Memaparkan catatan dengan label Keluarga Tercinta. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label Keluarga Tercinta. Papar semua catatan

30 April, 2010

Angka 27

بسم الله الرحمن الرحيم
Dengan nama Allah Yang Maha Pemurah lagi Maha Penyayang

Pada tanggal 30 April 1983 (Sabtu) bersamaan 17 Rejab 1403H, tepat 12.42 pagi, lahirlah seorang bayi comel :) hasil perkongsian hidup Ustaz Md Tahir dan Puan Khatijah, dan diberi nama Nurhuda (bermaksud cahaya petunjuk) yang merupakan puteri sulung bagi pasangan bahagia ini. :)

Dan hari ini 30 April 2010 (Jumaat) bersamaan 15 Jamadilawal 1431H, maka genaplah usia saya 27 tahun. Alhamdulillah bersyukur sangat kerana Allah memberi peluang merasai nikmat yang cukup banyak. Alhamdulilah banyak sangat ucapan yang diterima daripada keluarga, sahabat-sahabat, guru-guru..terharu atas ingatan kalian yang sentiasa mendoakan diri ini. Doa kalian hadiah yg sangat bernilai~Semoga Allah saja membalasnya. Jazakallahu khairan khatira...:)

Terima kasih kepada bonda dan ayahanda tercinta yang mendidik saya hingga ke hari ini.
Terima kasih juga kerana sehingga ke hari ini, saya tidak pernah merasa kurangnya kasih sayang malah saban hari semakin dekat dan erat kasih sayang yang diberikan, sentiasa mekar dengan cahaya-cahaya keimanan dan ketaqwaan yang diberikan walaupun sudah mencecah angka 27 :) ke mana saja pergi, mereka akan menemani saya, setiap detik dan waktu, malah saya lebih senang bersama-sama ayahanda dan bonda ke mana jua saya berada.

Teringat kata-kata bekas guru saya apabila dia mengetahui bahawa setiap hari ayahanda akan memandu dan menghantar saya pergi mengajar ke sekolah yang mengambil masa 45 minit perjalanan : katanya "Ustaz Tahir memang betul-betul jaga anak-anak perempuan dia..dari sekolah, universiti dan sampai kerja, ke mana saja menemani" ....saya hanya tersenyum dan berkata " Alhamdulillah ..abah dan mak memang macam tu, agaknya sebab anak-anak perempuannya tak berumahtangga lagi hehehehe"

Terima kasih juga pada satu-satunya adik tercinta, anak kedua dan merangkap puteri bongsu dalam keluarga kerana dia adalah adik, sahabat, penasihat, pakar runding, teman saya di dunia dan akhirat hehehehe..:) semoga kita sama-sama menjadi muslimah dan anak yang solehah, penyejuk hati bonda dan ayahanda..:) Semoga kita sekeluarga akan bertemu dan disatukan di syurga firdaus yang kekal abadi..aminn..

" Ya Allah, berikanlah cinta-MU kepadaku, jadikanlah orang yang mencintai-MU mencintai aku, dan jadikanlah aku mencintai segala sesuatu yang membawa kepada kecintaan-MU"
Semoga Allah memberkati setiap amal ibadah yg kulakukan,
Semoga Allah memberi peluang untuk merasai kasih sayang Allah,
Cinta dan kasih hanya pada Allah dan Rasulullah,
Sesungguhnya hanya cinta pada Allah yang kekal abadi "


Semoga bertemu lagi di tahun hadapan - 30 April 2011..insyaAllah


Semoga yang baik itu datangnya daripada Allah S.W.T dan yang buruk itu datangnya daripada kelemahan diri ini jua..

Damba CintaNYA..
Nurhuda_cahayapetunjuk
15 Jamadilawal 1431H /30 April 2010

12 Mei, 2009

Ibu Ratu Hatiku..

بسم الله الرحمن الرحيم
Dengan nama Allah Yang Maha Pemurah lagi Maha Penyayang

Selamat Hari Ibu khususnya kepada bonda saya...Bonda adalah segala-galanya buat saya...Jasa Bonda tiada tolok bandingnya...hanya Allah yang akan memisahkan kita..

Selamat Hari Ibu juga kepada semua sahabat-sahabat yang sudah bergelar ibu dan sekalung tahniah kepada sahabat saya, Norarfah Salleh kerana telah selamat melahirkan bayi perempuan..semoga menjadi isteri dan bonda yang mithali...semoga anak yang dilahirkan menjadi anak yang solehah penyejuk hati ibu dan ayah..


Lagu di bawah ini khas untuk semua yang bergelar ibu...semoga ibu sentiasa mendapat rahmat dan berada di bawah kasih sayang Allah S.W.T. Semoga berkat doa-doa ibu, anak-anakmu menjadi anak-anak yang soleh dan solehah dan menggembirakan hati ibu dan ayah..aminn..


Buat anak-anak..sayangilah ibu dan ayah..sesungguhnya redha ibu bapa adalah yang paling utama barulah hidup akan diberkati..sayangilah ibu dan ayah hingga ke akhirnya...

Allah berfirman dalam surah Al-Furqan ayat 74, yang bermaksud;
"Dan orang-orang yang beriman: Wahai Tuhan kami kurniakan kepada kami dari isteri dan keturunan kami anak yang menyejukkan mata; dan jadikanlah kami pemimpin orang-orang yang bertaqwa."

Your Mother
Album :
Munsyid : Yusuf Islam
http://liriknasyid.com


Who should I give my love to?
My respect and my honor to
Who should I pay good mind to?
After Allah
And Rasulullah

Comes your mother
Who next? Your mother
Who next? Your mother
And then your father
Cause who used to hold you
And clean you and clothes you
Who used to feed you?
And always be with you
When you were sick
Stay up all night
Holding you tight
That?s right no other
My mother

Who should I take good care of?
Giving all my love
Who should I think most of?
After Allah
And Rasulullah
Comes your mother
Who next? Your mother
Who next? Your mother
And then your father
Cause who used to hear you
Before you could talk
Who used to hold you?
Before you could walk
And when you fell who picked you up
Clean your cut
No one but your mother
My mother

Who should I say why close to?
Listen most to
Never say no to
After Allah
And Rasulullah
Comes your mother
Who next? Your mother
Who next? Your mother
And then your father
Cause who used to hug you
And buy you new clothes
Calm your head
And blow your nose
And when you cry
Who wiped your tears?
Knows your fears
Who really cares?
My mother

Say Alhamdulillah
Thank you Allah
Thank you Allah
For my mother.




