25 Julai, 2009

Bulan Syaaban Kesempatan Untuk Memperbaiki Diri

بسم الله الرحمن الرحيم
Dengan nama Allah Yang Maha Pemurah lagi Maha Penyayang

Subhanaallah...sudah tiba bulan Syaaban..Alhamdulillah Ya Allah..diri ini bersyukur kerana masih lagi berkesempatan untuk berada dalam bulan Syaaban, bulan yang dikasihi Rasulullah..

Maka sempena kedatangan bulan Syaaban, saya sertakan artikel ini di sini....
Sumber:http://www.ashtech.com.my/bulanislam/Syaaban.html

BULAN SYAABAN :

Persediaan Di Ambang Ramadhan

Setiap bulan dalam sepanjang tahun mengikut kiraan taqwim Hijriyyah mempunyai kelebihan tertentu dan keistimewaan beribadat di dalamnya. Sesungguhnya Allah S.W.T menciptakan hari atau bulan itu ada yang baik dan ada yang lebih baik. Sebagaimana yang disebutkan oleh hadis Nabi S.A.W mengenai kelebihan bulan Muharram, Rejab, Syaaban, Ramadhan, Syawal dan Zulhijjah sebagai bulan-bulan yang istimewa. Begitu juga dengan hari-hari tertentu seperti Jumaat, Khamis dan Isnin mempunyai pelbagai fadhilat.

Bulan Syaaban Dan Galakkan Beribadat Di Dalamnya

Sekarang kita berada di bulan Syaaban. Bulan Syaaban juga mempunyai keistimewaan tersendiri di dalam Islam. Keadaan ini samalah juga dengan bulan-bulan yang lain yang mempunyai fadhilat tersendiri, sehingga menyebabkan kehadirannya sentiasa ditunggu-tunggu oleh mereka yang ahli ibadat sebagai masa mengaut pahala.

Bulan Syaaban adalah antara bulan yang paling dicintai oleh Rasulullah S.A.W di mana Baginda S.A.W akan lebih banyak berpuasa di bulan ini. Pernah diriwayatkan bahawa Baginda tidak pernah berpuasa sunat dalam sebulan, lebih banyak daripada puasanya di bulan Syaaban.

Dalam makna yang lain Baginda Nabi S.A.W memperbanyakkan puasa sunat di bulan Syaaban dibandingkan bulan-bulan yang lain. Oleh kerana itu, amatlah dituntut bagi umat Islam mencontohi apa yang dilakukan oleh Baginda itu kerana selain memperbanyak amal kebajikan di bulan ini, ia juga merupakan suatu latihan rohani ke arah mempersiapkan diri menyambut kedatangan bulan Ramadhan.

Amalan-Amalan Sunat Pada Bulan Syaaban

Keistimewaan bulan ini bahawa amalan seluruh manusia diangkat untuk dihadapkan kepada Allah S.A.W, maka sewajarnyalah sepanjang bulan ini diisikan dengan amal ibadah dan kebajikan. Maka antara amalan yang digalakkan pada bulan Syaaban adalah:

1. Memperbanyak puasa sunat.

Bahawa Nabi S.A.W lebih gemar berpuasa sunat dalam bulan Syaaban berbanding dengan bulan-bulan yang lain.

2. Bertaubat dan beristiqhfar

Taubat ialah pembersihan rohani kerana taubat itu menjadi tuntutan dalam agama supaya setiap diri individu yang sememangnya tidak ma‘shum ini melakukan taubat pada setiap masa dan ketika. Tegasnya hukum taubat itu adalah wajib dari segi syarak. Walau bagaimanapun sebenar-benar taubat itu ialah yang dikatakan taubat nasuha.

