12 Oktober, 2008

Ganjaran Puasa Enam

BISMILLAHHIRRAHMANIRRAHIM
Dengan nama Allah Yang Maha Pengasih, Maha Penyayang


Alhamdulillah..hari ini dapatlah saya menghabiskan puasa enam..:) syukur Ya Allah kerana masih dapat merasai nikmat berpuasa enam di bulan Syawal..
Mudah-mudahan Allah memberi kesempatan di panjang umur untuk tahun hadapan..insyaAllah..
Ingin sekali saya berkongsi artikel yang saya baca di Harian Metro- 10 Oktober 2008 yang lalu tentang ganjaran pausa enam..selamat membaca..; (http://www.hmetro.com.my/Current_News/myMetro/Friday/AdDin/20081010114251/Article/indexv_html)

Ganjaran Puasa Enam
Susunan oleh : Idris Musa
idris@hmetro.com.my

PUASA enam hari pada bulan Syawal adalah kesinambungan kepada ibadat puasa sebulan yang diwajibkan pada Ramadan.Walaupun tidak berdosa sekiranya tidak dilakukan, tetapi hakikatnya puasa sunat enam hari pada bulan Syawal adalah ibadat yang penuh bermakna, malah ia amalan generasi soleh yang terdahulu.

Nabi s.a.w ada menjelaskan ganjaran kepada mereka yang berpuasa enam hari pada Syawal melalui beberapa hadisnya, antaranya hadis diriwayatkan Muslim yang bermaksud:

“Sesiapa berpuasa pada Ramadan, kemudian diiringi dengan (puasa) enam hari Syawal, maka dia seperti berpuasa satu tahun penuh.”

Menerusi hadis lain yang dikeluarkan At-Tabrani dengan sanadnya daripada Ibnu Umar r.a, Rasulullah s.a.w bersabda, maksudnya:

"Sesiapa yang berpuasa pada Ramadan dan diiringi dengan puasa enam hari pada Syawal, nescaya hilang segala dosanya seperti bayi yang baru dilahirkan oleh ibunya.”

Penegasan baginda itu menunjukkan puasa enam hari bulan Syawal amat digalakkan walaupun ia tidak sampai tahap wajib, kerana ganjarannya sangat besar. Nabi s.a.w sendiri menggalakkan umatnya rajin beribadat, dengan ibadat fardu disusuli dengan amalan sunat. Baginda ada menerangkan Allah S.W.T amat suka kepada hamba-Nya yang rajin beribadat, seperti pada hadis berikut:Abu Hurairah meriwayatkan Rasulullah s.a.w bersabda maksudnya:

“Sesungguhnya Allah berfirman yang maksudnya: “Sesiapa yang memusuhi wali-Ku, maka sesungguhnya aku mengisytiharkan perang terhadapnya. Dan tiada seorang hamba-Ku yang bertaqarrub (beramal) kepada-Ku dengan sesuatu yang lebih Aku cintai hanya dari ia menunaikan semua yang Aku fardukan ke atas dirinya. Dan hendaklah hamba-Ku sentiasa bertaqarrub dirinya kepada-Ku dengan nawafil (ibadat sunat) sehingga Aku mencintainya. Maka apabila Aku telah mencintainya, nescaya adalah Aku sebagai pendengarannya yang ia mendengar dengannya, dan sebagai penglihatannya yang ia melihat dengannya, dan sebagai tangannya yang ia bertindak dengannya, dan sebagai kakinya yang ia berjalan dengannya. Dan jika ia meminta kepada-Ku nescaya Aku berikan kepadanya, dan jika ia memohon perlindungan kepada-Ku nescaya Aku lindungi.” (Hadis riwayat Al-Bukhari)

Jika berpuasa pada Ramadan terpaksa menahan lapar dan dahaga, berpuasa enam hari pada Syawal tidak kurang juga menuntut ketabahan, malah apabila diperhatikan bahangnya lebih terasa kerana ketika berpuasa orang lain ‘berbuka.’

Tetapi sedar atau tidak, ibadat sunat enam hari itu juga adalah penanda aras keimanan dan ketakwaan seseorang terhadap Allah; sanggup berlapar dan dahaga ketika musim orang menikmati aneka juadah, semata-mata kerana menyahut anjuran agama.

Menurut ulama, puasa sunat enam hari pada Syawal sebaik-baiknya (lebih afdal) dilakukan berturut-turut, dimulai pada hari kedua Syawal dan diikuti lima hari lagi berturut-turut.Tetapi jika tidak dapat, boleh dilakukan pada mana-mana hari asalkan masih di dalam Syawal dan boleh dengan tidak berturut-turut asalkan cukup enam hari.

