16 April, 2010

Jangan Biarkan Aku Di Sini...

بسم الله الرحمن الرحيم
Dengan nama Allah Yang Maha Pemurah lagi Maha Penyayang

Alhamdulillah petang semalam menemani bonda dan ayahanda ke Bank Rakyat untuk membuat sedikit urusan di sana. Saya mengambil tempat di ruang menunggu yang disediakan.
Keletihan sungguh semalam kerana seharian membetulkan projek-projek grafik para pelajar. Memang ia memerlukan idea yang banyak untuk membantu mereka menghasilkan yang terbaik. InsyaAllah mudah-mudahan dipermudahkan Allah. Sambil menunggu, saya terpandang sebuah buku di satu ruangan bacaan. Apabila terpandang bahan bacaan terus sahaja dicapai dan menyelak helaian muka surat satu persatu.

Dan saya tertarik pada:

"Kisah Saidina Umar Al-Khattab r.a Dengan Pengembala Kambing" seperti yang diceritakan di dalam buku itu
(aduhai sampai balik, saya lupa melihat tajuk buku itu, yang saya ingat hanya isinya sahaja he he he).

Begini kisahnya: Pada suatu hari, berjalanlah Saidina Umar Al-Khattab r.a ke padang pasir. Tiba-tiba Saidina Umar Al-Khattab r.a ternampak seorang Badwi sedang mengembala kambing. Saidina Umar Al-Khattab r.a mahu menduga pengembala kambing itu. Kemudian Saidina Umar Al-Khattab r.a mendekati pengembala itu dan menawarkan untuk membeli kambing-kambing tersebut.

Pemuda kulit hitam itu berkata:
"Saya tidak boleh jual kambing ini, kerana ia milik tuan saya"

Saidina Umar Al-Khattab r.a berkata lagi:
"Kalau begitu berilah sedikit susu kambing tersebut kepadaku"

Pemuda itu menjawab:"Tidak boleh tuan"

Saidina Umar Al-Khattab r.a berkata lagi:
"Usah khuatir, tuan kamu tidak nampak perbuatan kamu itu"

Pemuda itu membalas:
"Tetapi ada yang melihatnya iaitu Allah S.W.T, DIA melihat apa yang dikerjakan"

Begitu hebatnya iman pengembala kambing itu, hatinya suci dan bersih dan melakukan sesuatu pekerjaan dengan penuh keikhlasan hanya kerana Allah S.W.T dan patuh setiap arahan yang diamanahkan.

Jagalah aqidah dan jauhkan daripada perbuatan khianat, berbohong, tidak amanah yang tidak akan membawa keberkatan dalam diri. Apabila aqidah kuat, maka insyaAllah amalan dan perlakuan akan baik. Banyak sangat masalah sosial melanda negara sehingga menyesak dada tatkala membaca akhbar-akhbar tempatan. Masalah buang anak, berzina, khalwat yang semakin meruncing. Rapuhnya akhlak mereka sehingga maruah digadaikan, bayi yang tidak berdosa dibuang.

Di mana sifat kemanusiaan, di manakah kasih sayang. Sedangkan seekor ayam sanggup mempertahankan anaknya daripada diganggu oleh musuh, inikan pula manusia yang mempunyai akal fikiran yang cukup cantik yang dijadikan oleh Allah. Membiarkan bayi yang tidak berdosa terkapai-kapai kesejukkan tanpa sehelai selimut dan hanya ditemani oleh sang lalat, sang semut dan plastik sampah membaluti badan yang tidak berdosa.

Saya tidak sanggup melihat gambar-gambar ini..sebak, sedih, marah, geram dan bercampur-baur perasaan saya ketika melihat wajah-wajah yang tidak berdosa diperlakukan sebegini. Ya Allah......


Tidakkah mereka sedari sebenarnya anak-anak itu menangis.....merintih dan memohon agar jangan biarkan mereka di situ. Dibiarkan seorang diri..

