Memaparkan catatan dengan label Dari Kamar Pustaka. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label Dari Kamar Pustaka. Papar semua catatan

28 Mac, 2010

Di Dunia Ada Syurga - Asma Nadia

بسم الله الرحمن الرحيم
Dengan nama Allah Yang Maha Pemurah lagi Maha Penyayang

Minggu lepas saya bersama dua orang adik sepupu yang solehah ini, Nurul Izzati (7 tahun) dan Nurul Najihah (5 tahun) ke kedai buku Badan Cemerlang di Plaza Angsana, Johor. Di sini lah tempat saya untuk mencari buku-buku terbaru dan alhamdulillah selalunya pencarian tidak menghampakan. Sebenarnya niat di hati ingin menjejakkan kaki ke Pesta Buku Antarabangsa di PWTC tetapi tidak kesampaian kerana ada hal-hal yang tidak dapat dielakkan.

Apabila ke kedai buku pastinya tidak ketinggalan membelikan buku-buku untuk si cilik yang solehah ini..:) Saya tidak boleh memilih buku selagi buku mereka tidak dicari terlebih dahulu dan mereka tidak akan berhenti berkata,

"Salah la Kak Y
u, ni bukan tempat buku kanak-kanak"

dan akhirnya saya akur bahawa buku mereka perlu dicari terlebih dahulu :). Semoga si kecil ini, sentiasa mencintai ilmu dan menjadi anak-anak dan adik-adik yang solehah..:)

Sejak kecil saya memang suka membaca buku-buku ayahanda, novel-novel, kitab-kitab dan buku-buku agama milik beliau .Semasa di alam persekolahan, apabila saya memasuki pertandingan pidato, syarahan, berzanji dan tilawah Al-Quran, hadiah yang diterima ialah buku-buku cerita, kitab-kitab..inilah yang mendorong saya mencintai buku dan sehingga kini, jika saya mahu melelapkan mata, buku pasti ada di sisi dan membaca seketika. Semoga Allah memberi saya peluang untuk terus mencintai buku dan menggali segala ilmu yang diperolehi dengan membaca, insyaAllah..

Saya sudah lama selesai membaca sebuah buku dan baru berkesempatan untuk memberikan sedikit ulasan tentang buku ini.

Tajuk: Di Dunia Ada Syurga
Penulis: Asma Nadia
Penerbit: PTS Sdn Bhd
Muka surat: 147
Harga: RM11.90

Buku ini mengandungi 12 bab yang terdiri daripada pelbagai kisah benar. Kisah benar berkaitan dengan doa, keikhlasan dalam berdoa dan akhirnya Allah memakbulkan doa-doa orang-orang yang tidak pernah putus-putus meminta, memohon kepada Allah Yang Maha Berkuasa.

Bab 1: Catatan Hati dalam setiap sujudku
Bab 2: Jalan Menuju Rumahmu
Bab3: Keajaiban Doa
Bab 4: Rindu Kami Bertemu dalam Tahajud
Bab 5: Ingin Selalu Berada Dekat Denganmu
Bab 6: Api menyala di Atap Rumah Kami
Bab 7: Dalam Sukar, Ada yang Ingin Dikatakannya
Bab 8: Ibu
Bab 9: Rumah Hijau Dalam Hati Kami
Bab 10: Bukan Kerana Allah Tidak Sayang
Bab 11: Gadis Yang Membuat Saya Cemuburu
Bab 12: Catatan Kecil Daripada Malam-malam Yang Panjang

Setiap bab ada kisahnya sendiri dan setiap kisah ada terselit pengajaran yang cukup berguna tentang doa. Saya memetik satu kisah yang sangat menyentuh hati dan perasaan saya dan sambil membaca tanpa disedari titisan airmata gugur di helaian buku ini.

Kisah di dalam bab 4: Rindu Kami Bertemu Dalam Tahajud, mengisahkan ibu terpisah dengan anak-anaknya apabila hak penjagaan diberikan kepada bapa atas alasan faktor kewangan. Si anak yang sulung yang baru berusia 11 tahun begitu memahami ibunya. Begitu perit ibu hendak berpisah dengan anak-anak yang soleh yang selama ini menjadi sumber kekuatannya dan anak-anak terpaksa berdikari tanpa seorang ibu di sisi. .
Antara kata-kata ibu :

"Bersendirian tanpa anak-anak, saya merasakan diri ini sebagai manusia yang kalah dan tidak punya apa-apa. Hingga saya sedari yang saya masih memiliki Allah. Saya mendekatkan diri dengannya lebih tulus dan memanjatkan doa yang lebih khusyuk. Hanya kepadaNYA saya serahkan anak-anak dan cinta mereka kepada saya"

Ini yang membuatkan saya tersentuh dan berkali-kali tersedu-sedu apabila membacanya. Dalam apa jua keadaaan susah dan senang , jangan sekali-kali kita lupakan Allah kerana Allah selalu bersama-sama kita. Allah menyayangi hambaNYA yang selalu memohon pertolongan dan petunjuk. Allah Maha Besar, Allah Maha Besar..