Taubat nasuha tidak akan tercapai tanpa mendatangkan terlebih dahulu syarat-syarat yang ditentukan. Umpamanya jika dosa itu antara hamba dengan Tuhan:

1. Hendaklah dia meninggalkan dosa atau maksiat itu.

2. Hendaklah dia benar-benar menyesali dan merasa dukacita atas perbuatan maksiatnya itu.

3. Hendaklah dia berjanji dan berazam untuk tidak akan kembali mengulangi melakukannya.

Manakala jika dosa itu bersangkut paut dengan hak orang lain, maka selain syarat-syarat sebagaimana yang disebutkan di atas, ditambah lagi satu syarat iaitu hendaklah membersihkan dirinya daripada hak orang itu atau orang yang melakukan dosa itu memohon maaf kepada orang berkenaan.

Selain daripada itu, peranan taubat itu sendiri tidak terhenti setakat membersihkan diri daripada segala dosa dan maksiat. Lebih daripada itu ia juga merupakan suatu cara untuk kita sentiasa berlindung diri kepada Allah S.WT memohon keberkatan ketika kita memulakan dan membuat sesuatu pekerjaan yang berfaedah dan mengharapkan kurnia, taufiq serta diselamatkan daripada ditimpa musibah, kesusahan, kesulitan dan sebagainya.

Adapun istighfar itu pula ialah pernyataan memohon ampun kepada Allah daripada semua dosa. Lafaz istighfar itu di antaranya ialah bererti: “Aku memohon ampun kepada Allah yang Maha Agung”.

3. Memperbanyak zikir dan berdoa

Zikir ialah ucapan yang dilakukan dengan lidah atau mengingati Allah dengan hati, dengan ucapan atau ingatan yang mempersucikan Allah dan membersihkanNya dari sifat-sifat yang tidak layak untukNya.

Terdapat banyak ayat Al-Quran dan hadis yang memerintahkan agar manusia mengambil berat tentang zikir. Banyak faedah yang diperolehi hasil daripada berzikir. Antaranya ialah:

i. Menenangkan hati:

Ini bersesuaian dengan janji Allah S.WT bahawa orang-orang yang beriman itu tenang hati mereka dengan zikrullah. Ini kerana berzikir (mengingati Allah) itu mententeramkan hati manusia.

ii. Kawalan Diri dan Perlindungan Malaikat:

Seseorang itu merasa terkawal kerana Allah S.WT sentiasa menyertainya di mana sahaja dia berada. Akibatnya paling minima dia takut hendak berbuat maksiat dan bersedia pula untuk melakukan ketaatan.

Bahkan dia juga mendapat kawalan sepenuhnya daripada malaikat. Bagi orang yang sekadar duduk di majlis zikir sekalipun tidak bersama berzikir akan mendapat juga rahmat Allah dan kawalan malaikat.

iii. Terpelihara Daripada Godaan dan Pujukan Syaitan.

iv. Meningkatkan Rasa Kecintaan Kepada Allah:

Untuk meningkatkan kecintaan kepada Allah, mestilah memahami dan menghayati bacaan tasbih, doa dan istighfar yang diucapkan itu

SELAMAT BERAMAL DI BULAN SYAABAN...

Semoga yang baik itu datangnya daripada Allah S.W.T dan yang buruk itu datangnya daripada kelemahan diri ini jua..

Damba CintaNYA..
Nurhuda_cahayapetunjuk
3 Sya'aban 1430H /26 Julai 2009

19 Julai, 2009

Kembali Setelah Sebulan..

بسم الله الرحمن الرحيم
Dengan nama Allah Yang Maha Pemurah lagi Maha Penyayang


Sebulan lebih saya tidak menulis apa-apa di sini...ini bermakna sudah sebulan lebih juga saya menjalani praktikal di sekolah..mungkin ada sedikit kekangan masa yang membuatkan saya tidak dapat menulis apa-apa di sini..yang pasti rindu saya untuk menulis di sini tidak pernah luntur..:)