Janganlah kesal berhari-hari,
Bertimbal turun ke mata;
Barang salah menyusun jari,
Junjung dengan tutur kata.


Semoga yang baik itu datangnya daripada Allah S.W.T dan yang buruk itu datangnya daripada kelemahan diri ini jua..


Nurhuda_cahayapetunjuk
17 J'awal 1430H /12 Mei 2009

14 April, 2009

Tentang Mereka..

بسم الله الرحمن الرحيم
Dengan nama Allah Yang Maha Pemurah lagi Maha Penyayang

Tentang mereka...entri kali ini khas untuk adik-adik sepupu..;)..Gambar di atas, adalah si cilik, Nurul Izzati (6 tahun) dan Nurul Najihah (4 tahun)...gambar diambil sewaktu sambutan Maulidurrasul di Masjid Jamek Dato' Haji Nooh Gadot, Serkat, Pontian, Johor...Kedua-dua cilik ini, memasuki pertandingan mewarna..Dan Nurul Izzati mendapat tempat kedua dan si adik, Nurul Najihah hanya sagu hati saja..:)..Gambar di bawah, gambar Nurul Izzati sewaktu mengambil hadiah daripada Dato' Haji Nooh Gadot..:) Wahh...bertuahnya dapat bersalam dengan Mufti Johor..:) Tahniah Izzati..;)

28hb ini pula, Nurul Izzati bakal memasuki pertandingan menghafaz surah Al-Fatihah dan surah tiga Qul- Surah Al-Ikhlas, Al-Falaq dan Surah An-Nas..
Menurut bonda, setiap hari ayahanda saya, akan melatih si cilik ini...:)
Alhamdulillah...bukan saja si kakak boleh menghafaz, malah si adik juga sangat lancar dalam hafazannya..tajwid juga sangat mantop..hehehehe...teruja dan bersyukur saya tatkala mendengar bacaan kedua-duanya di talian telefon...begitu bersemangat...:) dan janji saya pada mereka dalam perbualan di telefon, "nanti Kak Yuyu belikan hadiah"..:)

Nurul Izzati menerima hadiah drpd Dato' As-Sheikh Haji Nooh Gadot (Mufti Negeri Johor)


Bersama ibu dan abah si cilik ini..

Gambar di bawah ini pula, sepupu saya, Ahmad Zhafran, baru-baru ini, dia mendapat 9A (8A1 da 1A2) dlm SPM dan sekarang melanjutkan pelajaran di UTP..Saya doakan semoga beliau menjadi anak yang soleh dan berjaya di dunia dan akhirat..Aminn..

Segak berbaju melayu, Ahmad Zhafran..:)

Dan gambar yang terakhir..kedua-duanya ini berkongsi hari lahir yang sama iaitu 20hb Januari..Nursyuhada (23 tahun) Nurul Najihah (4 tahun)..Kembar tapi lahir dalam tahun lain-lain..;)..Nursyuhada kini sedang menuntut dalam Ijazah Pendidikan (TESL) di IPKB-UiTM. Semoga kalian berdua sentiasa di bawah rahmat dan kasih sayang Allah..;)

Kembar Tahun Lain-lain..Nursyuhada dan Nurul Najihah..;)

Buat adik-adik sepupu..
Semoga kalian berjaya di dunia dan akhirat..
Semoga menjadi anak yang soleh dan solehah..;)
Doakan Kak Yuyu cepat-cepat bekerja dan habis belajar, nanti boleh belanja ais krim untuk kamu semua hehehe..insyaAllah..;)

p/s; adik-adik sepupu yang lain, gambar kalian akan menyusul nanti..insyaAllah...:)


Semoga yang baik itu datangnya daripada Allah S.W.T dan yang buruk itu datangnya daripada kelemahan diri ini jua..


Nurhuda_cahayapetunjuk
18 Rabiulakhir 1430H /14 April 2009

01 April, 2009

Makna Air Mata Insan


بسم الله الرحمن الرحيم
Dengan nama Allah Yang Maha Pemurah lagi Maha Penyayang


Subhanaallah...mensyukuri nikmat yang diberikan oleh Allah S.W.T kepada kita semua..nikmat yang cukup banyak untuk hamba-hambaNYA...

InsyaAllah..saya ingin berkongsi satu artikel yang diperolehi daripada Akhbar Harian Metro Online..untuk melihat artikel sepenuhnya bolehlah klik di sini

TAZKIRAH REMAJA: MAKNA AIR MATA INSAN
Oleh: MOHD ZAWAWI YUSOH

Pernahkah anda menangis?
Jika menangis, apakah puncanya dan sebabnya?
Menangis adalah fitrah manusia tetapi sebab tangisan akan memberikan harga dan nilai tersendiri.

Allah yang menciptakan ketawa dan tangis, malah menciptakan sebab tercetusnya tangisan.
Banyak air mata mengalir di dunia ini. Sumbernya dari mata, mengalir ke pipi terus jatuh ke bumi.
Mata itu kecil namun ia tidak pernah kering. Ia berlaku setiap hari tanpa putus-putus. Seperti sungai yang mengalir ke laut tidak pernah berhenti. Kalaulah air mata itu terkepung, seperti air hujan, banjirlah dunia ini.

Menurut Ibnul Qayyim ada beberapa jenis tangisan antaranya ialah:
  • Menangis kerana kasih sayang dan kelembutan hati
  • Menangis kerana rasa takut
  • Menangis kerana cinta
  • Menangis kerana gembira
  • Menangis kerana menghadapi penderitaan
  • Menangis kerana terlalu sedih
  • Menangis kerana terasa hina dan lemah
  • Menangis untuk mendapat belas kasihan orang
  • Menangis kerana mengikut-ikut orang menangis
  • Menangis orang munafik- pura-pura menangis
Ada jenis tangisan nampak biasa sahaja tetapi air mata yang mengalir itu dapat memadamkan api neraka.

Ini disahkan oleh Nabi S.A.W dalam satu hadis, Rasulullah bersabda, maksudnya:

"Tidaklah mata seseorang menitiskan air mata kecuali Allah akan mengharamkan tubuhnya dari api neraka. Dan apabila air matanya mengalir ke pipi maka wajahnya tidak akan dikotori oleh debu kehinaan, apabila seseorang daripada satu kaum menangis, maka kaum itu akan dirahmati. Tidaklah ada seseuatu pun yang tak mempunyai kadar dan balasan kecuali air mata. Sesungguhnya air mata dapat memadamkan lautan api neraka"

Tangisan yang dimaksudkan ialah tangisan kerana takut kepada Allah. Menangis kerana menyesal atas kesalahan dan dosa, malah tangisan takut kepada azab Allah sangat bernilai di sisi-NYA sehingga air mata itu boleh memadamkan api neraka.

