10 Disember, 2009

Sang Semut...

بسم الله الرحمن الرحيم
Dengan nama Allah Yang Maha Pemurah lagi Maha Penyayang

Salam ingatan buat sahabat-sahabat. Saya cuba memotivasikan diri menulis walau seketika. Memohon agar Allah memberikan saya idea, moga-moga dapat menghasilkan sesuatu yang terbaik untuk dijadikan pedoman bersama.
Adakalanya idea datang dengan tiba-tiba, meminta untuk diterjemahkan dalam penulisan tapi niat itu terhenti, kenapa ya?? Memang benar, menulis memerlukan kesungguhan untuk menghasilkan yang terbaik.

Wah..Subhanaallah...besar sungguh semut di atas itu, semut juga makhluk Allah, yang sangat kecil dan terkenal dengan sifatnya yang rajin dan bekerjasama. Apabila terpandang semut yang banyak, dan menghurung makanan di atas meja, rasa geram di hati. Mahu saja dibunuh satu persatu, namun hati terus berkata jangan kerana semut juga makhluk Allah. Kesian semut.

Ingatkah kita pada kisah Nabi Sulaiman AS dan semut..saya cuba untuk membawa sahabat-sahabat menghayati kisah-kisah tersebut:

KISAH PERTAMA:

Pada suatu ketika, kerajaan Nabi Sulaiman AS sedang mengalami musim kering yang begitu panjang. Lama sudah hujan tidak turun membasahi bumi. Kekeringan melanda di mana-mana. Baginda Sulaiman AS mulai didatangi oleh umatnya untuk meminta pertolongan dan memintanya memohon kepada Allah S.W.T agar menurunkan hujan untuk membasahi kebun-kebun dan sungai-sungai mereka. Baginda Sulaiman AS kemudian memerintahkan satu rombongan besar pengikutnya yang terdiri daripada bangsa jin dan manusia berkumpul di lapangan untuk berdoa memohon kepada Allah SWT agar musim kering segera berakhir dan hujan segera turun.

Sampainya mereka di lapangan Baginda Sulaiman AS melihat seekor semut kecil berada di atas sebuah batu. Semut itu berbaring kepanasan dan kehausan. Baginda Sulaiman AS kemudian mendengar sang semut mulai berdoa memohon kepada Allah S.W.T

"Ya Allah pemilik segala khazanah, aku berhajat sepenuhnya kepada-Mu, Aku berhajat akan air-Mu, tanpa air-Mu ya Allah aku akan kehausan dan kami semua kekeringan. Ya Allah aku berhajat sepenuhnya pada-Mu akan air-Mu, kabulkanlah permohonanku", doa sang semut kepada Allah SWT.

Mendengar doa si semut, maka Baginda Sulaiman AS kemudian segera memerintahkan rombongannya untuk kembali pulang ke kerajaan sambil berkata kepada mereka,

"Kita segera pulang, sebentar lagi Allah SWT akan menurunkan hujan-Nya kepada kalian. Allah SWT telah mengabulkan permohonan seekor semut".

Kemudian Baginda Sulaiman dan rombongannya pulang kembali ke kerajaan.

KISAH KEDUA:

Suatu hari Baginda Sulaiman AS sedang berjalan-jalan. Ia melihat seekor semut sedang berjalan sambil mengangkat sebutir buah kurma. Baginda Sulaiman AS terus mengamatinya, kemudian beliau memanggil si semut dan bertanya kepadanya,

"Hai semut kecil untuk apa kurma yang kau bawa itu?.

Si semut menjawab,

"Ini adalah kurma yang Allah SWT berikan kepadaku sebagai makananku selama satu tahun"

Baginda Sulaiman AS kemudian mengambil sebuah botol lalu ia berkata kepada si semut,

"Wahai semut kemarilah engkau, masuklah ke dalam botol ini, aku telah memberikan dua kurma ini dan akan aku berikan separuhnya padamu sebagai makananmu selama satu tahun. Tahun depan aku akan datang lagi untuk melihat keadaanmu"

Si semut taat pada perintah Nabi Sulaiman AS. Setahun telah berlalu. Baginda Sulaiman AS datang melihat keadaan si semut. Ia melihat kurma yang diberikan kepada si semut itu tidak banyak berkurang.