Sesetengah ulama pula berpendapat puasa enam itu boleh dilakukan secara berselang-seli atau tidak terus menerus sepanjang Syawal. Ulama juga berbeza pendapat antara puasa sunat enam hari pada bulan Syawal dengan puasa ganti (qada) Ramadan.

Pendapat pertama mengatakan tidak dibolehkan niat puasa ganti bersama puasa sunat Syawal. Ini kerana berdasarkan hadis setiap amalan berdasarkan niat. Sebagai contoh, Majlis Ugama Islam Singapura (Muis) dalam menggariskan adakah puasa enam boleh diniat sekali dengan puasa ganti: ‘Niat puasa enam tidak boleh disekalikan dengan puasaqada. Imam As-Syafi’i (di dalam Kitab Al-Umm) berpendapat dalam mensyarahkan bab ‘setiap amalan dengan niatnya’ bahawa: Hendaklah dibezakan ibadat puasa Ramadan, puasa nazar, puasa kafarah, puasa qada dan puasa sunat.Imam Jalaluddin As-Suyuti (di dalam Kitab Al-Isybah) juga berpendapat hendaklah diasingkan puasa Ramadan atau nazar atau puasa sunat. Namun, seseorang yang berniat puasa qada ketika Syawal boleh juga dikurniakan pahala puasa enam (tanpa menjatuhkan niat itu) mengikut pendapatsebahagian ulama.’

Pendapat kedua mengatakan dibolehkan niat bersama, malah memadai seseorang yang ingin melakukan puasa qada dan puasa sunat enam hari dengan berniat hanya puasa qada pada bulan Syawal. Mereka akan mendapat dua ganjaran sekali gus dengan syarat dia perlu berniat puasa qada terlebih dulu. Ini kerana puasa qada adalah wajib dan puasa enam adalah sunat.Hal yang sama berlaku ke atas solat tahiyatul masjid. Jika seseorang memasuki masjid dan terus melakukan solat fardu, maka dia akan diberi ganjaran dua pahala sekali gus.Bekas ketua jawatankuasa fatwa al-Azhar, Sheikh ‘Atiyyah Saqr, berkata seseorang yang tertinggal puasa pada Ramadan boleh berpuasa sunat enam hari Syawal dengan niat bersama puasa ganti. Menurutnya, orang yang berpuasa itu akan mendapat ganjaran berganda secara serentak; menggantikan puasa yang ditinggal dan mendapat ganjaran puasa enam hari Syawal.“Bagaimanapun, dianjurkan seseorang itu menggantikan puasa tertinggal secara berasingan dengan puasa enam hari Syawal (supaya mendapat ganjaran yang lebih),” katanya.

Ada juga ulama berpendapat puasa enam seharusnya didahulukan kerana ia hanya boleh diamalkan pada bulan Syawal saja. Bagi puasa qada, ia boleh dilakukan dalam tempoh 10 bulan berikutnya sebelum tibanya Ramadan akan datang.Sesetengah ulama berpendapat, orang yang mempunyai hutang puasa Ramadan hendaklah ‘membayar’ terlebih dulu, kemudian baru dikerjakan sunat puasa enam. Tidak mendapat sunat puasa enam jika ia juga diniatkan sebagai puasa qada.Perbezaan pendapat itu sudah tentu memberikan pilihan dan ruang kepada umat Islam dalam melaksanakan amal ibadat, sesuai dengan konsep taysir (kelapangan) yang menjadi satu aspek penting dalam syariah, selagi mana tiada larangan terhadapnya.

P/S : Semoga kita memperolehi manfaat daripada artikel ini..

2 ulasan:

MalayConfinementLady berkata...

salam,
selamat hari raya & maaf zahir batin buat huda dan keluarga.

mcmana boleh x jadik pulak vadeh tue yer...sepatutnya mesti jadik sbb 1st time sy cuba jadik jer, ikut resepi bulat2. Mungkin huda blend kering, ia terlalu kering, waktu nak goreng, basah2kan sikit adunan tue.

Kalau blend basah, x boleh terlalu byk air juga sbb nnti x garing pulak. Kalau rajin, boleh tumbuk je dal tue. Apapun, kene cuba lagi sampai jadi, memasak nie mcm tue la, lebih kerap kita cuba lebih baik la skill kita.

nurhuda_cahayapetunjuk berkata...

waalaikummsalam..

tu la Miim..frust betul huda..oo tapi kan, blend dgn basah jugak tai pelik tak jadi..tu kena cuba lagi buat ni..sebab huda suka mkn..kalau suka kena pandai buat sendiri hehehheh... tima kasih byk2 Miim, nanti boleh tnya lagi heheeh...

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails

YA ALLAH...

YA ALLAH...

INDAHNYA....


I made this widget at MyFlashFetish.com.