Dan lagi, ibu ini selalu mengerjakan solat malam untuk mendapat ketenangan dan kekuatan atas ujian Allah, dan sentiasa redha atas ujian yang menimpanya. Si anak yang baru berumur 11 tahun juga kerap menunaikan solat tahajud dan si anak pernah mengirim sms kepada ibunya lewat malam:

"Ibu, tadi saya sangat rindu dengan ibu. Lalu, saya solat tahajud dan beritahu Allah yang saya sangat rindukan ibu"

Sekiranya dia rindukan ibunya, dia akan solat tahajud dan berdoa kepada Allah, selepas berbicara dengan Allah barulah si anak dapat tidur dengan tenang. Alhamdulillah sayu hati saya...bertuah si ibu mendapat anak yang soleh. Allah mendengar setiap butir-butir doanya.

Terlalu banyak pengajaran yang diperolehi di dalam buku ini dan susunan kata-katanya amat mudah difahami. Diselitkan juga maksud ayat-ayat Al-Quran di dalamnya.

"Dan Tuhanmu berpesan, Berdoalah kepadaku, nescaya akan Aku perkenankan bagimu. Sesungguhnya orang-orang yang menyombong diri daripada menyembahku akan masuk neraka jahanam dalam keadaan hina"
(Surah Al-Mukmin: ayat 60)

Saya berdoa semoga saya tidak akan pernah putus asa untuk berdoa dan terus berdoa kepada Allah, semoga Allah memberi saya kekuatan untuk saya terus memohon yang terbaik di sisiNYA. Allah Maha Besar, Allah Maha Penyayang, Allah S.W.T yang saya sangat saya cintai.

Kata-kata di kulit hadapan buku ini:

"Tuhanku..bersamaMU tidak ada jalan buntu"

"DenganMU Tuhan, berat terasa ringan,
DenganMU Tuhan, aku punya harapan,
Engkau yang memungkinkan kemustahilan,
Engkaulah jua yang menciptakan keajaiban"


Semoga yang baik itu datangnya daripada Allah S.W.T dan yang buruk itu datangnya daripada kelemahan diri ini jua..

Damba CintaNYA..
Nurhuda_cahayapetunjuk
12 Rabiulakhir 1431H /28 Mac 2010

23 November, 2009

Aktiviti Membaca : Janji Miftahul Raudhah

بسم الله الرحمن الرحيم
Dengan nama Allah Yang Maha Pemurah lagi Maha Penyayang

Alhamdulillah...cuti sekolah sudah bermula. Selamat berjuang saya ucapkan kepada semua anak-anak didik yang sedang menduduki peperiksaan SPM. Semoga beroleh kecemerlangan dan banyakkan berdoa, mudah-mudahan kejayaan menanti orang-orang yang berusaha dan sentiasa berdoa kepadaNYA.

Coretan kali ini, untuk memberi sedikit ulasan tentang buku yang telah saya baca tempoh hari.

TAJUK: JANJI MIFTAHUL RAUDHAH
PENULIS: SAYIDAH MU'IZZAH KAMARUL SHUKRI
HALAMAN: 175
PENERBIT: GALERI ILMU

Buku ini adalah karya sulung Sayidah Mu'izzah Kamarul Shukri, seorang anak muda yang masih menuntut dalam jurusan undang-undang di Universiti Islam Antarabangsa. Apabila saya memulakan membaca buku ini, saya terus terpaut tanpa mahu berhenti selagi tidak sampai ke titik noktah ayat terakhir di halaman 175.