Salman al-Farisi r.a berkata, sahabat-sahabatku menangis atas tiga perkara, iaitu:

  • Berpisah dengan Rasulullah dan kalangan sahabat.
  • Ketakutan seorang yang perkasa ketika melihat malaikat Israil datang mencabut nyawanya.
  • Aku tida tahu sama ada aku akan diperintahkan untuk ke syurga atau neraka.
Ada juga jenis air mata yang tidak bernilai di sisi Allah, malah kadangkala mendapat kemurkaan Allah. Antaranya menangis tengok filem Hindi serta menangis sehingga meratap dan memukul badan, malah merobek pakaian apabila ada kematian.

Tanda air mata rahmat sebagaimana diterangkan Rasulullah S.A.W dalam sabda yang bermaksud:

"Jagalah mayat ketika kematiannya dan perhatikanlah tiga perkara, iaitu:
  1. Apabila dahinya berpeluh
  2. Air matanya berlinang
  3. Hidungnya keluar cecair
Simpanlah air mata tangisna itu semua sebagai bekalan untuk menginsafi segala kecuaian yang melanda diri, segala dosa berbentuk bintik hitam yang menggelapkan hati hingga sukar untuk menerima hidayah dariapda Allah S.W.T

Justeru, serulah air mata itu dari persembunyiannnya di sebalik kelopak mata, agar ia menitis , membasahi dan mencuci hati, sehingga ia putih kembali dan semoga ia dapat meleburkan dosa dan mendapat keampunan-NYA.


p/s: Membaca artikel ini, hati saya tersentuh..banyak air mata dihabiskan begitu sahaja..sememangnya saya cukup mudah mengalirkan air mata terutama jika ia melibatkan keluarga, orang-orang yang saya sayang atau dalam apa jua keadaan yang membuatkan saya sedih sehingga pernah suatu ketika dahulu, seorang sahabat mengatakan saya seperti pelakon airmata kerana sangat mudah mengalirkan air mata. Saya berdoa semoga air mata yang mengalir dapat menjadi penebus dosa-dosa saya, hamba Allah yang lemah..Semoga kita mendapat manfaat daripada artikel ini...:)


Semoga yang baik itu datangnya daripada Allah S.W.T dan yang buruk itu datangnya daripada kelemahan diri ini jua..


Nurhuda_cahayapetunjuk
5 Rabiulakhir 1430H /1 April 2009

18 Mac, 2009

Buat Insan-Insan Tersayang...

بسم الله الرحمن الرحيم
Dengan nama Allah Yang Maha Pemurah lagi Maha Penyayang

Syukur...Ya Allah...kerana masih mampu bernafas, menghirup udara dan alhamdulillah diberikan Allah kesihatan yang sihat sehingga ke hari ini...

Coretan kali ini khusus untuk insan-insan yang disayangi...siapa???..:)

Khusus buat Bonda, Ayahanda dan Si adik..:)
Sebenarnya 16 Feb , 28 Feb dan 11 Mac yang lalu adalah hari lahir bonda, ayahanda dan si adik tercinta..:) Kerana terlalu sibuk, saya terpaksa menunda coretan ini...Maka hari ini...inilah sedikit coretan buat insan-insan yang paling sayangi..tanpa mereka..siapalah saya...

Selamat Hari Lahir buat bonda dan ayahanda...
Semoga dipanjangkan umur dan dimurahkan rezeki...
Semoga diberikan kesihatan yang sihat..
Semoga sentiasa diberkati Allah selalu...
Semoga amal-amal solehmu akan diberkati Allah dan bersama-sama ke syurga..
Pengorbananmu begitu tinggi nilainya...
Anakmu ini berjanji akan berusaha mencari yang terbaik di dunia dan akhirat buat bekalan kita bersama...
Anakmu ini selalu berdoa agar kita sekeluarga dapat menikmati syurga firdaus hingga akhirnya...

Selamat Hari Lahir buat Si adik..:)
Semoga panjang umur dan murah rezeki..
Semoga menjadi anak yang solehah yang selalu mendoakan bonda dan ayahanda...
Semoga jadi guru yang cemerlang di dunia dan akhirat..
Semoga cintamu pada ilmu semakin mendalam..
Semoga kita sama-sama mendapat yang terbaik di dunia dan akhirat...


SEMOGA KITA SEKELUARGA SENTIASA DI BAWAH LEMBAYUNG RAHMAT ALLAH S.W.T...semoga kasih dan sayang kita kekal hingga ke akhir hayat..Semoga kita saling kasih mengasihi hanya kerana Allah S.W.T..

Janji-janji Allah itu benar, sesiapa yang beramal soleh maka ganjaran syurga buatnya..Semoga syurga firdaus menanti kita sekeluarga...AMINNN.....

Ya Allah...jadikan kami mencintaiMU dengan sepenuh hati kami dengan redha kepadaMU dalam segala usaha kami..
Ya Allah...Jadikanlah cinta kami kepadaMU menguasai seluruh yang kami cintai..AMINN..

Renungan buat semua :
Wasiat Saidina Umar Al-Khatab:

"Hitunglah diri kamu sebelum kamu dihitung. Timbanglah amalan kamu sebelum ianya ditimbang dan bersedialah kamu menghadapi hari perhitungan (kiamat)"


Semoga yang baik itu datangnya daripada Allah S.W.T dan yang buruk itu datangnya daripada kelemahan diri ini jua..


Nurhuda_cahayapetunjuk
21 Rabiulawal 1430H /18 Mac 2009

27 Januari, 2009

Solat : Mahkota Umat Islam

بسم الله الرحمن الرحيم
Dengan nama Allah Yang Maha Pengasih, Maha Penyayang

Solat atau sembahyang dalam Islam, merupakan mahkota orang-orang Islam, solat adalah ikatan yang terkuat antara hamba dan Tuhannya. Mengerjakan solat lima waktu sehari semalam akan mendamaikan hati dan ketenangan akan tercapai dengan solat yang khusyuk. Dengan bersolat, setiap mukmin akan mendekatkan dirinya dengan Allah, bermohon dan bersyukur atas kurniaan daripada Allah kepada hambaNYA.

Abdullah bin Umar R.A meriwayatkan, bahawa beliau terdengar Rasulullah bersabda:

"Islam tegak atas lima rukun":

1. Bersaksikan bahawasanya, tiada Tuhan selain Allah dan Muhammad adalah hamba-NYA serta Rasul-NYA
2. Mendirikan solat lima waku sehari semalam.
3. Membayar zakat.
4. Puasa pada bulan ramadhan.
5. Mengerjakan haji.


