31 Julai, 2008

Kamar-Kamar Di Syurga


BISSMILLAHHIRRAHMANIRRAHIM...

Rasulullah S.A.W pernah bersabda bahwa di dalam syurga itu terbahagi dalam kamar-kamar. Dindingnya tembus pandang dengan hiasan di dalamnya yang sangat menyenangkan. Di dalamnya pula terdapat pemandangan yang tidak pernah dilihat di dunia dan terdapat satu hiburan yang tidak pernah dirasakan manusia di dunia.

"Untuk siapa kamar-kamar itu wahai Rasulullah S.A.W?" tanya para sahabat.

"Untuk orang yang mengucapkan dan menyemarakkan salam, untuk mereka yang memberikan makan kepada yang memerlukan, dan untuk mereka yang membiasakan puasa serta solat di waktu malam saat manusia lelap dalam mimpinya."

"Siapa yang bertemu temannya lalu memberi salam, dengan begitu ia bererti telah menyemarakkan salam. Mereka yang memberi makan kepada ahli dan keluarganya sampai berkecukupan, dengan begitu bererti termasuk orang-orang yang membiasakan selalu berpuasa. Mereka yang solat Isya' dan Subuh secara berjemaah, dengan begitu bererti termasuk orang yang solat malam di saat orang-orang sedang tidur lelap."

Begitu Nabi menjelaskan sabdanya kepada sahabatnya.

p/s Untuk renungan kita bersama..insyaAllah..Sesungguhnya yang baik itu daripada Allah Azzawajalla dan yang buruk itu daripada kelemahan diri kita jua..

29 Julai, 2008

Israk Mikraj..


Bissmillahirrahmanirrahim....

Petikan khutbah jumaat- 27 Rejab 1423H- 4 Oktober 2002. Semoga artikel ni memberi manfaat pada kita..insyaAllah..

Bulan Rejab kian hampir melabuhkan tirainya. Maka semakin terasa dekatnya pertemuan dengan bulan mulia lagi penuh rahmat, iaitu Ramadan al-mubarak. Namun, di penghujung Rejab yang mulia ini, kita terpanggil untuk merenung sejenak peristiwa yang besar dan bermakna bagi seluruh umat. Peristiwa yang dimaksudkan itu ialah peristiwa Israk Mikraj yang menakjubkan, yang berlaku pada malam 27 Rejab, tahun ke-11 daripada kerasulan Nabi Muhammad SAW.

Israk dan Mikraj adalah dua peristiwa yang amat besar dan luar biasa yang dialami oleh Nabi Muhammad SAW dan dianggap sebagai satu penganugerahan yang tinggi nilainya dari segi kerohanian. Kedua-dua peristiwa itu adalah kurnia Allah SWT kepada baginda untuk memperlihatkan tanda keagungan dan kekuasaan-Nya.

Sungguhpun peristiwa luar biasa yang terjadi setahun sebelum Nabi Muhammad SAW berhijrah ke Madinah itu mustahil dapat dijangkau oleh alam pemikiran manusia, namun kita selaku umat Islam wajib percaya dan meyakini bahawa Israk Mikraj yang ditempuhi serta dialami oleh Nabi Muhammad SAW adalah benar dan berlaku dengan roh dan jasadnya sekali. Segala-galanya boleh berlaku dengan kehendak dan kekuasaan Allah selaku Pencipta dan Pentadbir alam semesta.

Israk bererti perjalanan Nabi SAW dari Masjidilharam di Mekah ke Masjidil Aqsa di Baitul Maqdis di Palestin. Peristiwa ini terakam di dalam Al-Quran, sepertimana firman Allah yang bermaksud :


“Maha Suci Allah yang telah menjalankan hamba-Nya (Muhammad) pada malam hari dari Masjidil-Haraam (di Mekah) ke Masjidil-Aqsa (di Palestin), yang Kami berkati sekelilingnya, untuk memperlihatkan kepadanya tanda-tanda (kekuasaan dan kebesaran) Kami. Sesungguhnya Allah jualah yang Maha Mendengar lagi Maha Mengetahui.”
(Q.S. Al-Israa’: 1).

