25 Julai, 2009

Bulan Syaaban Kesempatan Untuk Memperbaiki Diri

بسم الله الرحمن الرحيم
Dengan nama Allah Yang Maha Pemurah lagi Maha Penyayang

Subhanaallah...sudah tiba bulan Syaaban..Alhamdulillah Ya Allah..diri ini bersyukur kerana masih lagi berkesempatan untuk berada dalam bulan Syaaban, bulan yang dikasihi Rasulullah..

Maka sempena kedatangan bulan Syaaban, saya sertakan artikel ini di sini....
Sumber:http://www.ashtech.com.my/bulanislam/Syaaban.html

BULAN SYAABAN :

Persediaan Di Ambang Ramadhan

Setiap bulan dalam sepanjang tahun mengikut kiraan taqwim Hijriyyah mempunyai kelebihan tertentu dan keistimewaan beribadat di dalamnya. Sesungguhnya Allah S.W.T menciptakan hari atau bulan itu ada yang baik dan ada yang lebih baik. Sebagaimana yang disebutkan oleh hadis Nabi S.A.W mengenai kelebihan bulan Muharram, Rejab, Syaaban, Ramadhan, Syawal dan Zulhijjah sebagai bulan-bulan yang istimewa. Begitu juga dengan hari-hari tertentu seperti Jumaat, Khamis dan Isnin mempunyai pelbagai fadhilat.

Bulan Syaaban Dan Galakkan Beribadat Di Dalamnya

Sekarang kita berada di bulan Syaaban. Bulan Syaaban juga mempunyai keistimewaan tersendiri di dalam Islam. Keadaan ini samalah juga dengan bulan-bulan yang lain yang mempunyai fadhilat tersendiri, sehingga menyebabkan kehadirannya sentiasa ditunggu-tunggu oleh mereka yang ahli ibadat sebagai masa mengaut pahala.

Bulan Syaaban adalah antara bulan yang paling dicintai oleh Rasulullah S.A.W di mana Baginda S.A.W akan lebih banyak berpuasa di bulan ini. Pernah diriwayatkan bahawa Baginda tidak pernah berpuasa sunat dalam sebulan, lebih banyak daripada puasanya di bulan Syaaban.

Dalam makna yang lain Baginda Nabi S.A.W memperbanyakkan puasa sunat di bulan Syaaban dibandingkan bulan-bulan yang lain. Oleh kerana itu, amatlah dituntut bagi umat Islam mencontohi apa yang dilakukan oleh Baginda itu kerana selain memperbanyak amal kebajikan di bulan ini, ia juga merupakan suatu latihan rohani ke arah mempersiapkan diri menyambut kedatangan bulan Ramadhan.

Amalan-Amalan Sunat Pada Bulan Syaaban

Keistimewaan bulan ini bahawa amalan seluruh manusia diangkat untuk dihadapkan kepada Allah S.A.W, maka sewajarnyalah sepanjang bulan ini diisikan dengan amal ibadah dan kebajikan. Maka antara amalan yang digalakkan pada bulan Syaaban adalah:

1. Memperbanyak puasa sunat.

Bahawa Nabi S.A.W lebih gemar berpuasa sunat dalam bulan Syaaban berbanding dengan bulan-bulan yang lain.

2. Bertaubat dan beristiqhfar

Taubat ialah pembersihan rohani kerana taubat itu menjadi tuntutan dalam agama supaya setiap diri individu yang sememangnya tidak ma‘shum ini melakukan taubat pada setiap masa dan ketika. Tegasnya hukum taubat itu adalah wajib dari segi syarak. Walau bagaimanapun sebenar-benar taubat itu ialah yang dikatakan taubat nasuha.