Cabaran di sekolah?..tipu kalau saya kata tidak ada cabaran. Cabaran menjadi guru sangat hebat, dengan sikap anak-anak remaja sekarang yang membuatkan saya sangat sedih...pertama kali masuk ke kelas, terkejut dengan sikap pelajar-pelajar yang kurang hormat pada guru, melawan cakap cikgu dan saya terfikir inikah generasi yang bakal memimpin negara...kenapa?Kerana kebanyakan anak-anak remaja sekarang suka terpengaruh dengan benda-benda yang menyeronokkan sehingga tiada langsung di hati mereka untuk menambahkan ilmu pengetahuan..Saya pernah bertanya kepada pelajar, " Apa tujuan kamu ke sekolah?", jawab mereka "Mahu eratkan silaturrahim cikgu" sambil mereka tersenyum-senyum...kenapa mereka berkata begitu kerana kebanyakan mereka ke sekolah untuk berjumpa teman lelaki atau teman wanita dan tugas utama sebagai pelajar ditinggalkan dan dilupakan. Aduhai...mengeluh panjang saya...

Ada juga yang paling suka menyanyi dalam kelas...ini lagi satu budaya..apabila saya tanya" Apakah cita-cita kamu?" jawab pelajar tersebut.."Menjadi penyanyi, cikgu"..Aduhai...pengaruh televisyen lagi hebat daripada pengaruh guru di sekolah...


Setiap kali masuk ke kelas, pasti saya akan bertanya "Siapa yang solat penuh semalam?" atau " siapa yang solat subuh sebelum ke sekolah?"..cuba bayangkan dalam satu kelas yang mempunyai 43 orang pelajar, hanya ada seorang atau dua orang sahaja yang solat penuh atau solat subuh..mengucap panjang saya..ada yang mengaku satu keluarga tak solat..astaghfirullah...
Saya cuba untuk menasihati mereka, mendekati mereka..tetapi apabila tiba di rumah mereka lupa apa nasihat guru di sekolah dan esok berperangai seperti biasa...

Dan kebanyakan anak-anak remaja sekarang ini, memang kurang perhatian daripada ibu bapa..apabila guru berikan perhatian, cakap baik-baik, mereka mudah untuk mendengar kata tetapi adakalanya saya seakan hilang sabar dengan kerenah mereka cuma saya cuba mengawal kemarahan supaya ia tidak bertambah lebih buruk...

Saya selalu bertanya kepada pelajar-pelajar saya "Kamu tak mahu jadi anak yang baik?", " Kamu tak mahu ibu dan ayah kamu masuk syurga?" saya menyambung lagi, " Kamu tahu tak, doa anak-anak yang soleh akan membawa mak dan ayah ke syurga, kalau kamu jadi baik, mak dan ayah kamu pun akan gembira"....ada yang berkata,"Nak jadi baik cikgu", "Mestilah nak mak ayah masuk syurga"..

Ada juga pelajar yang mengaku dengan saya, dia menghisap rokok sejak darjah enam lagi..Pelajar perempuan tidak terkecuali, sama hebat perangainya dengan pelajar lelaki..pakaian yang ketat, berbaju kurung dan bertudung tapi tudung yang singkat sehingga boleh menampakkan tengkuk..mengucap panjang saya...

Apa yang boleh saya lakukan ialah membantu mereka selagi termampu..saya sentiasa berdoa semoaga mereka mencintai Allah sepenuh hati mereka, mencitai ilmu, menghormati ibu bapa, guru dan semoga mereka berbahagia di dunia dan akhirat..

" Dari Ibnu 'Amr, dari Nabi Muhammad S.A.W: " Keredhaan Allah S.W.T. terdapat pada keredhaan ayah dan bonda; dan kemurkaan-NYA terdapat pada kemurkaan ayah dan bonda"
(HR. Thabarani)

Semoga yang baik itu datangnya daripada Allah S.W.T dan yang buruk itu datangnya daripada kelemahan diri ini jua..

Nurhuda_cahayapetunjuk
26 Rejab 1430H /19 Julai 2009

05 Jun, 2009

Kisah itu..