Sementara itu, Mikraj pula merujuk kepada perjalanan baginda SAW dari Masjidil Aqsa ke Sidratulmuntaha di langit ketujuh, dekat singgahsana Allah SWT sepertimana yang digambarkan oleh Al-Quran yang bermaksud:

“Dan demi sesungguhnya! (Nabi Muhammad) telah melihat (malaikat Jibril dalam bentuk rupanya yang asal) sekali lagi di sisi “Sidratul-Muntaha”; yang di sisinya terletak syurga “Jannatul-Makwa”. (Nabi Muhammad melihat Jibril dalam bentuk rupanya yang asal pada kali ini ialah) semasa “Sidratul-Muntaha” itu diliputi oleh makhluk-makhluk dari alam-alam ghaib, yang tidak terhingga. Penglihatan (Nabi Muhammad) tidak berkisar daripada menyaksikan dengan tepat (akan pemandangan yang indah di situ yang diizinkan melihatnya), dan tidak pula melampaui batas. Demi sesungguhnya ia telah melihat sebahagian dari sebesar-besar tanda-tanda (yang membuktikan luasnya pemerintahan dan kekuasaan) Tuhan-Nya.”
(Q.S. An-Najm: 13-18).

Oleh itu, Israk Mikraj dapat disimpulkan sebagai satu perjalanan kilat Nabi Muhammad pada malam hari atas kudrat dan iradat Allah dari Masjidil Haram ke Masjidil Aqsa, kemudian naik ke langit sampai ke Sidratul Muntaha, bahkan ke Mustawa dan sampai di bawah Arasy Allah (suatu tempat di mana alam ini diatur) dengan menembusi tujuh lapis langit, lalu kembali semula ke Makkah pada malam yang sama.
Salah satu inti penting daripada peristiwa Israk dan Mikraj ialah perintah solat yang diterima Nabi SAW di Sidratulmuntaha. Pada mulanya Allah SWT memberi perintah supaya mengerjakan solat (sembahyang) 50 waktu sehari semalam. Tatkala bertemu dengan Nabi Musa Alaihi Salam di langit keenam, Muhammad SAW menceritakan perintah yang diterimanya daripada Allah. Lalu Nabi Musa menyarankan agar baginda kembali menghadap Allah SWT untuk memohon keringanan, dengan alasan bahawa umatnya tidak akan sanggup melaksanakan solat 50 waktu itu. Disebabkan terlalu sayangkan umatnya, Nabi SAW menerima saranan itu. Ia pun kembali menghadap untuk memohon keringanan. Permohonan itu berulang sampai 9 kali hinggalah Allah SWT mengabulkannya dengan mengurangi waktu solat menjadi hanya 5 kali sehari semalam.
Adapun waktu-waktu solat yang telah ditentukan itu ialah Subuh, Zohor, Asar, Maghrib dan Isya. Waktu mengerjakan solat berkenaan diterangkan dengan jelas di dalam Al-Quran, sepertimana firman Allah yang bermaksud :

“Dan dirikanlah sembahyang itu pada kedua tepi siang (pagi dan petang) dan pada bahagian permulaan daripada malam. Sesungguhnya perbuatan yang baik itu menghapuskan (dosa) perbuatan-perbuatan yang buruk. Itulah peringatan-peringatan bagi orang-orang yang ingat.”
(Q.S. Hud: 114).

Bulan Rejab tahun ke-11 dari kerasulan baginda SAW, disifatkan oleh ahli sejarah sebagai ‘Amulhuzn’ (tahun dukacita) bagi Rasulullah. Ini berikutan dengan dua musibah berturut-turut yang menimpa baginda, iaitu kehilangan dua insan tersayang berikutan kewafatan Khadijah, isteri baginda yang tercinta, yang kemudian disusuli pula dengan pemergian bapa saudara baginda, Abu Thalib, yang banyak melindunginya daripada ancaman kaum kuffar Quraisy.

Musibah yang menimpa itu berpengaruh besar terhadap diri Rasulullah. Lantas Nabi merasakan ruang untuk pergerakan dakwah di kota Makkah semakin sempit dan keselamatan diri turut terancam. Keadaan yang sedemikian mendorong Rasulullah untuk berpindah ke Thaif dengan harapan agar penduduknya menerima seruan dan bersedia membantu perjuangannya. Malangnya, segala harapan baginda hancur berkecai kerana penduduk Thaif bukan saja tidak mahu memberi perlindungan kepada Nabi, malah Nabi dicaci, dihina hatta dianiaya.

Lalu, Rasulullah kembali semula ke Makkah dengan perasaan hampa tanpa hasil. Dan dalam hal keadaan menanggung kesedihan dan kehampaan, Allah menganugerahkan Israk Mikraj, yang antara lain bertujuan menghibur dan mempertebal iman Nabi SAW.