Taubat nasuha tidak akan tercapai tanpa mendatangkan terlebih dahulu syarat-syarat yang ditentukan. Umpamanya jika dosa itu antara hamba dengan Tuhan:

1. Hendaklah dia meninggalkan dosa atau maksiat itu.

2. Hendaklah dia benar-benar menyesali dan merasa dukacita atas perbuatan maksiatnya itu.

3. Hendaklah dia berjanji dan berazam untuk tidak akan kembali mengulangi melakukannya.

Manakala jika dosa itu bersangkut paut dengan hak orang lain, maka selain syarat-syarat sebagaimana yang disebutkan di atas, ditambah lagi satu syarat iaitu hendaklah membersihkan dirinya daripada hak orang itu atau orang yang melakukan dosa itu memohon maaf kepada orang berkenaan.

Selain daripada itu, peranan taubat itu sendiri tidak terhenti setakat membersihkan diri daripada segala dosa dan maksiat. Lebih daripada itu ia juga merupakan suatu cara untuk kita sentiasa berlindung diri kepada Allah S.WT memohon keberkatan ketika kita memulakan dan membuat sesuatu pekerjaan yang berfaedah dan mengharapkan kurnia, taufiq serta diselamatkan daripada ditimpa musibah, kesusahan, kesulitan dan sebagainya.

Adapun istighfar itu pula ialah pernyataan memohon ampun kepada Allah daripada semua dosa. Lafaz istighfar itu di antaranya ialah bererti: “Aku memohon ampun kepada Allah yang Maha Agung”.

3. Memperbanyak zikir dan berdoa

Zikir ialah ucapan yang dilakukan dengan lidah atau mengingati Allah dengan hati, dengan ucapan atau ingatan yang mempersucikan Allah dan membersihkanNya dari sifat-sifat yang tidak layak untukNya.

Terdapat banyak ayat Al-Quran dan hadis yang memerintahkan agar manusia mengambil berat tentang zikir. Banyak faedah yang diperolehi hasil daripada berzikir. Antaranya ialah:

i. Menenangkan hati:

Ini bersesuaian dengan janji Allah S.WT bahawa orang-orang yang beriman itu tenang hati mereka dengan zikrullah. Ini kerana berzikir (mengingati Allah) itu mententeramkan hati manusia.

ii. Kawalan Diri dan Perlindungan Malaikat:

Seseorang itu merasa terkawal kerana Allah S.WT sentiasa menyertainya di mana sahaja dia berada. Akibatnya paling minima dia takut hendak berbuat maksiat dan bersedia pula untuk melakukan ketaatan.

Bahkan dia juga mendapat kawalan sepenuhnya daripada malaikat. Bagi orang yang sekadar duduk di majlis zikir sekalipun tidak bersama berzikir akan mendapat juga rahmat Allah dan kawalan malaikat.

iii. Terpelihara Daripada Godaan dan Pujukan Syaitan.

iv. Meningkatkan Rasa Kecintaan Kepada Allah:

Untuk meningkatkan kecintaan kepada Allah, mestilah memahami dan menghayati bacaan tasbih, doa dan istighfar yang diucapkan itu

SELAMAT BERAMAL DI BULAN SYAABAN...

Semoga yang baik itu datangnya daripada Allah S.W.T dan yang buruk itu datangnya daripada kelemahan diri ini jua..

Damba CintaNYA..
Nurhuda_cahayapetunjuk
3 Sya'aban 1430H /26 Julai 2009

19 Julai, 2009

Kembali Setelah Sebulan..

بسم الله الرحمن الرحيم
Dengan nama Allah Yang Maha Pemurah lagi Maha Penyayang


Sebulan lebih saya tidak menulis apa-apa di sini...ini bermakna sudah sebulan lebih juga saya menjalani praktikal di sekolah..mungkin ada sedikit kekangan masa yang membuatkan saya tidak dapat menulis apa-apa di sini..yang pasti rindu saya untuk menulis di sini tidak pernah luntur..:)