بسم الله الرحمن الرحيم
Dengan nama Allah Yang Maha Pemurah lagi Maha Penyayang

Isnin yang lalu, saya sempat menziarahi "Johor Book Fair 2009" di Danga City Mall, Johor Bahru..Sempat menziarahi gerai-gerai buku tersebut dan sememangnya apabila ke gerai buku, pasti ada yang dibawa pulang..:) Buku-buku yang dibeli ini adalah buku yang sememangnya ada dalam senarai saya..:)

Terima kasih tidak terhingga diucapkan kepada pihak kedai buku online kerana saya telah selamat menerima kiriman buku daripada mereka, sungguh cepat servisnya..:) Ini merupakan kali pertama saya membeli buku secara online melalui Beli Buku Online,One-Stop Book Center dan akhirnya saya berjaya memiliki buku Cinta di Rumah Hassan Al-Banna melalui kedai buku online tersebut..:)

1. Travelog Seorang Da'i karya Ustaz Abdul Rahman Mohamed
2. Cinta Di Rumah Hassan Al-Banna karya Mohammad Lili Nur Aulia
3. Laskar Pelangi karya Andrea Hirata
4. Bidadari-bidadari Syurga karya Tere-Liye
5. Semulia Hati Guru karya Talib Samat, Latifah Mahfod & Ashadi Zain

Saya tinggalkan sahabat-sahabat di sini dengan satu kisah:

KISAH NABI ILYAS A.S DAN MALAIKAT

Ketika sedang berehat datanglah malaikat kepada Nabi Ilyas A.S. Malaikat itu datang untuk menjemput rohnya. Mendengar berita itu, Ilyas menjadi sedih dan menangis.

"Mengapa engkau bersedih?" tanya malaikat maut.
"Tidak tahulah." Jawab Ilyas.
"Apakah engkau bersedih kerana akan meninggalkan dunia dan takut menghadapi maut?" tanya malaikat.
"Tidak. Tiada sesuatu yang aku sesali kecuali kerana aku menyesal tidak boleh lagi berzikir kepada Allah, sementara yang masih hidup boleh terus berzikir memuji Allah," jawab Ilyas.

Saat itu Allah lantas menurunkan wahyu kepada malaikat agar menunda pencabutan nyawa itu dan memberi kesempatan kepada Nabi Ilyas berzikir sesuai dengan permintaannya. Nabi Ilyas ingin terus hidup semata-mata kerana ingin berzikir kepada Allah. Maka berzikirlah Nabi Ilyas sepanjang hidupnya.

"Biarlah dia hidup di taman untuk berbisik dan mengadu serta berzikir kepada-Ku sampai akhir nanti." Kata Allah.


Semoga yang baik itu datangnya daripada Allah S.W.T dan yang buruk itu datangnya daripada kelemahan diri ini jua..

Nurhuda_cahayapetunjuk
11 J'akhir 1430H /5 Jun 2009

20 Mei, 2009

Bersihkan Hatimu Dengan Berzikir

بسم الله الرحمن الرحيم
Dengan nama Allah Yang Maha Pemurah lagi Maha Penyayang


Firman Allah S.W.T maksudnya,
".........Dan orang-orang lelaki yang banyak menyebut(mengingati) Allah dan orang-orang perempuan yang banyak menyebut Allah. Maka Allah telah menyediakan untuk mereka keampunan dan ganjaran pahala yang besar"
(Surah Al-Ahzab: ayat 35)

Dari Rasulullah S.A.W,
"Sesiapa yang mengucapkan 'Subhanaallah Hil'azimi Wabihamdih' maka akan ditanamkan untuknya sepohon pkok tamar di dalam syurga"
(H.R. Muslim)

Mereka yang berzikir akan mendapat keredhaan Allah dan memperolehi ketenangan pada hati serta dapat merasakan kelazatan iman di dalam jiwa. Zikir akan menimbulkan kejernihan, kemanisan pada hati dan wajah. Mereka yang berzikir akan dapat mendapat kasih sayang, kecintaan serta keampunan daripada Allah S.W.T serta dimurahkan rezeki.