Agama Islam diibaratkan oleh Rasulullah sebagai sebuah khemah yang kosong yang disokong oleh lima batang tiang untuk meneguhkannya. Maka kewajipan bagi umat Islam menunaikan segala perintah Allah dan meninggalkan segala larangan Allah.

Anas r.a menceritakan bahawa dia mendengar Rasulullah S.A.W bersabda:
" Jika seseorang itu meninggal dunia dengan beriman, mematuhi perintah-perintah Allah, menunaikan solat dan membayar zakat, maka dia mati dengan keredhaan Allah".

Abdullah bin Abbas R.A pernah mendengar Rasulullah S.A.W bersabda;
"Seorang yang tidak bersolat akan mengadap Allah dan Allah akan murka dengannya"

Saya tinggalkan di sini sebuah kisah yang boleh dijadikan panduan dan pedoman buat kita bersama..insyaAllah

Tajuk: Jenazah Berubah Menjadi Babi Hutan

Seorang anak datang kepada Rasulullah sambil menangis. Peristiwa itu sangat mengharukan Rasulullah S.A.W yang sedang duduk bersama-sama sahabat yang lain.

"Mengapa engkau menangis wahai anakku?" tanya Rasulullah.

"Ayahku telah meninggal tetapi tiada seorang pun yang datang melawat. Aku tidak mempunyai kain kafan, siapa yang akan memakamkan ayahku dan siapa pula yang akan memandikannya?" Tanya anak itu.

Segeralah Rasulullah memerintahkan Abu Bakar dan Umar untuk menjenguk jenazah itu. Alangkah terperanjatnya Abu Bakar dan Umar, mayat itu berubah menjadi seekor babi hutan. Kedua-dua sahabat itu lalu segera kembali melaporkan kepada Rasulullah S.A.W.

Maka datanglah sendiri Rasulullah S.A.W ke rumah anak itu. Didoakan kepada Allah sehingga babi hutan itu kembali berubah menjadi jenazah manusia. Kemudian Nabi menyembahyangkannya dan meminta sahabat untuk memakamkannya. Betapa hairannya para sahabat, ketika jenazah itu akan dimakamkan, ia berubah kembali menjadi babi hutan.

Melihat kejadian itu, Rasulullah bertanya kepada anak itu apa yang dikerjakan oleh ayahnya selama hidupnya.

"Ayahku tidak pernah mengerjakan solat selama hidupnya," jawab anak itu.

Kemudian Rasulullah bersabda kepada para sahabatnya,

"Para sahabat, lihatlah sendiri. Begitulah akibatnya apabila orang meninggalkan solat selama hidupnya. Ia akan menjadi babi hutan di hari kiamat."


"DIRIKANLAH SOLAT, SESUNGGUHNYA SOLAT ITU ADALAH TIANG AGAMA"


Semoga yang baik itu datangnya daripada Allah S.W.T dan yang buruk itu datangnya daripada kelemahan diri ini jua..

p/s: sekadar peringatan untuk diri ini jua.


Nurhuda_cahayapetunjuk
1 Safar 1430H / 27 Januari 2009

10 Januari, 2009

Intifada Dan Rindu Hakiki

بسم الله الرحمن الرحيم
Dengan nama Allah Yang Maha Pengasih, Maha Penyayang

Alhamdulillah pagi ini, masih diberi kesempatan oleh Allah S.W.T untuk menghirup udara yang segar..bersyukur kepada Allah, bumi Malaysia masih lagi aman..hari ini, sambil membaca akhbar di internet, terjumpa satu artikel bertajuk "Intifada Dan Rindu Hakiki"..entah kenapa bergenang airmata tatkala mebaca artikel daripada akhbar Kosmo Online ini...Saya ingin berkongsi artikel tersebut bersama-sama sahabat-sahabat di sini..


INTIFADA DAN RINDU HAKIKI

Oleh HAMZAH ABDUL HAMID dan FATIMI NADIAH ZAINUDEEN

Biarpun kekejaman Israel terhadap penduduk Palestin terus berlarutan, penduduk asal bumi berdarah itu tidak putus berdoa dan mengharapkan ia kembali dirahmati keamanan.



PERNAH menetap di Amerika Syarikat (AS) selama lebih empat tahun seraya mengikuti suami yang dilantik menjadi imam di sana, Kefah Kamel Ahmad Abu-Hannoud, 40, menyaksikan kesungguhan dan susah payah rakyat negara kuasa besar itu hanya untuk membantu anjing dan kucing liar.

Mengakui penduduk AS kebanyakannya baik hati, namun apabila berbicara tentang Palestin, masing-masing mendiamkan diri atau menutup mata.

"Adakah kami lebih hina dan rendah daripada anjing dan kucing liar?" tanya Kefah. Nada sebaknya meruntun jiwa. Ada masa dan ketikanya Kefah hanya terdiam dan termenung jauh.

Apa yang berlaku, kata Kefah, tidak adil. Rakyat Palestin juga salah satu komuniti di dunia yang mempunyai hak yang sama untuk hidup di muka bumi.

"Isreal bukan saja membunuh penduduk Palestin, tetapi juga ekonomi, politik dan pendidikannya," katanya.

Dilahirkan di kampung Asira Utara berdekatan Nablus, darah Palestin mengalir pekat di dalam tubuhnya. Namun pelajar di Kulliyah Ilmu Wahyu dan Sains Manusia, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) di Gombak ini mengatakan beliau tidak mempunyai sebarang ingatan tentang negara asalnya itu kerana tidak pernah melihat bumi Palestin.

"Keluarga saya diusir keluar dari Palestin sehelai sepinggang sejak lebih 40 tahun lalu. Moyang saya yang dulu berharta terpaksa memulakan semula hidupnya di Jordan tanpa apa-apa. Kini kampung saya di Jordan dan kami hanya menyewa saja di sana," jelasnya sambil menambah lebih 70 peratus penduduk Jordan adalah pelarian Palestin.

Lantaran itu, setiap kali membaca atau mendengar berita tentang nasib Palestin, emosinya mudah tersentuh.

"Seperti umat Islam yang lain, saya juga marah dengan apa yang sedang berlaku. Anak-anak yang kehilangan ibu bapa terbiar tanpa sokongan. Yang kehilangan harta benda, bergelut setiap hari untuk terus hidup. Hendak membina semula kehidupan, tempat mencari nafkah juga sudah musnah.