Buku yang mengisahkan seorang anak remaja yang bernama Miftahul Raudhah (bermaksud "Kunci Taman Syurga") yang ingin mengotakan janjinya pada kakaknya yang tercinta, Jannah. Miftahul Raudhah sangat cekal orangnya dan berusaha bersungguh-sungguh untuk berjaya. Ketaatannya kepada Allah S.W.T, ibu, ayah dan guru mencerminkan Miftahul Raudhah adalah remaja solehah. Saya rasakan buku ini sangat sesuai dibaca oleh remaja-remaja di zaman ini kerana ciri-ciri muslimah yang ada pada Miftahul Raudhah patut dijadikan contoh. Buku ini juga menyelitkan kata-kata yang bagus. Antara petikan kata-kata yang masih saya ingat yang diselitkan dalam buku ini ialah

"Cintailah sesiapa pun, ibu, ayah, cikgu, kawan-kawan, sesiapa saja. Tapi pantakkannya pada kecintaan Ilahi. Maka cinta itu akan jadi berhikmah buat orang yang dicintai"

"Carilah kekuatan daripada kekuatan Allah S.W.T. Pohonlah dengan sabar dan solat. Allah sentiasa bersama dengan orang yang sabar"

"Uhibbuki fillah abadan abadaa, Aku mencintaimu kerana Allah selama-lamanya"


Bahasa yang mudah dan sangat sesuai dibaca. Kata-kata yang manis dan saya yakin, buku ini ditulis dengan sentuhan nurani yang suci daripada penulis. Tahniah buat penulis, Sayidah Mu'izzah Kamarul Shukri. Karya sulung anda memang hebat. Satu cubaan yang bagus sekali. Semoga penulis dapat menghasilkan lebih banyak lagi buku-buku yang bermanfaat khususnya buat golongan remaja.

Akhir sekali untuk renungan bersama:

"Ingatlah bahawa mencari bahagia itu tidak ubah seperti menanam bunga mawar. Sebaik ditanam tidak terus berputik, tetapi biarlah ia tumbuh dan membesar lebih dahulu."

"Dan sesiapa berpaling dari mengingati-KU, maka sesungguhnya baginya kehidupan yang sempit"Align Left

Semoga yang baik itu datangnya daripada Allah S.W.T dan yang buruk itu datangnya daripada kelemahan diri ini jua..

Damba CintaNYA..
Nurhuda_cahayapetunjuk
6 Zulhijjah 1430H /23 November 2009

05 Jun, 2009

Kisah itu..

بسم الله الرحمن الرحيم
Dengan nama Allah Yang Maha Pemurah lagi Maha Penyayang

Isnin yang lalu, saya sempat menziarahi "Johor Book Fair 2009" di Danga City Mall, Johor Bahru..Sempat menziarahi gerai-gerai buku tersebut dan sememangnya apabila ke gerai buku, pasti ada yang dibawa pulang..:) Buku-buku yang dibeli ini adalah buku yang sememangnya ada dalam senarai saya..:)

Terima kasih tidak terhingga diucapkan kepada pihak kedai buku online kerana saya telah selamat menerima kiriman buku daripada mereka, sungguh cepat servisnya..:) Ini merupakan kali pertama saya membeli buku secara online melalui Beli Buku Online,One-Stop Book Center dan akhirnya saya berjaya memiliki buku Cinta di Rumah Hassan Al-Banna melalui kedai buku online tersebut..:)

1. Travelog Seorang Da'i karya Ustaz Abdul Rahman Mohamed
2. Cinta Di Rumah Hassan Al-Banna karya Mohammad Lili Nur Aulia
3. Laskar Pelangi karya Andrea Hirata
4. Bidadari-bidadari Syurga karya Tere-Liye
5. Semulia Hati Guru karya Talib Samat, Latifah Mahfod & Ashadi Zain

Saya tinggalkan sahabat-sahabat di sini dengan satu kisah:

KISAH NABI ILYAS A.S DAN MALAIKAT

Ketika sedang berehat datanglah malaikat kepada Nabi Ilyas A.S. Malaikat itu datang untuk menjemput rohnya. Mendengar berita itu, Ilyas menjadi sedih dan menangis.

"Mengapa engkau bersedih?" tanya malaikat maut.
"Tidak tahulah." Jawab Ilyas.
"Apakah engkau bersedih kerana akan meninggalkan dunia dan takut menghadapi maut?" tanya malaikat.
"Tidak. Tiada sesuatu yang aku sesali kecuali kerana aku menyesal tidak boleh lagi berzikir kepada Allah, sementara yang masih hidup boleh terus berzikir memuji Allah," jawab Ilyas.

Saat itu Allah lantas menurunkan wahyu kepada malaikat agar menunda pencabutan nyawa itu dan memberi kesempatan kepada Nabi Ilyas berzikir sesuai dengan permintaannya. Nabi Ilyas ingin terus hidup semata-mata kerana ingin berzikir kepada Allah. Maka berzikirlah Nabi Ilyas sepanjang hidupnya.