Individu yang berzikir akan dapat merasakan betapa besar, agong, hebat dan berkuasanya kerajaan Allah. Insan yang berzikir akan segera mendapat pembelaan daripada Allah apabila mereka di dalam kesusahan dan keduakaan. Insan yang berzikir juga akan mendapat penghormatan dan doa daripada sekalian para malaikat.

Mereka yang berzikir akan memperolehi pohon tamar di dalam syurga kelak, semakin banyak dia berzikir maka semakin banyaklah pohon-pohon tamar itu untuknya. Insan yang berzikir akan mendapat NUR (cahaya) daripada Allah dalam kehidupan di dunia ini, di alam barzakh dan juga titian sirat nanti. Insan yang berzikir akan membina rumah dan juga istana di dalam syurga. Apabila kita berhenti berzikir maka berhentilah pembinaannya di syurga.

Zikir dapat menjadi pendinding dan juga prisai daripada neraka jahanam.
Zikir dapat mendekatkan diri kepada Allah untuk membuka pintu segala kebaikan.
Zikir dapat menghalau dan mematahkan gangguan syaitan terhadap dirinya.
Zikir dapat menghilangkan perasaan rungsing yang bersarang di dalam hatinya.
Zikir dapat membersihkan hati daripada segala jenis kekotoran dan juga penyakit.
Zikir dapat menghapuskan dosa-dosa serta maksiat kecil.
Zikir dapat melepaskan seseorang yang berzikir itu daripada sifat munafiknya.

Orang yang berzikir akan sentiasa diingati Allah seperti di dalam firman-NYA,
"Ingatlah kamu kepadaKU maka Aku akan mengingatimu"


Semoga yang baik itu datangnya
daripada Allah S.W.T dan yang buruk itu datangnya
daripada kelemahan diri ini jua..







25 J'awal 1430H/20 Mei 2009

17 Mei, 2009

10 Wasiat Hassan Al-Banna

بسم الله الرحمن الرحيم
Dengan nama Allah Yang Maha Pemurah lagi Maha Penyayang

Alhamdulillah..semalam saya berkesempatan membaca buku dan beberapa artikel simpanan saya dan hari ini saya ingin berkongsi bersama-sama sahabat-sahabat di sini berkaitan

10 Wasiat Hassan Al-Banna:

1. Apabila mendengar azan, segeralah mendirikan solat walau dalam keadaan apa sekalipun.

2. Bacalah Al-Quran, tatapilah buku-buku, pergilah mendengar perkara yang baik, amalkanlah zikrullah, dan janganlah sama sekali membuang masa dengan perkara yang tidak berfaedah.

3. Berusahalah sedaya upaya untuk bertutur dalam bahasa Arab yang betul kerana bahasa Arab yang betul itu, adalah satu-satunya syiar Islam.

4. Janganlah banyak bertengkar kerana pertengkaran kosong tidak mendatangkan kebaikan.

5. Janganlah banyak ketawa kerana hati yang sentiasa berhubung dengan Allah itu sentiasa tenang lagi tenteram.

6. Janganlah bergurau kerana umat yang sedang berjuang itu tidak mengerti melainkan bersungguh-sungguh dalam setiap perkara.

7. Janganlah bercakap lebih nyaring daripada kadar yang diperlukan oleh pendengar kerana percakapan yang nyaring adalah resmi yang sia-sia dan boleh menyakiti hati orang.

8. Jauhilah daripada mengumpat peribadi orang dan janganlah bercakap melainkan apa-apa yang boleh memberi kebajikan.

9. Berkenal-kenalanlah dengan setiap umat Islam yang ditemui..asas gerakan dakwah kita ialah kasih sayang dan berkenal-kenalan.