Berdasarkan kepada peristiwa Israk Mikraj, kita memperolehi pelbagai pengajaran berharga yang terkandung di dalamnya untuk direnungi serta dihayati. Antara pengajaran berguna tersebut ialah:

1. Manusia harus sentiasa mengadakan hubungan dengan Allah, baik di kala ditimpa kesusahan mahupun di kala mendapat kesenangan. Ini kerana hanya Allah yang berkuasa memberikan pertolongan, menghilangkan segala kesedihan, dukacita dan kesusahan pada diri manusia. Sebagaimana yang diceritakan, Nabi telah ditimpa beberapa musibah sebelum terjadi Israk Mikraj. Dalam keadaan demikian, datang perintah untuk Israk Mikraj, iaitu untuk berhadapan dengan Allah swt. Ini memberi pengajaran kepada kita agar mendekatkan diri kepada Allah sewaktu didatangi musibah dan pelbagai permasalahan dalam kehidupan. Caranya ialah dengan melaksanakan semua perintah-Nya dan menjauhi semua larangan-Nya di samping terus meningkatkan ketakwaan dan amal ibadat.

2. Menjauhi perkara mungkar dan maksiat. Semasa Israk Mikraj, tepatnya sewaktu Nabi diajak meninjau keadaan neraka, baginda ditunjukkan berbagai bentuk penyeksaan dahsyat yang sedang dialami oleh berbagai kaum sebagai akibat daripada segala macam bentuk kejahatan yang pernah mereka lakukan. Misalnya Nabi diperlihatkan kepada satu kaum yang memecahkan sendiri kepala mereka dengan batu besar, setelah pecah ia kembali bertaut seperti sediakala. Nabi juga melihat bentuk penyeksaan yang lain seperti seksaan bagi pemakan riba, penzina, pengumpat, yang suka memfitnah dan lain-lain lagi. Ini semua memberi iktibar supaya kita yang hidup di dunia ini tidak melakukan segala perbuatan tercela itu dan juga pekerjaan lain yang jelas dilarang Allah kerana begitulah seksaan yang bakal diterima oleh seseorang di akhirat nanti sekiranya perbuatan yang dilarang Allah itu dilakukan.

3. Perintah solat sebagai suatu bentuk ibadah yang Allah sendiri menggariskan ketentuan mengenainya. Kewajipan solat berbeza dengan kewajipan yang lain seperti puasa, zakat dan haji. Ini adalah kerana kewajipan solat diterima langsung oleh Nabi daripada Allah sewaktu bertemu Allah pada malam Mikraj tanpa perantaraan malaikat Jibrail. Ini menunjukkan keistimewaan dan kelebihan solat berbanding ibadah-ibadah lain, dan solat juga amalan yang paling awal dihisab di akhirat kelak. Dengan solat, kita berpeluang untuk berdialog langsung dengan Allah, iaitu ketika bersolat.

4. Mengakui dan tunduk kepada kebesaran Allah sebagai pencipta agar keyakinan terhadap kekuasaan-Nya benar-benar bersemi di jiwa manusia. Ini kerana sewaktu Israk Mikraj, Allah memperlihatkan kepada Nabi akan keagungan dan berbagai keajaiban ciptaan-Nya yang terdapat di alam tinggi bernama langit itu seperti Sidratul Muntaha, syurga dan lain-lain lagi.

5. Anjuran memberi salam. Di sepanjang perjalanan Mikraj, Nabi tidak pernah lupa mengucapkan salam kepada rasul yang baginda temui. Ini mengingatkan kita kepada keutamaan memberi salam dan galakan supaya selalu memberi salam kepada saudara sesama Islam sebagai tanda penghormatan dan untuk mengeratkan hubungan.

6. Mengingatkan usia dunia yang sudah tua yang mana dibayangkan melalui pertemuan Nabi dengan seorang nenek tua. Ia memberi gambaran kepada kita yang umur dunia sudah lanjut dan hampir berlaku kiamat. Hakikat ini memperingatkan setiap Muslim bahawa segala kemewahan dan kesenangan dunia hanyalah bersifat sementara. Hanya ketakwaan dan amal salih menjadi bekalan untuk ke akhirat.

7. Berwaspada dengan rayuan dan tipu daya iblis, di mana sewaktu Israk, pada awal perjalanan lagi jin ‘Afrit telah mengejar baginda dengan membawa obor untuk menghalang perjalanan Nabi dan berusaha memperdayakan baginda. Peristiwa ini memperingatkan kita bahawa syaitan dan iblis tidak akan jemu-jemu untuk menyesat dan memperdayakan umat manusia dengan pelbagai cara.