"Biarlah dia hidup di taman untuk berbisik dan mengadu serta berzikir kepada-Ku sampai akhir nanti." Kata Allah.


Semoga yang baik itu datangnya daripada Allah S.W.T dan yang buruk itu datangnya daripada kelemahan diri ini jua..

Nurhuda_cahayapetunjuk
11 J'akhir 1430H /5 Jun 2009

09 Januari, 2009

Syabab Musafir Kasih Karya Fatimah Syarha Mohd Nordin

بسم الله الرحمن الرحيم
Dengan nama Allah Yang Maha Pengasih, Maha Penyayang

Tajuk : Syabab Musafir Kasih
Pengarang : Fatimah Syarha Mohd Noordin
Penerbit : Telaga Biru Sdn Bhd

Syabab,
Lahirmu bagaikan tak berharga,
Kau anak desa, yatim tak berbapa,
Kesusahan hidup mendesakmu berdikari,
Ketulusan jiran mengajarmu kehidupan,
Cabaran berterusan berbuah kematangan,

Wahai Syabab...
Ketekunanmu mengoborkan citi-cita,
Semangatmu bak api marak menyala,
Kau pemuda harapan,
Sinar menantimu di hadapan,
Bebaskanlah pemuda,
Dari belenggu kejahilan,
Kau mampu berlari kencang,
Mencipta gelombang,
Ayuh, SYABAB!

Novel ini mengisahkan seorang pemuda yang bernama "Syabab" yang malang pada awal kehidupannya. Beliau bukan sahaja anak yatim, tetapi juga sering dipandang hina dan tidak berharga di mata penduduk kampung. Hanya Nur Mumtazah, seorang jiran yang dianggapnya seperti kakaknya sendiri yang selalu memberikan dia semangat dan yakin dia boleh berjaya..banyak suka duku yang perlu ditempuhi...Namun, adik kepada Nur Mumtazah yang sebaya dengan Syabab, selalu mengherdik dan mempersendakan Syabab, hingga ada ketikanya dia hilang semangat untuk meneruskan pelajarannya...situasi ini yang buat saya sebagai pembaca tersentuh dan sedih...

Namun begitu, berkat keyakinannya terhadap Islam yang dianutinya serta ilmu yang dipelajarinya, Syabab bangkit dari kesusahan hidup dan berusaha untuk memperbaiki taraf kehidupannya sehingga beliau berjaya mengetuai pemuda-pemuda di kampungnya berubah menjadi orang yang berguna kepada masyarakat. Malah, mereka yang membencinya juga kini mengasihinya...Namun banyak perkara yang perlu ditempuhi sebelum mengecapi kejayaan...

Saya suka sekali buku ini, ada sedih, gembira tetapi yang pasti penulis benar-benar ingin pembaca merasai dan mengetahui bahawa ilmu itu sangat penting. Saya rasa sesiapa yang membaca buku ini, tidak rugi kerana di dalamnya banyak ayat-ayat Al-Quran yang diterjemahkan diselitkan dalam setiap kata-kata untuk dijadikan bukti..pada saya ia bukan hanya sebuah novel tetapi novel ke arah memotivasikan diri sambil melihat kebesaran Allah Yang Maha Agong..banyak rasanya ilmu yang diberikan melalui buku ini..

Sambil membaca, saya sempat menggariskan dan mencatat beberapa ayat-ayat Al-Quran yang digunakan sebagai rujukan untuk buku ini, seperti surah Al-An'am :ayat 69 &60, Surah Al-Anfal : ayat 21, surah At-Taubah : ayat 20, surah Al-Mujadilah : ayat 11 dan banyak lagi..

Novel karya kedua ukhti Fatimah Syarha ini selepas karya pertamanya "Tautan Hati", sangat bagus dibaca oleh semua golongan..saya rasa sahabat-sahabat di sini boleh jadikan ia bahan bacaan seterusnya...:)

SELAMAT MEMBACA...

Semoga yang baik itu datangnya daripada Allah S.W.T dan yang buruk itu datangnya daripada kelemahan diri ini jua..

Nurhuda_cahayapetunjuk
12 Muharram 1430H / 9 Januari 2009

07 Januari, 2009

Koleksi Buku Terbaru (2)

بسم الله الرحمن الرحيم
Dengan nama Allah Yang Maha Pengasih, Maha Penyayang

Alhamdulillah..2 minggu sebelum balik ke bumi yang penuh ilmu ini, berkesempatan untuk melawat kedai buku yang paling saya minati..GEDUNG BUKU BADAN CEMERLANG SDN BHD yang terletak di Plaza Angsana, Johor Bahru.