10. Kewajipan kita lebih banyak daripada masa yang ada; oleh itu, tolonglah saudaramu agar mereka dapat menggunakan masa dengan berfaedah; dan jika anda mempunyai tugas sendiri; ringkaskanlah pelaksanaannya.


Semoga yang baik itu datangnya daripada Allah S.W.T dan yang buruk itu datangnya daripada kelemahan diri ini jua..


Nurhuda_cahayapetunjuk
22 J'awal 1430H /17 Mei 2009

15 Mei, 2009

Guru..Jasamu Tetap Di Hatiku...

بسم الله الرحمن الرحيم
Dengan nama Allah Yang Maha Pemurah lagi Maha Penyayang

Tanggal 16 Mei merupakan tarikh keramat buat insan yang bergelar guru.

Sabda Rasulullah S.A.W yang bermaksud:

"Sesiapa yang mengajar ia akan seorang hamba akan satu ayat daripada Al-Quran, maka dialah penghulunya"

Sebutir kata yang dicurahkan mempunyai erti yang tersirat di sebalik yang tersurat. Guru memikul amanah yang besar dan memikul harapan bangsa dalam mendidik anak bangsa.
Saya terkenang pada guru-guru dan pensyarah-pensyarah yang banyak mencurahkan ilmu dan begitu baik pada saya.

Saya masih teringat akan kenangan-kenangan bersama-sama guru-guru saya. Kenangan yang paling saya ingat semasa bersekolah rendah. Ketika itu, umur saya 12 tahun. Saya dan adik mengikuti tuisyen subjek Matematik yang diajar oleh seorang guru yang bernama Cikgu Ramli yang tinggal di rumah guru bersebelahan rumah saya (hanya pagar yang memisahkan sekolah dan rumah), dan kebiasaannnya kami akan mengikuti tuisyen pada waktu malam di sekolah tersebut.

Pada suatu hari, keadaan sungguh gelap, saya dan adik berjalan ke rumah cikgu. Setibanya di sana, saya memberi salam dan Cikgu Ramli keluar daripada rumah manakala saya dan adik turut serta di belakang beliau. Perasaan takut mula menyelubungi diri tetapi masih tegar melangkah ke arah sekolah yang gelap gelita. Cikgu Ramli sudah melangkah ke hadapan. Tiba-tiba, saya terdengar bunyi salakan anjing yang semakin kuat, saya dan adik masih bertahan di belakang Cikgu Ramli. Tetapi tiba-tiba bunyi salakan anjing itu, semakin kuat, kuat dan semakin dekat.

Saya terus menjerit, "Cikgu....tolong....tolong.....tolong cikgu...tooolongggg saya......" Ketika itu, saya lupa akan adik di belakang...saya membuka langkah seribu...laju dan terus laju tanpa menoleh ke belakang...dengan sepantas kilat saya sudah berada di hadapan pintu rumah Cikgu Ramli....dan rupa-rupanya adik mengikut berlari di belakang saya. Ya Allah, perasaan ketika itu, Allah saja yang tahu...Cikgu Ramli menjadi panik dan balik ke rumah melihat kami berdua. Alhamdulillah..kami berdua tidak ada apa-apa. Jasa beliau sangat saya hargai sehingga kini, kerana beliau tidak pernah jemu mengajar saya dan adik. Sehingga kini walaupun beliau sudah berpindah, tetapi hubungan beliau dan keluarga saya masih akrab ibarat sebuah keluarga. Kerana beliau jugalah, saya mencintai subjek matematik.

Teringat di zaman sekolah menengah pula. Guru sejarah yang paling ditakuti oleh pelajar, Cikgu Rafi ditugaskan mengajar di kelas saya. Perasaan takut menjelma seluruh warga kelas, dan lebih menakutkan lagi apabila mendengar cerita daripada senior-senior tentang ketegasan Cikgu Rafi. Apabila beliau memasuki kelas saya, memang nampak ketegasannya, dan ada kalanya beliau marah kerana ada segelintir pelajar yang tidak melaksanakan tugas seperti yang diharapkan. Beliau bersikap sedemikian supaya anak didiknya patuh arahannya dan mendapat yang terbaik. Saya sangat suka cara pengajaran beliau, walaupun Sejarah merupakan matapelajaran yang kurang diminati tetapi dengan cara pengajaran beliau, ramai pelajar mampu mendapat yang terbaik.