Israk Mikraj merupakan mukjizat yang tidak diberikan kepada nabi-nabi yang lain. Justeru itu, Pelbagai pengajaran berharga yang terkandung di dalamnya hendaklah direnung dan dihayati supaya ianya dapat membantu memberikan nilai tambah dalam kehidupan, baik dalam usaha meningkatkan ketakwaan dan prestasi ibadah kepada Allah mahupun untuk peningkatan ilmu pengetahuan, terutama dalam menghadapi cabaran globalisasi masa kini. Firman Allah yang bermaksud :

"Dan tidaklah Kami mengutus rasul-rasul sebelummu (wahai Muhammad), selain dari kalangan orang lelaki yang Kami wahikan kepada mereka. Oleh itu bertanyalah kamu kepada orang yang berpengatahuan agama jika kamu tidak mengetahui.”
(Q.S. An-Nahl: 43).

27 Julai, 2008

Tanda-Tanda Kiamat


Hudzaifah bin As-yad al-Ghifary berkata, sewaktu kami sedang berbincang, tiba-tiba datang Nabi Muhammad S.A.W kepada kami lalu bertanya, "Apakah yang kamu semua sedang bincangkan.?"Lalu kami menjawab, "Kami sedang membincangkan tentang hari Kiamat.

"Sabda Rasulullah S.A.W. "Sesungguhnya kiamat itu tidak akan terjadi sebelum kamu melihat sepuluh tanda :-

· Asap
· Dajjal
· Binatang melata di bumi
· Terbitnya matahari sebelah barat
· Turunnya Nabi Isa A.S
· Keluarnya Yakjuj dan Makjuj · Gerhana di timur
· Gerhana di barat
· Gerhana di jazirah Arab
· Keluarnya api dari kota Yaman menghalau manusia ke tempat pengiringan mereka.

Dajjal maksudnya ialah bahaya besar yang tidak ada bahaya sepertinya sejak Nabi Adam A.S sampai hari kiamat. Dajjal boleh membuat apa saja perkara-perkara yang luar biasa. Dia akan mendakwa dirinya Tuhan, sebelah matanya buta dan di antara kedua matanya tertulis perkataan 'Ini adalah orang kafir'.Asap akan memenuhi timur dan barat, ia akan berlaku selama 40 hari. Apabila orang yang beriman terkena asap itu, ia akan bersin seperti terkena selsema, sementara orang kafir pula keadaannya seperti orang mabuk, asap akan keluar dari hidung, telinga dan dubur mereka.

Binatang melata yang dikenali sebagai Dabatul Ard ini akan keluar di kota Mekah dekat gunung Shafa, ia akan berbicara dengan kata-kata yang fasih dan jelas. Dabatul Ard ini akan membawa tongkat Nabi Musa A.S dan cincin Nabi Sulaiman A.S.Apabila binatang ini memukulkan tongkatnya ke dahi orang yang beriman, maka akan tertulislah di dahi orang itu 'Ini adalah orang yang beriman'. Apabila tongkat itu dipukul ke dahi orang yang kafir, maka akan tertulislah 'Ini adalah orang kafir'.
Turunnya Nabi Isa. A.S di negeri Syam di menara putih, beliau akan membunuh dajjal. Kemudian Nabi Isa A.S akan menjalankan syariat Nabi Muhammad S.A.W.Yakjuj dan Makjuj pula akan keluar, mereka ini merupakan dua golongan. Satu golongan kecil dan satu lagi golongan besar. Yakjuj dan Makjuj itu kini berada di belakang bendungan yang dibangunkan oleh Iskandar Zulqarnain. Apabila keluarnya mereka ini, bilangannya tidak terhitung banyaknya, sehingga kalau air laut Thahatiah diminum nescaya tidak akan tinggal walau pun setitik.

Rasulullah S.A.W telah bersabda, " Hari kiamat itu mempunyai tanda, bermulanya dengan tidak laris jualan di pasar, sedikit saja hujan dan begitu juga dengan tumbuh-tumbuhan. Ghibah menjadi-jadi di merata-rata, memakan riba, banyaknya anak-anak zina, orang kaya diagung-agungkan, orang-orang fasik akan bersuara lantang di masjid, para ahli mungkar lebih banyak menonjol dari ahli haq"

Berkata Ali bin Abi Talib, Akan datang di suatu masa di mana Islam itu hanya akan tinggal namanya saja, agama hanya bentuk saja, Al-Qur'an hanya dijadikan bacaan saja, mereka mendirikan masjid, sedangkan masjid itu sunyi dari zikir menyebut Asma Allah. Orang-orang yang paling buruk pada zaman itu ialah para ulama, dari mereka akan timbul fitnah dan fitnah itu akan kembali kepada mereka juga. Dan kesemua yang tersebut adalah tanda-tanda hari kiamat."