"Orang Palestin di Palestin sendiri tidak percaya apa yang mereka sedang alami," katanya. Kefah menambah, separuh daripada keluarganya masih menghuni bumi bergolak itu, membuatkan tidur malamnya jarang lena.

"Ada malam yang saya tidak dapat lena langsung. Menangis saja dan terfikir-fikir apalah yang dapat dilakukan untuk membantu mereka sekeluarga. Siapa yang sanggup lihat keluarga sendiri diperlakukan begitu," ujarnya lagi.


SERUAN kemanusiaan dan kecaman terhadap kezaliman Israel dan sekutunya datang dari setiap penjuru dunia. Namun semua itu tidak mampu memberi kekuatan kepada rakyat Palestin melainkan semangat Intifada itu sendiri.

Kalau Iraq diserang kerana minyaknya, Palestin, Kefah percaya, diserang kerana kekuatannya sebagai pusat melahirkan ilmuan.

"Dahulu di Palestin, tiada keluarga yang tidak ada pemegang ijazah sarjana. Semuanya berpendidikan. Kami percaya ilmu adalah senjata yang lebih kuat. Malah, sebahagian besar daripada kami mempelajari bahasa dan tulisan Hebrew," jelasnya yang kini melanjutkan pengajian ke peringkat ijazah doktor falsafah bersama-sama suami.

Sayangnya pada hari ini, senario itu berubah - kini sukar sekali hendak ditemukan rakyat Palestin yang tidak pernah masuk penjara.

"Sejak Palestin dijajah, anak-anak yang belum mencecah 16 tahun juga disumbat ke penjara, hanya kerana hakim percaya mereka boleh mendatangkan bahaya. Ada yang dikurung tanpa sebab sehingga dua tahun," luah Kefah dalam cebisan amarah.

Abang Kefah yang kini menetap di AS baru-baru ini pulang ke Jordan menjenguk ibu tercinta. Dalam perjalanan, dia melawat hospital tempat pelarian Palestin dirawat. Menurut abangnya, pelarian-pelarian berkenaan kedengaran terlalu mengharap.

"Mereka tercedera, kehilangan keluarga dan harta benda, tetapi mereka masih mengucapkan syukur ke hadrat Ilahi. Berulang kali mereka melafazkan Alhamdulillah. Mereka percaya Tuhan pasti menolong mereka," cerita Kefah.

Kefah dan suaminya, Naser Younes Hasan Al-Kisnawy, 41, sering berhubung dengan keluarga di Jordan.

"Mereka memerlukan lebih daripada sokongan moral. Kalau ada yang sanggup beri biasiswa kepada anak-anak Palestin atau menolong merawat kecederaan yang dialami mangsa serangan, itu sudah cukup membantu," kata Naser.

Naser yang pernah berkunjung ke Indonesia memuji tindakan sekolah-sekolah di sana yang mengadakan ceramah tentang Palestin kepada pelajar tempatan. Langkah ini disifatkannya tepat kerana pada hakikatnya masih banyak bahagian dunia yang tidak mengetahui keadaan sebenar.


KELUARGA Kefah Kamel Ahmad Abu-Hannoud (kiri) dan suami, Naser Younes Hasan Al-Kisnawy diusir keluar dari negara mereka sendiri sejak 40 tahun lalu.

Sebagai anak jati yang membesar di Palestin, Naser masih ingat rumah agam milik neneknya di Baitulmaqdis. Dirampas askar Yahudi, mereka sekeluarga bukan saja tidak dapat kembali ke rumah itu, malah melihat ke arahnya pun tidak diizinkan. Sedangkan pada rumah itulah segala harta mereka dibelanjakan.

"Penduduk Palestin berilmu. Tanahnya subur dan dapat menghasilkan tanaman yang baik. Penanaman pokok buah zaitun dan penghasilan minyak zaitun juga rancak. Pendek kata ada banyak ladang di sana. Lembu dan kambingnya pula hidup sihat," kenang Naser yang berasal dari Bait Aqsa, Baitulmaqdis.

Namun kini, muka bumi Palestin hanya berlandskapkan serpihan bangunan dan bahan letupan. Udaranya dipenuhi hanyir darah yang terus tumpah. Pemandangannya berhiaskan bangkai mayat yang bergelimpangan.

Biarpun kezaliman itu disedari rumpun bangsa Arab yang lain, tiada pula yang tampil membela sepenuh hati. Kalau pun kecaman negara-negara sedunia tidak memberi sebarang makna kepada Israel dan sekutunya, apa pula pendirian dan tindakan jiran terdekat seperti Jordan, Mesir dan Syria?

"Pernahkah kita terfikir kalau-kalau keputusan pilihan raya yang melantik pemerintah di setiap negara-negara tersebut mempunyai pertalian tersembunyi dengan Amerika Syarikat?" kata Dr. Radwan Jamal Hussein, 46.

Menurut pensyarah Pengajian al-Quran dan Sunnah, Kulliyyah Ilmu Wahyu dan Sains Manusia UIAM itu, Israel, Amerika dan sekutu mereka yang lain amat berwaspada dengan gerakan Intifada di Palestin.


DEMONSTRASI aman di hadapan Kedutaan Amerika Syarikat di Jalan Tun Abdul Razak, Kuala Lumpur ini ditempuh oleh penulis Jumaat lalu dalam perjalanan menemu ramah Kefah, Kamel dan Dr. Radwan di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia di Gombak

Intifada yang berjaya bermakna eksperimen yang sama boleh dibuat di kalangan rakyat negara-negara jiran Palestin demi kebangkitan Islam keseluruhannya.

"Apabila itu berlaku, kedudukan pemerintah di negara-negara acuan Amerika boleh terjejas," terangnya yang turut berpendapat kedaulatan Palestin sengaja diganggu gugat kerana musuh Islam seakan mahu memisahkan hubungan geografi antara Islam Asia Timur dengan Islam di Asia Tengah dan Afrika.

"Intifada mengajar generasi Palestin untuk tidak takut kepada sesiapa kecuali Allah. Katakan pada saya, apakah yang membuatkan anak-anak kecil Palestin berani berdiri di hadapan kereta kebal dan hanya menggenggam beberapa butir batu untuk dilontar? Itulah keberanian yang tidak dimiliki oleh mana-mana generasi dalam dunia," ujarnya yang berasal dari Jenin.

Askar Yahudi ada di mana-mana. Bila-bila saja orang Palestin boleh ditahan untuk disoal siasat, dikurung berjam-jam atau diseksa tanpa sebab. Kalau mereka bersuara atau membantah, tentera Yahudi ada 'lesen' untuk membunuh.