Cabaran di sekolah?..tipu kalau saya kata tidak ada cabaran. Cabaran menjadi guru sangat hebat, dengan sikap anak-anak remaja sekarang yang membuatkan saya sangat sedih...pertama kali masuk ke kelas, terkejut dengan sikap pelajar-pelajar yang kurang hormat pada guru, melawan cakap cikgu dan saya terfikir inikah generasi yang bakal memimpin negara...kenapa?Kerana kebanyakan anak-anak remaja sekarang suka terpengaruh dengan benda-benda yang menyeronokkan sehingga tiada langsung di hati mereka untuk menambahkan ilmu pengetahuan..Saya pernah bertanya kepada pelajar, " Apa tujuan kamu ke sekolah?", jawab mereka "Mahu eratkan silaturrahim cikgu" sambil mereka tersenyum-senyum...kenapa mereka berkata begitu kerana kebanyakan mereka ke sekolah untuk berjumpa teman lelaki atau teman wanita dan tugas utama sebagai pelajar ditinggalkan dan dilupakan. Aduhai...mengeluh panjang saya...

Ada juga yang paling suka menyanyi dalam kelas...ini lagi satu budaya..apabila saya tanya" Apakah cita-cita kamu?" jawab pelajar tersebut.."Menjadi penyanyi, cikgu"..Aduhai...pengaruh televisyen lagi hebat daripada pengaruh guru di sekolah...


Setiap kali masuk ke kelas, pasti saya akan bertanya "Siapa yang solat penuh semalam?" atau " siapa yang solat subuh sebelum ke sekolah?"..cuba bayangkan dalam satu kelas yang mempunyai 43 orang pelajar, hanya ada seorang atau dua orang sahaja yang solat penuh atau solat subuh..mengucap panjang saya..ada yang mengaku satu keluarga tak solat..astaghfirullah...
Saya cuba untuk menasihati mereka, mendekati mereka..tetapi apabila tiba di rumah mereka lupa apa nasihat guru di sekolah dan esok berperangai seperti biasa...

Dan kebanyakan anak-anak remaja sekarang ini, memang kurang perhatian daripada ibu bapa..apabila guru berikan perhatian, cakap baik-baik, mereka mudah untuk mendengar kata tetapi adakalanya saya seakan hilang sabar dengan kerenah mereka cuma saya cuba mengawal kemarahan supaya ia tidak bertambah lebih buruk...

Saya selalu bertanya kepada pelajar-pelajar saya "Kamu tak mahu jadi anak yang baik?", " Kamu tak mahu ibu dan ayah kamu masuk syurga?" saya menyambung lagi, " Kamu tahu tak, doa anak-anak yang soleh akan membawa mak dan ayah ke syurga, kalau kamu jadi baik, mak dan ayah kamu pun akan gembira"....ada yang berkata,"Nak jadi baik cikgu", "Mestilah nak mak ayah masuk syurga"..

Ada juga pelajar yang mengaku dengan saya, dia menghisap rokok sejak darjah enam lagi..Pelajar perempuan tidak terkecuali, sama hebat perangainya dengan pelajar lelaki..pakaian yang ketat, berbaju kurung dan bertudung tapi tudung yang singkat sehingga boleh menampakkan tengkuk..mengucap panjang saya...

Apa yang boleh saya lakukan ialah membantu mereka selagi termampu..saya sentiasa berdoa semoaga mereka mencintai Allah sepenuh hati mereka, mencitai ilmu, menghormati ibu bapa, guru dan semoga mereka berbahagia di dunia dan akhirat..

" Dari Ibnu 'Amr, dari Nabi Muhammad S.A.W: " Keredhaan Allah S.W.T. terdapat pada keredhaan ayah dan bonda; dan kemurkaan-NYA terdapat pada kemurkaan ayah dan bonda"
(HR. Thabarani)

Semoga yang baik itu datangnya daripada Allah S.W.T dan yang buruk itu datangnya daripada kelemahan diri ini jua..

Nurhuda_cahayapetunjuk
26 Rejab 1430H /19 Julai 2009

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails

YA ALLAH...

YA ALLAH...

INDAHNYA....


I made this widget at MyFlashFetish.com.