Memang inilah tempat saya mencari-cari buku-buku yang boleh dijadikan bahan bacaan..
Saya memang begini, biarlah bonda dan ayahanda pergi membel-belah atau berjalan-jalan di sekitar lama-lama pun tidak mengapa, asalkan saya ditinggalkan di gedung buku ini..:)
Apabila keluar pasti ada buku yang mencuri perhatian saya...:)

Dan akhirnya, lima buah buku berjaya saya miliki..:)


1) Kisah Cinta Sejati Khatijah karya Abdul Mun'im Muhammad Umar
2) Syabab Musafir Kasih karya Fatimah Syarha Mohd. Nordin
3) Mengapa Aku jadi Pengetua karya Kusyi Hirdan
4) Bila Cinta Bertasbih (1) karya Habibur Rahman El Shirazy (penulis novel ayat-ayat cinta)
5) Bila Cinta Bertasbih (2) karya Habibur Rahman El Shirazy



Allah berfirman dalam Surah Al-Mujadilah ayat 11, yang bermaksud :

"Wahai orang-orang yang beriman! Apabila dikatakan kepadamu, "Berilah kelapangan di dalam majlis-majlis," maka lapangkanlah, nescaya Allah akan memberi kelapangan untukmu. Dan apabila dikatakan,"Berdirilah kamu," maka berdirilah, nescaya Allah akan mengangkat darjat orang-orang yang beriman di antaramu dan orang-orang yang diberi ilmu beberapa darjat. Dan Allah Maha Teliti apa yang kamu kerjakan"
(Surah Al-Mujadilah : ayat 11)


Menuntut ilmu bukan kerana manusia, tetapi untuk mendapat darjat di sisi Allah.
Ilmu akan memuliakan kita di dunia dan akhirat, InsyaAllah...

Semoga yang baik itu datangnya daripada Allah S.W.T dan yang buruk itu datangnya daripada kelemahan diri ini jua..


Nurhuda_cahayapetunjuk
10 Muharram 1430H / 7 Januari 2009

28 November, 2008

Koleksi Buku Terbaru..

BISMILLAHHIRRAHMANIRRAHIM
Dengan nama Allah Yang Maha Pengasih, Maha Penyayang

Semalam saya menerima bungkusan daripa
da Ukhti Ummu Hani Abu Hassan..bungkusan buku-buku hasil karya Ukhti Ummu Hani dan ayahanda beliau, Cikgu Abu Hassan Morad. Saya memohon jasa baik Ukhti Ummu Hani untuk membeli buku-buku tersebut terus daripada beliau sendiri..

Dan Alhamdulillah.. terujanya saya sambil tersenyum girang menerima bungkusan tersebut..Syukran jazilan pada Ukhti Ummu H
ani atas kiriman ini dan yang paling menarik saya dapat hadiah istimewa buku kumpulan cerpan karya Anis "Cinta Jamuna"....:)

Koleksi terbaru karya Ukhti Ummu Hani dan Cikgu Abu Hassan :

1) Baromkeh matamu di mataku (karya Ummu Hani)
2) Ladang Hati Mustika (karya Ummu Hani)
3) Cinta Madina (karya Abu Hassan)
4) Cinta Jamuna (karya Anis)

Tak sabar untuk menghadam satu persatu buku-buku ini...tetapi kena tunggu saya habis membaca buku-buku telah menanti lama untuk diselami..:)..insyaAllah...

26 November, 2008

Travelog Dakwah: Meniti Hari Esok, Hasil Karya Prof Dr. Haji Muhd Kamil Ibrahim

BISMILLAHHIRRAHMANIRRAHIM
Dengan nama Allah Yang Maha Pengasih, Maha Penyayang

Alhamdulillah..diizinkan Allah, saya dapat menghabiskan buku pertama yang saya baca selepas habis imtihan..

Travelog Dakwah : Meniti Hari Esok
Hasil karya : Prof Dr. Haji Muhd Kamil Ibrahim


Saya sangat teruja apabila menerima kiriman buku ini. Sememangnya, buku Prof ini sangat ditunggu-tunggu setelah buku Travelog Haji: Mengubah Sempadan Iman telah saya hadam dengan titisan air mata...