Rintihan si anak kecil yang tidak berdosa :

Ibu...
Jangan biar aku di sini, ibu..
Ibu..
Tolonglah bawa aku pergi dari sini...
Ibu...
Berilah aku harapan untuk hidup, ibu..
Aku mahu menjadi anak yang berjaya di dunia dan akhirat
Ibu..
Kasihani lah aku..aku takut..aku takut apabila gelap menjelma...
Aku berasa sejuk tanpa sehelai kain membaluti tubuhku..
Aku mahu merasai kasih sayangmu..
Aku mahu merasai nikmat hidup dunia walau ku tahu dunia ini penuh cabaran dan dugaan..
Aku mahu menjadi seperti anak-anak yang lain, dibelai, disayang, didakap oleh insan yang bernama ibu...
Apa salah ku sehingga aku dibuang di tempat yang hina ini..
Apa salahku sehingga aku dibunuh begini..
Apa salahku ibu...

Ibu...
Tidak adakah sekelumit rasa rindu dan kasihmu apabila menatap wajahku ini..
Ibu...
Seandainya aku diberi peluang untuk hidup, seandainya aku boleh melafazakan kata-kata...
Ingin saja ku ucapkan sayang padamu, ibu....


Allah berfirman dalam surah Al-Kahfi ayat 46; yang bermaksud:

" Harta dan anak adalah perhiasan kehidupan dunia...."

Anak-anak adalah anugerah Allah yang cukup bernilai. Tidakkah mereka ketahui bahawa dosa yang dibuat itu akan menghantui diri mereka seumur hidup, akan timbul kekesalan dalam diri atas dosa yang dilakukan. Pergaulan bebas antara lelaki dan perempuan terutama di kalangan remaja hari ini banyak mendorong penularan kes-kes sebegini dan berleluasanya masalah zina.

Duhai Adik-adikku, duhai sahabat-sahabatku, duhai remaja harapan bangsa....

Takutlah kepada Allah di mana jua kita berada. Takutkan Allah ketika bersendirian ataupun ramai sebagai formula hidup dan insyaAllah itulah yang akan dapat menyelamatkan daripada kebinasaan iman. Saudara Mohd Al-Adib Samuri dalam artikelnya dalam majalah Solusi ada menyebut :

"Jenayah boleh dicegah dengan menanam rasa takut kepada Allah, bukan rasa takut kepada undang-undang manusia. Takut kepada Allah yang boleh bertindak dengan tindakan-NYA yang di luar jangkaan kita, baik di dunia dan di akhirat. Menanam rasa takut kepada Allah ketika ramai mahupun ketika bersendirian"

Nabi mewasiatkan kepada Muaz r.a ketika mengutuskan ke Yaman. Baginda bersabda yang bermaksud:

"Wahai Muaz, takutlah Allah di mana jua kamu berada, dan takutilah kejahatan dengan kebaikan yang akan memadamkannya, dan berakhlaklah kepada manusia dengan akhlak yang baik"

Sabda Rasulullah S.A.W:

"Hendaklah kamu menyembah Allah seolah-olah kamu melihatnya, jika sekiranya tidak melihatnya yakinlah bahwa Allah melihat segala perbuatan kamu itu"



Untuk peringatan diri ini jua..

Semoga yang baik itu datangnya
daripada Allah S.W.T dan yang buruk itu datangnya daripada kelemahan diri ini jua..

Damba CintaNYA..
Nurhuda_cahayapetunjuk
1 Jamadilawal 1431H /16 April 2010

2 ulasan:

DAMAI berkata...

salam huda!!

sihat....lama tak datang sini hehe

nurhuda_cahayapetunjuk berkata...

waalaikummussalam..

alhamdulillah huda sihat...:)

wahh...Maya..tengah bahagia ya sekarang ni..:) huda doakan semoga berkekalan hingga ke akhirnya..:)

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails

YA ALLAH...

YA ALLAH...

INDAHNYA....


I made this widget at MyFlashFetish.com.