Rasulullah s.a.w bersabda: "Sesungguhnya dunia ini cantik, subur menghijau dan sesungguhnya Allah menjadikan kamu (wahai manusia) selaku pengurusnya dan apa yang terdapat padanya." (Hadis riwayat at-Tirmidzi).

Sebenarnya, semua ciptaan Allah yang terdiri daripada haiwan, tumbuhan, lautan, gunung-ganang malah virus yang amat kecil itu mempunyai faedah tersendiri buat kehidupan manusia.

Semua diciptakan Allah untuk dimanfaatkan dengan cara yang terbaik bagi memudahkan kehidupan manusia di muka bumi ini.

Begitulah kehebatan dan rahmat Allah SWT yang tidak sesekali membiarkan manusia hidup dalam keadaan serba kekurangan dan kedaifan. Dengan sifat ar Rahmaan dan ar Rahim-Nya, manusia sama ada yang beriman atau kufur terus diberi nikmat. Hal ini sewajarnya menjadikan manusia semakin tunduk patuh kepada-Nya.

Bagi hamba yang memiliki iman yang sempurna, segala kejadian ciptaan Allah menjadikan mereka sentiasa berfikir mengenai kehebatan Allah SWT.

Penciptaan makhluk di langit dan di bumi menjadi antara tanda jelas membuktikan kewujudan dan kehebatan Allah s.w.t.

Firman Allah bermaksud: "Sesungguhnya pada langit dan bumi terdapat tanda (yang membuktikan kekuasaan Allah) bagi orang yang beriman."
(Surah al-Jaathiyah, ayat 3).

Secara jelas, Islam melarang umatnya melakukan kerosakan di muka bumi. Kerosakan yang dimaksudkan termasuk melakukan perbuatan maksiat dan keji oleh mereka yang alpa akan larangan Allah serta kerosakan yang membabitkan kemusnahan alam ciptaan Allah.

Dewasa ini, sesetengah pihak bersifat rakus menghimpun kekayaan dunia dengan menjalankan projek pembangunan mega sehingga sanggup merosakkan ekosistem alam. Gunung-ganang ditarah tanpa kajian dan penelitian, pokok balak ditebang secara haram, kawasan tadahan hujan dibotakkan sewenang-wenangnya sehingga seluruh hidupan termasuk manusia dan haiwan menderita menanggung akibatnya.

Disebabkan kerakusan serta sifat tamak manusia yang mengabaikan tanggungjawab memelihara alam semula jadi ini akan menyebabkan berlaku kerosakan dan bencana yang akan mengganggu kehidupan mereka sendiri.

Firman Allah yang bermaksud: "Telah timbul berbagai kerosakan dan bala bencana di darat dan di laut dengan sebab apa yang telah dilakukan oleh tangan manusia; (timbulnya yang demikian) kerana Allah hendak merasakan mereka sebahagian dari balasan perbuatan buruk yang mereka lakukan, supaya mereka kembali (insaf dan bertaubat).."
(Surah ar-Ruum, ayat 41).

Allah s.w.t amat membenci golongan yang melakukan kerosakan di muka bumi. Firman-Nya yang bermaksud: "Kemudian apabila ia pergi (dengan mendapat hajatnya), berusahalah ia di bumi, untuk melakukan bencana padanya, dan membinasakan tanaman dan keturunan (binatang ternak dan manusia); sedangkan Allah tidak suka kepada bencana kerosakan."
(Surah al-Baqarah, ayat 205).

Firman Allah lagi yang bermaksud: "Dan janganlah engkau melakukan kerosakan di muka bumi; sesungguhnya Allah tidak suka kepada orang yang berbuat kerosakan."
(Surah al-Qasas, ayat 77).

Penciptaan kehidupan di atas muka bumi yang terkandung di dalamnya pelbagai jenis flora dan fauna memerlukan penjagaan dan pemeliharaan bagi memastikan sistem ekologi berfungsi dengan lancar dan baik.

Aturan kehidupan tersebut yang seimbang adalah menurut sunnatullah yang sentiasa beroperasi untuk memastikan manusia mendapat faedah daripadanya. Sistem yang amat istimewa diciptakan Allah ini dikenali ekosistem yang sangat unik dan sistematik.

Justeru, manusia sebagai khalifah tidak terlepas daripada tanggungjawab bagi memastikan tiada sebarang kerosakan dan kemusnahan di atas muka bumi yang boleh menjejaskan perjalanan sistem ini.

Firman Allah s.w.t yang bermaksud: "Allah jualah yang menciptakan langit dan bumi, dan menurunkan hujan dari langit lalu mengeluarkan dengan air hujan itu buah-buahan untuk menjadi makanan bagi kamu; dan Ia yang memberi kemudahan kepada kamu menggunakan kapal-kapal untuk belayar di laut dengan perintah-Nya, memudahkan sungai-sungai untuk kamu (mengambil manfaat darinya). Dan Dia juga yang menjadikan matahari dan bulan sentiasa beredar, untuk kepentingan kemudahan kamu, dan yang menjadikan malam dan siang bagi faedah hidup kamu."
(Surah Ibrahim, ayat 32-33).

Sebagai manusia yang dianugerahkan akal fikiran yang boleh menentukan baik buruk sesuatu perkara, manusia seharusnya mengawal diri daripada terus mengeksploitasi sumber alam secara berlebihan.