Sabda Rasulullah S.A.W, "Apabila harta orang kafir yang dihalalkan tanpa perang yang dijadikan pembahagian bergilir, amanat dijadikan seperti harta rampasan, zakat dijadikan seperti pinjaman, belajar lain daripada agama, orang lelaki taat kepada isterinya, menderhakai ibunya, lebih rapat dengan teman dan menjauhkan ayahnya, suara-suara lantang dalam masjid, pemimpin kaum dipilih dari orang yang fasik, oarng dimuliakan kerana ditakuti akan tindakan jahat dan aniayanya dan bukan kerana takutkan Allah, maka kesemua itu adalah tanda-tanda kiamat."
Semoga kita tergolong dalam orang-orang yang beriman yang sentiasa cinta akan ALLAH S.W.T. dan cinta akan Rasulullah S.A.W dan
Al-Quran dan As-Sunnah pegangan hidup kita..insyaAllah...

24 Julai, 2008

"Berakit-rakit ke hulu, berenang-renang ke tepian....

Minggu ini, minggu yang benar-benar sibuk untuk diri saya..apa tidaknya saya mengambil giliran untuk bentang ulasan jurnal minggu hadapan sebabnya lepas ni boleh tumpu pada asssignment lain pula...sangat kelam-kabut memilih jurnal yang sesuai yang ada kaitan dengan "accounting theory", semester ini...saya memilih 2 jurnal yang bertajuk "Accounting professionalism- a cultural perspective of developing countries" dan "GAAP choice by European companis"...setelah berbincang dengan pensyarah, dia berminat dengan tajuk pertama..alhamdulillah..tugas saya membaca dan ringkaskan jurnal tersebut...beginilah tugas sebagai pelajar dan bakal guru dan juga bakal ahli akademik...membaca,membaca dan terus membaca untuk menambahkan ilmu...

Pada saya.."berakit-rakit ke hulu, berenang-renang ke tepian, bersakit-sakit dahulu, bersenang-senang kemudian"...

Itulah peribahasa yang sesuai bagi bakal pendidik mcm saya ini...perlu menimba ilmu sebanyak yang mungkin dan mudah2han dapat dikongsi bersama-sama pelajar nanti...Saya sangat suka dengan kata-kata Ummu Hani Abu Hassan, seorang penulis tetap di majalah Anis dan pemenang tempat ketiga dalam pertandingan Novel Remaja.

Beliau berkata...
"Buku masih menjadi kunci ilmu, jika tidak membaca , walaupun sudah menjejak menara gading samalah seperti nelayan yang takutkan ombak"

Dalam kesibukan ini, kadang-kala 'tension' menjelma dalam diri...tak cukup tido, kadang-kala tido pun tak lena...tapi terapi yang saya amalkan hingga ke hari ini, setiap kali selepas bersolat, saya pastikan diri membaca Al-Quran..itu sudah menjadi rutin saya sebab bagi saya apabila saya membaca Al-Quran selepas bersolat...segala penat, tension dalam diri hilang...rasa tenang sangat2...mungkin begitulah indah dan cantiknya ayat-ayat Al-Quran sehingga memberi ketenangan kepada pembacanya...;)...

Alhamdulillah Ya Allah...berilah aku ketenangan dan permudahkanlah dalam mengejar ilmu ini...

"Perkataan yang cantik ialah ALLAH,
Lagu yang merdu ialah AZAN,
Enskilopedia yang paling baik ialah AL-QURAN,
Senaman yang baik ialah SOLAT,
Diet yang sempurna ialah PUASA,
Kebersihan yang menyejukkan ialah WUDUK,
Perjalanan yang indah ialah HAJI.."

19 Julai, 2008

17 Rejab 1429H..

Hari ini 17 Rejab 1429H, hari ini hari lahir saya dalam bulan Islam..
Saya dilahirkan pada 17 Rejab 1403H...ada kalanya kita lupa hari lahir kita dalam bulan Islam...
Alhamdulillah...diberikan Allah kesihatan yang sihat dan dapat menikmati alam ciptaan yang Allah Yang Maha Agung ini...