Ternyata karya Prof kali ini tidak menghampakan malah ia memberi kesan yang cukup mendalam kepada pembacanya. Saya menitiskan airmata setiap kali membaca bab2, dan bait-bait doa yang diucapkan oleh Prof di dalam bukunya ini. Apabila membaca buku ini, saya seakan berdakwah pada diri saya sendiri. Melihat sejauh mana amal yang telah dilakukan. Malah saya rasakan buku ini perlu diulang pembacaannnya. Tulisan daripada seorang yang berjawatan tinggi tetapi jahil ilmu Al-Quran dan akhirnya dapat berubah dan merasakan dirinya begitu dekat dengan Allah. Allah memberi petunjuk dan hidayah, moga dia diberi kekuatan untuk terus beramal dalam merebut syurga Allah Azzawajalla. Tulisan yang tulus dan ihklas untuk berdakwah kepada diri sendiri dan ingin berkongsi kenikmatan beramal bersama-sama dengan insan-insan yang lain.

Ajakan ikhlas beliau kepada beramal, dalam menyempurnakan puasa sunat isnin dan khamis, bersolat jemaah di masjid, bersolat dhuha dan bersolat sepertiga malam sememangnya sesuatu yang cukup istimewa.

Bersolat dhuha dan bertahajjud...memang benar, kita akan berasa kenikmatannya apabila selalu mengamalkannya, ketenangan akan dapat dirasai, ia akan menjadi mudah apabila sentiasa melakukannya..saya juga berdoa, moga-moga sentiasa diberikan Allah ruang untuk terus mengamalkannya...

Apabila membaca buku ini, saya teringat kata-kata seseorang sewaktu saya menonton sebuah rancangan di televisyen"Apabila seseorang itu dahulunya jahil, tetapi akhirnya dia berubah, mungkin ada sesuatu yang baik baginya yang telah dilakukan dan Allah memberikan dia hidayah untuk dia berubah, supaya segala amal yang dilakukan diberkati". Mungkin benar kata-kata ini, yang harus kita dalami sedalam-dalamnya.

Saya tersentuh betapa orang yang tidak pandai ilmu Al-Quran dan ilmu agama tetapi Allah memberikan hidayah kepadanya dan dia merasakan kenikmatan beramal. Bagaimana kita??, yang diberikan Allah nikmat mengenal huruf Al-Quran sejak kecil tetapi amalan yang kita lakukan, jauh ketinggalan...Ya Allah, ini benar-benar mengingatkan diri saya yang selalu alpa dan leka..Moga-moga ada ruang diberikan Allah untuk kita, dalam terus beramal dan mencari yang terbaik untuk diri dan keluarga..Maka semuanya dilakukan kerana kecintaan kita yang teramat sangat kepada Allah Yang Maha Penyayang, Maha Pengasih dan Maha Pengampun..

Allah Maha Agong, Maha Mengetahui segala-galanya...

Dalam Surah Al-An'am ayat 59 yang bermaksud:
"Dan kunci-kunci semua yang ghaib ada pada-NYA; tidak ada yang mengetahui selain DIA. DIA mengetahui apa yang di darat dan di laut. Tidak ada sehelai daun pun yang gugur yang tidak diketahui-NYA. Tidak ada sebutir biji pun dalam kegelapan bumi dan tidak pula sesuatu yang basah atau yang kering, tidak tertulis dalam Kitab yang nyata (Lauh Mahfuz)"
(Surah Al-An'am : ayat 59)

Saya berdoa semoga dakwah Prof melalui penulisan buku-buku sebegini diberkati Allah dan diberikan Allah petunjuk dan hidayah dan kekuatan dalam terus beramal.

Saya juga berdoa semoga saya sentiasa bersyukur atas nikmat yang begitu luas yang diberikan Allah S.W.T. Mudah-mudahan Allah memberi peluang kepada saya, keluarga, sahabat-sahabat dan seluruh umat Islam dalam terus melakukan amal soleh dan meninggalkan perkara-perkara yang dilarang oleh Allah S.W.T..Semoga Allah memberi kita semua kekuatan, petunjuk dan hidayah...insyaAllah..

Ya Allah....
Tetapkanlah hati kami pada agamaMU yang suci dan murni iaitu Agama Islam..
Ya Allah....
Dengan kalimah syahadah..dengan kalimah syahadah..dengan kalimah syahdah....matikanlah kami dengan kematian yang baik...
AMINN...

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails

YA ALLAH...

YA ALLAH...

INDAHNYA....


I made this widget at MyFlashFetish.com.