Pemeriksaan di sempadan adalah proses yang mendera emosi dan fizikal. Tentera Yahudi akan memeriksa secara menyeluruh, termasuk memaksa orang menanggalkan semua pakaian. Kalau melihat orang yang bermisai dan berjanggut, pasti serta-merta mereka dilabel pengikut Hamas.

"Sebab itulah sudah 17 tahun tidak pulang ke Palestin. Kalau saya berbuat demikian, saya mungkin tidak lagi boleh keluar dari Palestin, apatah lagi untuk kembali ke Malaysia. Entah-entah saya akan dipenjara.

"Setiap tiga tahun, saya diberikan tiket untuk pulang ke tanah air. Tetapi saya tidak pernah kembali ke Palestin sejak 1999. Keadaan di sana terlalu sulit," luahnya kecewa.

Selain serangan senjata dan bom, strategi Zionis meliputi usaha menafikan hak rakyat Palestin untuk bersekolah, keluar berjalan dan bekerja. Mengebom bangunan dan masjid serta membunuh wanita dan anak-anak sudah dianggap satu permainan biasa.

"Kalau kami melawan kerana mempertahankan hak kami, dengan mudah kami dianggap sebagai pengganas. Tapi siapa sebenarnya pengganas?" soal Radwan tegas.


DR. RADWAN menjadikan ilmu sebagai saluran membebaskan diri. Pensyarah pengajian al-Quran dan Sunnah ini merupakan lulusan Universiti Jordan di peringkat sarjana muda, UIAM (sarjana) dan Universiti Kebangsaan Malaysia (doktor falsafah).


Tidak cukup dengan melumpuhkan bekalan makanan dan bantuan perubatan, hendak bercucuk tanam bagi mengisi perut pun boleh menyemarakkan api dengki dan kejam di mata tentera Yahudi.

"Kalau kami menanam sayur, mereka akan merosakkannya apabila ia mula tumbuh. Bagi tanaman bermusim pula, mereka akan merosakkannya menjelang hari menuai hasil," kata Radwan.

Walaupun ruang ingatan Radwan sesak dengan gambaran menakutkan, dia dan keluarganya masih ingin kembali bersama-sama ke Palestin untuk bertemu sanak saudara. Seingat mereka, Palestin adalah bumi yang paling indah.

"Indah di Palestin itu bukan dinilai pada luarannya, tetapi indah kerana rahmat dan keberkatan yang ia miliki. Allah menjadikannya bumi yang dirahmati. Dalam al-Quran juga disebut sebanyak tujuh kali. Palestin ialah bumi barakah," katanya.

Walaupun kini status dirinya dihormati sebagai pensyarah di salah sebuah universiti terunggul, kelima-lima anaknya mendapat tempat dalam institusi pengajian tinggi di Malaysia serta melayari kehidupan yang selesa, namun semua itu belum dapat menandingi harapan untuk mengecapi nikmat di tempat asalnya.

"Saya merindui setiap sudut di bumi Palestin, pada setiap batang pokok dan jalan-jalannya. Saya rindu untuk bersembahyang di Masjid Al-Aqsa," ujar Radwan yang tidak dapat menyembunyikan lara hatinya.

"Merindui Palestin sama seperti anda merindui ibu sendiri. Anda tidak mahu kehilangannya. Palestin ibarat ibu yang anda cintai."


p/s: Sumber artikel ini daripada kosmo online:

http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2009&dt=0111&pub=Kosmo&sec=Rencana_Utama&pg=ru_01.htm

Marilah sama-sama kita berdoa, semoga Allah melindungi sahabat-sahabat seagama kita di Palestin, semoga Allah melaknat Israel..semoga kemenangan buat umat Islam di Palestin..Aminn..

Semoga yang baik itu datangnya daripada Allah S.W.T dan yang buruk itu datangnya daripada kelemahan diri ini jua..


Nurhuda_cahayapetunjuk
13 Muharram 1430H / 10 Januari 2009

05 Januari, 2009

Hari Asyura (10 Muharram) - Dekatkanlah Diri Dengan ALLAH S.W.T

بسم الله الرحمن الرحيم
Dengan nama Allah Yang Maha Pengasih, Maha Penyayang

Alhamdulillah..Hari Rabu ini, kita akan menyambut 10 Muharram . Hari Asyura diingati pada setiap tahun untuk mengingatkan kita tentang pengorbanan keluarga Rasulullah S.A.W. Ia juga membuatkan kita berhati-hati dengan manusia dahulu dan sekarang yang cuba untuk memusnahkan Islam..

Diriwayatkan daripada Saidatina Aisyah r.a katanya: Rasulullah S.A.W bersabda ; Sesiapa yang ingin berpuasa pada hari itu (Hari Asyura) berpuasalah dan sesiapa yang tidak ingin berpuasa, dibolehkan meninggalkannya.
(Hadith Riwayat Bukhari dan Muslim)

Di bawah ini terdapat artikle yang menarik, saya perolehi artikel di bawh ini daripada : http://www.ashtech.com.my/bulanislam/Muharam.html
Semoga kita dapat manfaatnya..insyaAllah...

10 Muharam - Dinamakan juga hari 'Asyura'. Pada hari itu banyak terjadi peristiwa penting yang mencerminkan kegemilangan bagi perjuangan yang gigih dan tabah bagi menegakkan keadilan dan kebenaran.

Pada 10 Muharam juga telah berlaku:
  1. Nabi Adam bertaubat kepada Allah.
  2. Nabi Idris diangkat oleh Allah ke langit.
  3. Nabi Nuh diselamatkan Allah keluar dari perahunya sesudah bumi ditenggelamkan selama enam bulan.
  4. Nabi Ibrahim diselamatkan Allah dari pembakaran Raja Namrud.
  5. Allah menurunkan kitab Taurat kepada Nabi Musa.
  6. Nabi Yusuf dibebaskan dari penjara.
  7. Penglihatan Nabi Yaakob yang kabur dipulihkkan Allah.
  8. Nabi Ayub dipulihkan Allah dari penyakit kulit yang dideritainya.
  9. Nabi Yunus selamat keluar dari perut ikan paus setelah berada di dalamnya selama 40 hari 40 malam.
  10. Laut Merah terbelah dua untuk menyelamatkan Nabi Musa dan pengikutnya dari tentera Firaun.
  11. Kesalahan Nabi Daud diampuni Allah.
  12. Nabi Sulaiman dikurniakan Allah kerajaan yang besar.
  13. Hari pertama Allah menciptakan alam.
  14. Hari Pertama Allah menurunkan rahmat.
  15. Hari pertama Allah menurunkan hujan.
  16. Allah menjadikan 'Arasy.
  17. Allah menjadikan Luh Mahfuz.
  18. Allah menjadikan alam.
  19. Allah menjadikan Malaikat Jibril.
  20. Nabi Isa diangkat ke langit.