Kepada MU, Ya Allah...
Ku bersyukur atas segalanya...
Jadikanlah aku hambaMU yang sentiasa cinta dan sayang padaMU, Ya Allah...
Jadikanlah aku hambaMU yang sentiasa bersyukur atas nikmatMU...
Jadikanlah aku anak yang solehah yang sentiasa taat dan berbakti pada ibu dan ayah..
Jadikanlah aku wanita yang solehah yang sentiasa beriman dan taat perintahMU..
Jadikanlah aku hambaMU yang sentiasa sayang dan mencintai agama ISLAM, agama yang suci...
Semoga aku dapat berbakti untuk agama, bangsa dan negara..insyaAllah...
Semoga keberkatan sentiasa mengiringiku...insyaAllah...AMINN...

18 Julai, 2008

Antara Sabar & Mengeluh..

Pada zaman dahulu ada seorang yang bernama Abul Hassan yang pergi haji di Baitul Haram. Di waktu tawaf tiba-tiba ia melihat seorang wanita yang bersinar dan berseri wajahnya.
"Demi Allah, belum pernah aku melihat wajah secantik dan secerah wanita itu,tidak lain kerana itu pasti kerana tidak pernah risau dan bersedih hati."
Tiba-tiba wanita itu mendengar ucapan Abul Hassan lalu ia bertanya, "Apakah katamu hai saudaraku ? Demi Allah aku tetap terbelenggu oleh perasaan dukacita dan luka hati kerana risau, dan seorang pun yang menyekutuinya aku dalam hal ini."

Abu Hassan bertanya, "Bagaimana hal yang merisaukanmu ?"
Wanita itu menjawab, "Pada suatu hari ketika suamiku sedang menyembelih kambing korban, dan pada aku mempunyai dua orang anak yang sudah boleh bermain dan yang satu masih menyusu, dan ketika aku bangun untuk membuat makanan, tiba-tiba anakku yang agak besar berkata pada adiknya, "Hai adikku, sukakah aku tunjukkan padamu bagaimana ayah menyembelih kambing ?"
Jawab adiknya, "Baiklah kalau begitu ?"
Lalu disuruh adiknya baring dan disembelihkannya leher adiknya itu. Kemudian dia merasa ketakutan setelah melihat darah memancut keluar dan lari ke bukit yang mana di sana ia dimakan oleh serigala, lalu ayahnya pergi mencari anaknya itu sehingga mati kehausan dan ketika aku letakkan bayiku untuk keluar mencari suamiku, tiba-tiba bayiku merangkak menuju ke periuk yang berisi air panas, ditariknya periuk tersebut dan tumpahlah air panas terkena ke badannya habis melecur kulit badannya. Berita ini terdengar kepada anakku yang telah berkahwin dan tinggal di daerah lain, maka ia jatuh pengsan hingga sampai menuju ajalnya. Dan kini aku tinggal sebatang kara di antara mereka semua."

Lalu Abul Hassan bertanya, "Bagaimanakah kesabaranmu menghadapi semua musibah yang sangat hebat itu ?"
Wanita itu menjawab, "Tiada seorang pun yang dapat membezakan antara sabar dengan mengeluh melainkan ia menemukan di antara keduanya ada jalan yang berbeza. Adapun sabar dengan memperbaiki yang lahir, maka hal itu baik dan terpuji akibatnya. Dan adapun mengeluh, maka orangnya tidak mendapat ganti yakni sia-sia belaka."


Demikianlah cerita di atas, satu cerita yang dapat dijadikan tauladan di mana kesabaran sangat digalakkan oleh agama dan harus dimiliki oleh setiap orang yang mengaku beriman kepada Allah dalam setiap terkena musibah dan dugaan dari Allah. Kerana itu Rasulullah s.a.w bersabda dalam firman Allah dalam sebuah hadith Qudsi,:
" Tidak ada balasan bagi hamba-Ku yang Mukmin, jika Aku ambil kekasihnya dari ahli dunia kemudian ia sabar, melainkan syurga baginya."

Begitu juga mengeluh. Perbuatan ini sangat dikutuk oleh agama dan hukumnya haram. Kerana itu Rasulullah s.a.w bersabda,:
" Tiga macam daripada tanda kekafiran terhadap Allah, merobek baju, mengeluh dan menghina nasab orang."