Fenomena seperti tanah runtuh, banjir kilat dan jerebu haruslah dijadikan renungan agar kita dapat memikirkan kesan jangka masa panjang terhadap kerakusan mengaut keuntungan dunia yang tidak berkesudahan.

Maka, semua pihak haruslah memainkan peranan masing-masing dalam memelihara keindahan alam semula jadi agar generasi akan datang akan terus mendapat nikmat yang tidak ternilai ini.

Damba CintaNYA..
Nurhuda_cahayapetunjuk
27 Syawal 1430H /16 Oktober 2009

11 Oktober, 2009

Gempa Bumi, di Padang, Sumatera Barat


بسم الله الرحمن الرحيم
Dengan nama Allah Yang Maha Pemurah lagi Maha Penyayang

Semalam..dalam penat membantu makcik melayan tetamu, mata sempat lagi memandang kaca televisyen, apakah rancangan untuk hari ini. Sebenarnya saya bukanlah penggemar setia rancangan-rancangan di televisyen kerana banyak rancangan yang menyesak dada tatkala melihatnya. Saya lebih gemar membaca buku-buku yang masih tersedia untuk dihadamkan..;)..Walau bagaimanapun rancangan dokumentari 'Majalah 3' adalah antara rancangan yang bagus unuk tontonan dan semalam sekali lagi paparan 'Majalah 3' tidak mengecewakan. Majalah 3 memaparkan tragedi gempa bumi di Padang, Sumatera Barat. Saya menonton sambil linangan air mata, sedih dan banyak beristighfar atas dugaan Allah buat mereka.

Beribu-ribu mangsa meninggal dunia dan tertimbus di bawah timbunan bangunan. Menyayat hati sesiapa yang melihatnya..Dugaan Allah agar manusia sentiasa tabah dalam menghadapi dugaan..Semoga mereka tabah dalam menghadapi dugaan Allah. Dugaan adalah tarbiyah daripadaNYA..


Sebagai hamba Allah yang cintanya hanya pada Allah, hendaklah sentiasa bersyukur, nikmat yang diberikan Allah kepada kita, yang menjauhkan kita daripada bencana. jauhkan diri kita daripada sifat hasad dengki, sifat hati yang sentiasa memusnahkan diri manusia. Kita ambil iktibar dalam setiap perkara yang berlaku. Muhasabah diri dalam setiap perlakuan dan perbuatan kita. Sentiasalah berpegang pada agama Allah, Agama Islam, mudah-mudahan hidup kita akan diberkati Allah selamanya..insyaAllah..InnaAllaha Ma'ana

Firman Allah dalam surah Al-Nasr: ayat 1-3, yang bermaksud:
"Apabila telah datang pertolongan Allah dan kemenangan"
"dan kamu lihat manusia masuk agama Allah dengan berbondong-bondong"
"maka bertasbihlah dengan memuji Tuhan-mu dan mohonlah ampun kepada-NYA. Sesungguhnya Dia adalah Maha Penerima Taubat"

Semoga yang baik itu datangnya daripada Allah S.W.T dan yang buruk itu datangnya daripada kelemahan diri ini jua..

Damba CintaNYA..
Nurhuda_cahayapetunjuk
22 Syawal 1430H /11 Oktober 2009

08 Oktober, 2009

Kembali....

بسم الله الرحمن الرحيم
Dengan nama Allah Yang Maha Pemurah lagi Maha Penyayang

Salam sayang buat semua..lama sungguh saya tidak menulis apa-apa di sini..
Alhamdulillah tugas saya sudah selesai..saya sudah menamatkan latihan mengajar baru-baru ini..bersyukur kepada Allah atas nikmat yang diberikan..bersyukur kerana Allah masih memberi kesempatan kepada saya merasai nikmat dunia yang cukup bernilai..

Saya berdoa semoga dengan izin Allah, saya dapat menjadi pendidik yang terbaik buat insan-insan yang memerlukan. Semoga Allah mengizinkan saya untuk terus berbakti, semoga Allah memberi kekuatan kepada saya dalam mendidik anak bangsa, semoga saya akan terus belajar dan belajar dalam mengejar dan menimba seberapa banyak ilmu.

Terima kasih kepada Kak Kin, Kak Wan dan Kak Sasha atas kiriman kad raya di bawah..semoga ukhwah terus berkekalan, insyaAllah..:)

Kad Raya daripada Kak Wan
Kad Raya daripada Kak Kin

Kad Raya daripada Kak Sasha

Saya tinggalkan dua rangkap pantun yang baru saya baca dalam sebuah buku:

Jadikan takwa sebagai jalan,
Dalam hidup sepanjang zaman,
Taat dan patuh dalam pimpinan,
Selama Al-Quran jadi pegangan.

Ujian dahsyat terhadap iman,
Hampir menggoncang asas pegangan,
Di pagi petang, di kiri kanan,
Iman di dada jangan lepaskan.

Jagalah iman, moga-moga Allah memberikan petunjuk dan hidayah selama-lamanya kepada kita semua..Aminn...

Semoga yang baik itu datangnya daripada Allah S.W.T dan yang buruk itu datangnya daripada kelemahan diri ini jua..

Damba CintaNYA..
Nurhuda_cahayapetunjuk
19 Syawal 1430H /8 Oktober 2009

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails

YA ALLAH...

YA ALLAH...

INDAHNYA....


I made this widget at MyFlashFetish.com.