EMPAT BELAS PERKARA SUNAT DILAKUKAN PADA HARI ASYURA (10 MUHARRAM)

  1. Melapangkan masa/belanja anak isteri. Fadilatnya - Allah akan melapangkan hidupnya pada tahun ini.

  2. Memuliakan fakir miskin. Fadilatnya - Allah akan melapangkannya dalam kubur nanti.

  3. Menahan marah. Fadilatnya - Di akhirat nanti Allah akan memasukkannya ke dalam golongan yang redha.

  4. Menunjukkan orang sesat. Fadilatnya - Allah akan memenuhkan cahaya iman dalam hatinya.

  5. Menyapu/mengusap kepala anak yatim. Fadilatnya - Allah akan mengurniakan sepohon pokok di syurga bagi tiap-tiap rambut yang disapunya.

  6. Bersedekah. Fadilatnya - Allah akan menjauhkannya daripada neraka sekadar jauh seekor gagak terbang tak berhenti-henti dari kecil sehingga ia mati. Diberi pahala seperti bersedekah kepada semua fakir miskin di dunia ini.

  7. Memelihara kehormatan diri. Fadilatnya - Allah akan mengurniakan hidupnya sentiasa diterangi cahaya keimanan.

  8. Mandi Sunat. Fadilatnya - Tidak sakit (sakit berat) pada tahun itu. Lafaz niat: "Sahaja aku mandi sunat hari Asyura kerana Allah Taala."

  9. Bercelak. Fadilatnya - Tidak akan sakit mata pada tahun itu.

  10. Membaca Qulhuwallah hingga akhir 1,000X. Fadilatnya - Allah akan memandanginya dengan pandangan rahmah di akhirat nanti.

  11. Sembahyang sunat empat rakaat. Fadilatnya - Allah akan mengampunkan dosanya walau telah berlarutan selama 50 tahun melakukannya. Lafaz niat: "Sahaja aku sembahyang sunat hari Asyura empat rakaat kerana Allah Taala." Pada rakaat pertama dan kedua selepas Fatihah dibaca Qulhuwallah 11X.

  12. Membaca "has biallahhu wa nik mal wa keel, nikmal maula wa nikmannaseer". Fadilatnya - Tidak mati pada tahun ini.

  13. Menjamu orang berbuka puasa. Fadhilat - Diberi pahala seperti memberi sekalian orang Islam berbuka puasa.

  14. Puasa. Niat - "Sahaja aku berpuasa esok hari sunat hari Asyura kerana Allah Taala." Fadilat - Diberi pahala seribu kali Haji, seribu kali umrah dan seribu kali syahid dan diharamkannya daripada neraka.

CINTA KEPADA ALLAH ADALAH CINTA YANG KEKAL ABADI...
PERBAHARUI AZAM, PERBAIKI DIRI, PERKASAKAN IMAN DAN PERBANYAKKAN AMAL SOLEH

Semoga yang baik itu datangnya daripada Allah S.W.T dan yang buruk itu datangnya daripada kelemahan diri ini jua


Nurhuda_cahayapetunjuk
8 Muharram 1430H / 5 Januari 2009

29 Disember, 2008

Kek Gula Hangus Kukus Sempena Maal Hijrah

بسم الله الرحمن الرحيم
Dengan nama Allah Yang Maha Pengasih, Maha Penyayang

Alhamdulillah sempena cuti Maal Hijrah ini, ramai ada di rumah, di kesempatan ini, saya menyediakan Kek Gula Hangus Kukus untuk santapan berbuka puasa sempena awal muharram ini..inilah hasilnya, resepi daripada Majalah Saji..kek ini memang kegemaran saya,



BAHAN-BAHAN :
500gm gula
400ml air
3 sudu besar penuh majerin
3 sudu besar susu pekat
1 sudu besar soda bikarbonat
1 sudu esen vanilla
6 biji telur
250 gm tepung gandum


CARA MENYEDIAKAN:

1. Gula dimasak di dalam periuk sehingga kekuningan. Kemudian masukkan air sehingga menjadi gula hangus. Kemudia ketepikan dan biarkan ia suam.

2. Satukan majerin, susu pekat, telur, soda bikarbonat dan esen vanilla ke dalam bekas. Pukul sehingga sebati.

3. Masukkan semua tepung dan kacau sehingga rata.

4. Tuangkan gula hangus dan kacau sehingga sebati.

5. Kemudian masukkan bahan ke dalam acuan.

6. Kemudian masukkan ke dalam pengukus dengan api yang sederhana. (Sebelum acuan dimasukkan, pengukus dipanaskan dahulu)

Selamat Mencuba...

Semoga yang baik itu datangnya daripada Allah S.W.T dan yang buruk itu datangnya daripada kelemahan diri ini jua..

Nurhuda_cahayapetunjuk
1 Muharram 1430H / 29 Disember 2008

27 Disember, 2008

Doa Awal Dan Akhir Tahun

بسم الله الرحمن الرحيم
Dengan nama Allah Yang Maha Pengasih, Maha Penyayang

Akhirilah tahun 1429H dengan baik dan mulakanlah tahun 1430H dengan azam dan semangat yang baru demi kasih dan cinta kita kepada Allah S.W.T...Alhamdulillah ku bersyukur kepadaMU..

Doa Akhir Tahun dibawah ini, dibaca 3 kali pada akhir waktu Asar atau sebelum masuk waktu Maghrib pada akhir bulan Zulhijjah. Sesiapa yang membaca doa ini, Syaitan berkata:

“Kesusahan bagiku dan sia-sia lah pekerjaanku menggoda anak Adam pada setahun ini dan Allah binasakan
aku satu saat jua. Dengan sebab membaca doa ini, Allah ampunkan dosanya setahun”


Dan Doa Awal Tahun di bawah ini, dibaca 3 kali selepas maghrib pada malam satu Muharram. Sesiapa yang membaca doa ini, Syaitan berkata:

“Telah amanlah anak Adam ini daripada godaan pada tahun ini kerana Allah telah mewakilkan
dua Malaikat memeliharanya daripada fitnah Syaitan”.


InsyaAllah..sama-samalah kita beramal..