Dan sabdanya pula,
" Mengeluh itu termasuk kebiasaan Jahiliyyah, dan orang yang mengeluh, jika ia mati sebelum taubat, maka Allah akan memotongnya bagi pakaian dari wap api neraka." (Riwayat oleh Imam Majah)

Semoga kita dijadikan sebagai hamba Tuhan yang sabar dalam menghadapi segala musibah.

15 Julai, 2008

Zinnirah - Seorang Mujahidah Islam

Semalam..melalui dunia cyber ini, saya terjumpa blog KEMBARA HATI
Saya tertarik sebuah kisah di dalamnya iaitu :-Kisah Zinnirah

Kisah tentang ZINNIRAH-
seorang srikandi Islam, seorang gadis yang sangat istimewa,
seorang hamba tawanan,

seorang mujahidah yang berani menegakkan kebenaran dan sanggup berkorban kerana cinta yang didambakan hanya untuk ILahi,
seorang gadis pada zaman Rasullulah yang taat pada perintah Allah,
Nur Islam telah membawa kebenaran kepadanya,

seorang gadis yang sanggup mempertahankan Agama Islam.

Begitulah hebatnya seorang mujahidah yang bernama ZINNIRAH...

Zinnirah..insan mulia yang harus dicontohi....

14 Julai, 2008

Pengalaman..Sangat Bernilai..

Hari ni baru saya berkesempatan..menulis cerita-cerita menarik semasa praktikal di Sekolah Menengah Kebangsaan Sri Kukup...
Alhamdulillah semuanya berjalan lancar...Cikgu-cikgu yang sangat baik yang membuatkan saya rasa sekejap sangat di sekolah ini.. Apa yang menarik sepanjang 2 minggu tersebut, banyak pengalaman yang saya pelajari..

Pada hari Sabtu - 28hb Jun, saya berkesempatan untuk menghadiri Pertandingan Perbahasan Ala Parlimen Anugerah Asrama Terbilang Negeri Johor. Pada asalnya, Cikgu Malik, guru pidato saya dahulu, minta saya dan adik membantu untuk menjadi juru acara tetapi sesampainya kami di sana, saya dan adik dilantik menjadi pengadil peringkat suku akhir, antara Daerah Kota Tinggi dan Daerah Kluang..alhamdulillah, saya gunakan ilmu sewaktu zaman persekolahan dulu mewakili seklah dalam pertandingan pidato dan bahas untuk menjadi pengadil dalam pertandingan...dan alhamdulillah semuanya berjalan lancar..Terima kasih Cikgu Malik yang memberi kami peluang keemasan ini..Cikgu Malik memang seorang guru bahasa yang sangat bagus terutama dalam bab2 pidadto, bahas dan pantun..:)


Tidak ketinggalan, saya dapat menghadiri juga Pertandingan Hari Puteri Islam Daerah Pontian...pelbagai pertandingan diadakan seperti membuat asing kek, gubahan, marhaban dan berzanji..Alhamdulillah, saya diberi kepercayan oleh Ustazah Salamah untuk melatih pelajar yang memasuki pertandingan berzanji, walaupun pelajar tersebut tidak berjaya sekurang-kurangnya saya bersyukur dapat memberi sedikit ilmu kepadanya dan menabur bakti utk sekolah saya dahulu...teringat saya zaman2 sekolah mengambil bahagian pada hari puteri dan pertandingan yang saya selalu ambil bahagian, berzanji dan pidato...:)..masa dah berlalu sekarang saya pula menjadi cikgu yang hantar pelajar..:)


Walau apapun...praktikal yang berlalu ni, memberikan saya satu keazaman untuk menjadi guru yang terbaik...seronok mengajar walau ada ketikanya saya rasakan profesion ini sangat2 mencabar dengan generasi-generasi yang moden...aduhai..inilah hakikat yang saya kena hadapi..insyaAllah segalanya dipermudahkan Allah..

p/s Gambar 1 &2 - sewaktu pertandingan perbahasan, anak murid lebih
tinggi daripada cikgu hehehe

Gambar 3 -gambar bersama guru subjek prinsip akaun saya- Cikgu
Faridah, kerana beliaulah saya meminati subjek akaun..:),
orangnya sangat lembut dan baik...:)

Ujian Adalah Tarbiyah Daripada Allah S.W.T

Doa Sulit Menghadapi Kesusahan:-


Ujian adalah tarbiyah daripada Allah, apakan kita kan sabar ataupun sebaliknya.