Banyak kenangan-kenangan di sekolah rendah, di sekolah menengah, di universiti bersama-sama guru-guru dan pensyarah-pensyarah yang masih segar dalam ingatan saya. Bagi saya, guru diibaratkan mentari yang menerangi bumi di siang hari, demi makhluk ciptaan Ilahi. Tanpa guru, siapalah diri ini, ke manalah arah tuju diri ini. Curahan ilmu menjadi diri ini lebih dewasa.

Hakikat yang pasti, menjadi seorang guru adalah satu tanggungjawab yang berat untuk dipikul. Menjadi guru bererti bertanggungjawab dalam mendidik anak-anak bangsa bukan sahaja dari segi mental iaitu mengajar membaca dan mengira tetapi juga mendidik mereka dari segi spiritual iaitu berakhlak mulia, bersopan santun, bertolak ansur, jujur, ikhlas dan kaya dengan sifat-sifat terpuji.

Sifat guru yang sabar dalam mendidik menjadi teras kejayaan anak-anak bangsa. Kerana sabar itu indah dan menghiasi diri dengan sifat sabar merupakan akhlak orang-orang mulia. Mereka menghadapi kesusahan mendidik anak bangsa dengan kelapangan dada, tidak mudah menyerah, serta penuh kepercayaan diri.

Saya sentiasa ingat pesanan seorang guru kepada saya: Carilah redha Allah yang paling utama, kemudian redha ibu bapa dan redha guru-guru yang mendidik kita.

Bonda dan ayahanda juga adalah guru yang terbaik buat saya. Merekalah yang telah banyak mengajar saya erti hidup, mendidik saya menjadi orang yang berguna. Mereka ibarat permata yang menyinari hidup saya. Tanpa mereka siapalah saya.


Buat guru-guru dan pensyarah-pensyarah yang pernah mengajarku...

Tiada kata semanis bicara
Tiada ungkapan seindah bahasa
Sekalung ucapan terima kasih ku hulurkan kepada guru-guru dan pensyarah-pensyarah yang pernah mendidik diri ini.

Berlalunya masa telah mematangkan diri ini dengan ilmu yang dicurahkan...
Jasa kalian kepadaku tidak terbalas, hanya Allah yang membalasnya....

Dalam setiap waktu dan ketika, doaku tetap mengiringimu buat para pendidik..tetapi percayalah, ilmu yang dicurahkan ini tidak akan ku sia-siakan...
Inilah janjiku buatmu duhai barisan pendidikku..
Semoga Allah sentiasa memberkati dan merahmati insan-insan yang pernah mendidik diri ini..

Semoga hidup para pendidik terus ceria dan janganlah bersedih kerana dalam setiap perkara ada hikmah yang terselindung.

Ali bin Jabalah berkata:

Semoga kebahagiaan menjelma
Semoga jiwa kita terubat dengan harapan
Maka janganlah menyerah sebab jika kau menyerah kecemasan akan menyergap jiwa
Seseorang yang paling dekat dengan kebahagiaan adalah orang yang memiliki harapan

Generasi hari ini adalah cerminan pemimpin masa akan datang. Semoga harapan pendidik untuk mendidik anak bangsa menjadi pemimpin yang cemerlang, gemilang dan terbilang akan terlaksana..

Doakan saya menjadi guru yang mampu mendidik anak bangsa dengan penuh kesabaran...:)

BERAPA TINGGI SI PUCUK PISANG,
TINGGI LAGI ASAP GAHARU,
BERAPA TINGGI SI GUNUNG LEDANG,
TINGGI LAGI BUDIMU GURU.