Semoga yang baik itu datangnya daripada Allah S.W.T dan yang buruk itu datangnya daripada kelemahan diri ini jua

Nurhuda_cahayapetunjuk

29 Zulhijjah 1429 / 27 Disember 2008

16 Disember, 2008

Binalah Hatimu Yang Bahagia

بسم الله الرحمن الرحيم
Dengan nama Allah Yang Maha Pengasih, Maha Penyayang


Jari-jemari ini seakan ingin menekan-menekan papan kekunci ini, mahu saja dikeluarkan apa saja yang difikirkan di benak fikiran ini satu-persatu.


Menulis di sini sekadar mahu mengingatkan diri ini, insan yang masih tercari-cari diri, insan sentiasa memohon keberkatan dan keredhaan Maha Suci Allah, Yang Menjadikan Alam ini.


Sambil ditemani buku-buku yang setia menuggu meminta dibaca dan dihadam satu demi satu, jari terus menekan-nekan papan kekunci ini...


Membaca memberikan saya berfikir dan menghayati setiap tulisan dan karya yang dibaca.

Moga ilmu yang diperolehi memberi manfaat, mudah-mudahan...InsyaAllah..


Sambil mencari-cari buku di rak buku kepunyaan abah, saya terjumpa sebuah buku bertajuk ”Akhlak” karya Abdul Rahman Rukaini, Mantan Ketua Bahagian Agama dan Tamadun Islam Dewan Bahasa Dan Pustaka Perunding dan Penulis Kitab-kitab Sekolah Agama Kerajaan Johor. Tulisan beliau sangat mudah difahami ayat-ayatnya. Salah satu tulisan beliau adalah berkaitan Amal Soleh.


Menurut Abdul Rahman Rukaini (2001), pengertian Amal Soleh, ialah merupakan apa saja amal orang Islam yang meliputi gerak hati (termasuk akal) pengucapan lisan dan perlakuan anggota tubuh badan (termasuk pancaindera) mengikut syariat Islam. Amal dilakukan dengan:

  • Niat yang ikhlas kerana Allah S.W.T
  • Mengikut rukun, syariat dan cara yang betul
  • Tidak dicampuri oleh perkara maksiat dan perkara-perkara yang membatalkan atau merosakkannya.

Amal itu mencakupi amal yang menghubungkan antara manusia dengan Allah S.W.T, dengan diri sendiri, dengan orang lain atau dengan alam dan kehidupan seluruhnya. Ringkasnya, ruang lingkup amal soleh amat luas yang membolehkan setiap orang mengambil peluang untuk melakukan bagi mencapai keselamatan, keamanan dan kebahagian di dunia dan di akhirat. (Abdul Rahman Rukaini, 2001)


Tulisan ini, mengingatkan saya, di mana setiap manusia diberi peluang oleh Allah untuk melakukan yang terbaik. Maka terpulang pada insan tersebut untuk merebut peluang yang diberikan oleh Allah Azzawajjalla.


Cukup indah dan cantik setiap anugerah Allah kepada kita. Alam yang dihuni ini penuh dengan sumber-sumber yang diberikan Allah supaya kita melihat dan merenung kebesaran Allah. SUBHANALLAH....


Allah berfirman dalam Surah Al-A’raf, ayat 56 yang bermaksud :


" Dan janganlah kamu berbuat kerosakan di bumi setelah (diciptakan) dengan baik. Berdoalah kepada-NYA dengan rasa takut dan penuh harap. Sesungguhnya rahmat Allah sangat dekat kepada orang yang berbuat kebaikan "

(56: سورة الأعراف)


Setiap amal yang dilakukan hendaklah berlandaskan ilmu, maka insyaAllah amal dapat dilakukan dengan terbaik. Motivasikan diri dengan mendekati Allah dalam setiap waktu dan ketika, moga kita sentiasa disisi Allah Yang Maha Berkuasa dan Maha Penyayang.


Bibit-bibit maaruf sentiasa bersemi di hati, dengan bertasbih, "Subhanallah”, bertakbir "Allahu akbar” dan bertahmid "Alhamdulillah”.


Rasulullah S.A.W bersabda :

" Sebaik-baik manusia adalah orang yang panjang umurnya dan baik amalannya, dan seburuk-buruk manusia adalah orang yang panjang umur dan buruk amalannya "
(Riwayat Ahmad)

Mungkin ada ketika kita alpa..alpa dengan kemewahan dunia, alpa dengan keseronokkan dunia. Berdoalah semoga hati kita sentiasa mengingati Allah, mengingati Allah, mengingati Allah....


Doa yang Allah ajarkan dalam firmanNYA dalam Surah Ali Imran,ayat 8 :

" Ya Tuhan kami, janganlah Engkau condongkan hati kami kepada kesesatan setelah Engkau berikan petunjuk kepada kami, dan anugerahkanlah kepada kami rahmat dari sisi-MU, sesungguhnya Engkau Maha Pemberi Anugerah "

( سورة ال عمران :8)


Rasulullah S.A.W bersabda:

" Ingatlah, dalam tubuh manusia itu ada segumpal daging. Kalau segumpal daging itu baik, maka akan baiklah seluruh tubuhnya. Tetapi, bila rosak, nescaya akan rosak pula seluruh tubuhnya. Segumpal daging itu bernama qalbu "

(Riwayat Bukhari & Muslim)


Sesungguhnya Allah Maha Penyayang dan Maha Pengasih...

Binalah hati ini dengan akhlak mulia, akhlak yang terpuji di sisi Allah....

Moga Allah menganugerahkan kepada kita, "nur” (cahaya-cahaya) iman, keyakinan dan zikir sehingga hidup kita diterangi cahaya Ilahi, cahaya petunjuk dan cahaya hidayah yang membawa kebahagian dan keberkatan hidup di dunia dan akhirat. Aminn..


Surah Al-An’am, ayat 162 dan ayat 163 yang bermaksud :

”Katakanlah (Muhammad)’ ”Sesungguhnya solatku, ibadahku, hidupku, dan matiku hanyalah untuk Allah, Tuhan seluruh alam,”

( سورة الانعام : 162 )


" tidak ada sekutu bagiNYA; dan demikianlah yang diperintahkan kepadaku dan aku adalah orang yang pertama-tama berserah diri (muslim).”

( سورة الانعام : 163 )


Coretan ini adalah ingatan untuk diri ini jua..sekadar ingin berkongsi kembara di hati ini...

Semoga yang baik itu datangnya daripada Allah Azzawajjalla dan yang buruk itu datangnya daripada kelemahan diri ini jua..

BINALAH HATIMU YANG BAHAGIA....



Nurhuda_cahayapetunjuk
18 Zulhijjah 1429 / 16 Disember 2008

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails

YA ALLAH...

YA ALLAH...

INDAHNYA....


I made this widget at MyFlashFetish.com.