Baginda Sulaiman AS bertanya kepada si semut, "Hai semut mengapa engkau tidak menghabiskan kurmamu."

" Wahai Nabiullah, aku selama ini hanya menghisap airnya dan aku banyak berpuasa. Selama ini Allah SWT yang memberikan kepadaku sebutir kurma setiap tahunnya, akan tetapi kali ini engkau memberiku separuh buah kurma. Aku takut tahun depan engkau tidak memberiku kurma lagi kerana engkau bukan Allah Pemberi Rezeki (Ar-Rozak)", jawab si semut.

Begitulah sebahagian kisah Nabi Sulaiman AS dengan semut.

Surah 27 di dalam Al-Quran iaitu surah An-Naml yang mengandungi 93 ayat ada menyebut berkaitan kisah Nabi Sulaiman AS dengan semut. Surah ini dinamakan dengan An-Naml yang bererti semut. Pada ayat 18 dan 19 ada menyebut kisah tersebut di mana seekor semut meminta semu-semut yang lain agar masuk ke sarangnya supaya tidak dipijak oleh Nabi Sulaiman AS dan tenteranya. Maka apabila mendengar perintah semut itu, maka Nabi Sulaiman AS tersenyum dan Baginda bersyukur kepada Allah Yang Maha Berkuasa kerana melimpahkan nikmat yang besar malah sebagai hamba Allah, baginda memohon agar dimasukkan dalam golongan orang-orang yang soleh.

Berikut petikan doa Nabi Sulaiman AS sebagaimana dalam Ayat 19 Surah An-Naml yang bermaksud:

"Maka dia(Sulaiman) tersenyum lalu tertawa kerana mendengar perkataan semut itu. Dan Dia berdoa:"Ya Tuhanku, anugerahkanlah aku ilham untuk tetap mensyukuri nikmatMU yang telah Engkau anugerahkan kepadaku dan kepada kedua orang tuaku dan agar aku mengerjakan kebajikan yang Engkau redhai, dan masukkanlah aku dengan rahmatMU ke dalam golongan hamba-hambaMU yang soleh."


Semut juga terkenal dengan sifatnya yang rajin dan tolong-menolong antara satu sama lain. Ini boleh kita jadikan panduan untuk menghayati sifat kerajinan sang semut, berusaha dan terus berusaha tanpa berputus asa

Daripada Aisyah, Rasulullah S.A.W bersabda yang bermaksud :

"Bahawa Allah mencintai seseorang yang apabila ia mengerjakan sesuatu kerja, ia laksanakan dengan cemerlang"

Allah S.W.T juga menetapkan dalam sunnah kehidupan bahawa kejayaan itu adalah hasil kerja yang bersungguh-sungguh dan tekun. Orang yang cemerlang ialah orang yang sentiasa melakukan sesuatu kerja dengan bersungguh-sungguh dan sentiasa memohon petunjuk daripada Allah S.W.T. Maka insyaAllah orang itu bukan sahaja akan cemerlang di dunia tetapi juga cemerlang di akhirat.

Firman Allah S.W.T dalam surah Al-Najm, ayat 39 yang bermaksud:

" Dan bahawa sesungguhnya tidak ada (balasan) bagi seseorang melainkan (balasan) apa yang diusahakannya"


Semoga yang baik itu datangnya daripada Allah S.W.T dan yang buruk itu datangnya daripada kelemahan diri ini jua..

Damba CintaNYA..
Nurhuda_cahayapetunjuk
23 Zulhijjah 1430H /10 Disember 2009


2 ulasan:

aShaBuLz berkata...

sangat menarik entry ini...tq

Anizam Ibrahim berkata...

Assalamualaikum, Saya mohon Nurhuda halalkan untuk saya amalkan doa nabi sulaiman ini...

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails

YA ALLAH...

YA ALLAH...

INDAHNYA....


I made this widget at MyFlashFetish.com.