Begitulah lirik yang dinyanyikan kumpulan inteam bersama-sama dengan Nazri (Raihan). Lirik inilah yang membuat saya terfikir, ujian dan dugaan yang saya alami sejak2 akhir ini.

Semasa saya praktikal di Sekolah Menengah Kebangsaan Sri Kukup, setiap kali saya balik mengajar, saya mengalami sakit kepala yang sangat teruk sehingga kadang kala saya tak dapat tahan..sakit kepala di kawasan kening hingga membuat saya tak dapat buat kerja. Bonda lah yang paling risau dan saya juga bimbang kalau2 saya menghidap migrain. Akhirnya saya berjumpa doktor, dan doktor mengesahkan saya terkena jangkitan kuman di bahagian kening- ini ada kaitan juga dengan resdung yang saya alami. Doktor memberikan ubat, walau bagaimanapun sakit masih berulang dan saya dapat rasakan bonda sangat2 risau sehingga bonda ingin membawa saya ke hospital pakar. Tetapi alhamdulillah..sakit berkurangan dan saya berterusan makan ubat.

Allah memberi petunjuk kepada saya di mana kebetulan pada 24hb Jun dalam akhbar Utusan Malaysia tersiar rencana tentang sakit kepala yang sama seperti saya alami atau dinamakan sebagai ”SINUSITIS”. Rupa-rupanya selsema yang saya alami setiap pagi, bukanlah selsema biasa iaitu jangkita kuman. Antara simptom-simptomnya ialah hidung tersumbat, sakit kepala, banyak mukus dalam hidung berwarna kuning kehijauan dan berbau busuk, deria bau berkurangan. Sesetangah pesakit yang mengalami resdung yang disebabkan oleh alahan kepada habuk atau suasana sejuk boleh menyebabkan hidung tersumbat, berair dan ada struktur dalam hidung yang bengkak dan inilah satu faktor yang menyebabkan sinusitis.
Alhamdulillah, saya kena makan ubat yang disarankan oleh doktor.

Walau bagaimanapun dugaan datang lagi apabila beberapa ahri sebelum saya pulang ke kampus, saya kena demam ”CHIKUNGUNYA”, 2 hari saya tak dapat bangun, sakit semua-semua sendi2 saya. Hanya Allah saya yang mengetahuinya waktu itu, report praktikal saya kena buat, demam ini melanda diri.....membuatkan saya cukup2 teruji.
Sebelum ini, hampir kesemua ahli keluarga saya mengalami demam ini.
Tanda dan gejala penyakit Chikungunya adalah demam panas, sakit kepala, sakit dan lenguh di bahagian sendi (terutamanya pergelangan kaki, siku dan lutut), sakit belakang (sehingga mengganggu aktiviti harian) dan ruam merah di bahagian badan. Tanda dan gejala penyakit ini biasanya berlarutan sehingga 5 ke 7 hari. Tiada rawatan spesifik untuk penyakit ini. Pesakit biasanya dirawat secara simptom.

Saya gagahkan diri pulang ke kampus menunaikan tanggungjawab sebagai pelajar. Walau bagaimanapun 2 hari di UPSI, bintik2 merah seperti denggi mula tumbuh dimuka dan di badan. Muka saya yang paling teruk sampai bengkak...Allah S.W.T benar2 menguji saya, saya mengambil keutusan pulang ke kampung untuk mendapatkan rawatan. Alhamdulillah, saya bersykur dan berterima kasih kepada sahabat-sahabat seperti noni dan badilah yang sanggup hantar saya ke perhentian puduraya, jika mereka takda tak tahulah apa jadi dengan saya. Jasa kalian hanya Allah saja yang membalasnya.
Alhamdulillah...sekarang saya beransur pulih Cuma Doktor menasihati saya supaya terus mengambil ubat kerana ditakuti demam berulang kembali.

Setiap yang berlaku pasti ada hikmahnya...mungkin Allah memberikan dugaan dan ujian ini kepada saya supaya saya sentiasa bersyukur dan sentiasa jaga kesihatan dan pemakanan. Dan mungkin inilah permulaan untuk semester baru ini, Allah S.W.T Maha Adil, Maha Penyayang dan saya benar2 bersyukur kerana diberi kesempatan oleh Allah untuk melihat dunia ini sehingga ke hari ini.
”Aku redha dengan ketentuanMU, YA ALLAH.....”

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails

YA ALLAH...

YA ALLAH...

INDAHNYA....


I made this widget at MyFlashFetish.com.