TIGA NYIRU DI TENGAH LAMAN,
SATU DIBUAT HIASAN PENTAS,
JASA GURU KEKAL BERZAMAN,
BAGAI DAKWAT PADA KERTAS.


"GURU PEMBINA NEGARA BANGSA"

SELAMAT HARI GURU..




Semoga yang baik itu datangnya daripada Allah S.W.T dan yang buruk itu datangnya daripada kelemahan diri ini jua..


Nurhuda_cahayapetunjuk
20 J'awal 1430H /15 Mei 2009

12 Mei, 2009

Ibu Ratu Hatiku..

بسم الله الرحمن الرحيم
Dengan nama Allah Yang Maha Pemurah lagi Maha Penyayang

Selamat Hari Ibu khususnya kepada bonda saya...Bonda adalah segala-galanya buat saya...Jasa Bonda tiada tolok bandingnya...hanya Allah yang akan memisahkan kita..

Selamat Hari Ibu juga kepada semua sahabat-sahabat yang sudah bergelar ibu dan sekalung tahniah kepada sahabat saya, Norarfah Salleh kerana telah selamat melahirkan bayi perempuan..semoga menjadi isteri dan bonda yang mithali...semoga anak yang dilahirkan menjadi anak yang solehah penyejuk hati ibu dan ayah..


Lagu di bawah ini khas untuk semua yang bergelar ibu...semoga ibu sentiasa mendapat rahmat dan berada di bawah kasih sayang Allah S.W.T. Semoga berkat doa-doa ibu, anak-anakmu menjadi anak-anak yang soleh dan solehah dan menggembirakan hati ibu dan ayah..aminn..


Buat anak-anak..sayangilah ibu dan ayah..sesungguhnya redha ibu bapa adalah yang paling utama barulah hidup akan diberkati..sayangilah ibu dan ayah hingga ke akhirnya...

Allah berfirman dalam surah Al-Furqan ayat 74, yang bermaksud;
"Dan orang-orang yang beriman: Wahai Tuhan kami kurniakan kepada kami dari isteri dan keturunan kami anak yang menyejukkan mata; dan jadikanlah kami pemimpin orang-orang yang bertaqwa."

Your Mother
Album :
Munsyid : Yusuf Islam
http://liriknasyid.com


Who should I give my love to?
My respect and my honor to
Who should I pay good mind to?
After Allah
And Rasulullah

Comes your mother
Who next? Your mother
Who next? Your mother
And then your father
Cause who used to hold you
And clean you and clothes you
Who used to feed you?
And always be with you
When you were sick
Stay up all night
Holding you tight
That?s right no other
My mother

Who should I take good care of?
Giving all my love
Who should I think most of?
After Allah
And Rasulullah
Comes your mother
Who next? Your mother
Who next? Your mother
And then your father
Cause who used to hear you
Before you could talk
Who used to hold you?
Before you could walk
And when you fell who picked you up
Clean your cut
No one but your mother
My mother

Who should I say why close to?
Listen most to
Never say no to
After Allah
And Rasulullah
Comes your mother
Who next? Your mother
Who next? Your mother
And then your father
Cause who used to hug you
And buy you new clothes
Calm your head
And blow your nose
And when you cry
Who wiped your tears?
Knows your fears
Who really cares?
My mother

Say Alhamdulillah
Thank you Allah
Thank you Allah
For my mother.




Janganlah kesal berhari-hari,
Bertimbal turun ke mata;
Barang salah menyusun jari,
Junjung dengan tutur kata.


Semoga yang baik itu datangnya daripada Allah S.W.T dan yang buruk itu datangnya daripada kelemahan diri ini jua..


Nurhuda_cahayapetunjuk
17 J'awal 1430H /12 Mei 2009

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails

YA ALLAH...

YA ALLAH...

INDAHNYA....


I made this widget at MyFlashFetish.com.