17 Oktober, 2010

Untukmu Sahabat Muslimahku..

بسم الله الرحمن الرحيم
Dengan nama Allah Yang Maha Pemurah lagi Maha Penyayang

Alhamdulillah ...Bertemu lagi...semoga sahabat-sahabat saya di Teratak Indah ini, sentiasa di bawah lembayung kasih sayang Allah..insyaAllah...

Saya kongsikan coretan di bawah ini. Semoga kita sama-sama ingat-mengingati antara satu sama lain dan semoga kita memperolehi rahmat dan kasih sayang Allah..aminn..

Sahabatku..Kecantikan yang engkau perolehi milik Tuhanmu,
Perjalanan lalumu tidak akan diputar,
Sampainya waktu ketika,
Tanpa tersegera mahupun tertangguh biarpun seketika,
Ianya pasti bertandang jua,
Kerana yang berjiwa itu pasti akan merasai mati….

Coretan daripada Muslimah_nurani daripada Portal Komuniti Muslimah-Hanan.com.my

Tajuk: Buat Sahabat-sahabat Muslimahku

Karya: muslimah_nurani

Buat renungan bersama..Sahabat-sahabat yang bergelar Muslimah..
Bismillahirrahmaanirrahiim..

Assalamu’alaikum w.b.t. dan salam ikhlas penuh ukhuwwah.

Pandanglah kata-kataku ini dengan pandangan kasihnya seorang saudara terhadap saudara yang lain. Ambillah mutiara kata yang baik buat teladan dan tinggalkan kata-kataku yang menyimpang daripada landasan kebenaran.

Sahabatku...

Bermula hari ini binalah sebuah kehidupan baru. Jadilah manusia berhati mulia dan tegakkanlah sinar keIslaman dalam dirimu, semoga nur ILAHI akan membening seluruh perjalannan hidupmu.

Duhai sahabat muslimahku...

Keremajaanmu menyegarkan pandangan, dan melimpahkan nyaman pada malam. Dengan keremajaanmu, kau bisa sahaja menakluk dunia dalam lalai dan leka tanpa kesedaran. Ingatlah, kau bukan dilahirkan sebagai penggoda yang melekakan dunia. Kesegaran dan kejelitaanmu adalah fana belaka. Kelembutan yang menghiasi gerak langkah dan lentuk tubuhmu bakal menyaksikan kau cepat terdedah kepada bahaya dan bahana maksiat.

Peliharalah keindahan yang kau miliki kerana ALLAH mengujimu dengan menerbitkan kau pada bentuk yang teramat indah, halus dan sempurna. Berhati-hatilah kerana sesungguhnya kaum Adam akan menilaimu dengan pandangan yang luar biasa.


Cahaya keriangan di wajahmu adalah kilauan senjata yang menawan. Madu yang menitiskan sarinya meresapkan manisnya dari bibir langsung ke hati adalah suara lembut sang gadis. Elokkanlah nada suaramu dan perlahankan gema bahasamu. Berhati-hatilah menggunakan lidahmu, jangan sampai bibirmu menutur bait-bait tajam yang akan menyakiti hati orang lain.

Fikirlah dengan akalmu sebelum bersuara dan pandanglah teman bicara. Tertib dan sopanmu bagai hembusan angin yang menyamankan, yang bakal ditanggapi menyamai keindahan yang kau miliki setanding dengan ketulusan peribadimu.
Sahabat muslimahku..

Jagalah matamu kerana pandangan mata akan mengalir ke hati dan terbiaslah sesuatu dari panahan syaitan durjana. Jangan sesekali kau memandang mata lelaki dengan sejenak renungan. Jangan biarkan mereka mentafsirkan makna yang bukan kau mahukan. Pandanglah tanpa memberi sebarang makna. Jadikanlah ghadul basar sebagai hiasan matamu. Rebahkan pandanganmu, renunglah setiap inci bumi, nescaya kau berjaya menghindari dosa yang cuba merapatimu.


Ukhti yang dikasihi..

Sesekali, mendongaklah ke langit dan lihatlah kerdipan bintang-bintang, nescaya kau kan temui berjuta keagungan ciptaan Rabbul A`lamin. Betapa hidup ini berjalan di atas makna hikmah dan terselindung daunan pengertian. Hari-hari yang dilalui sebenarnya menyembunyikan banyak hakikat dan makrifat. Sedarlah, hidupmu ini hanyalah secebis dari erti kehidupan.

Selamilah dasar hatimu dan berbisiklah pada diri. Alangkah kosongnya jiwa, alangkah hinanya roh tanpa hiasan apa-apa. Salutilah tubuhmu dengan iman. Kerana ia sangat manis pada pandangan jua perhiasan. Bersihkanlah hatimu, kemanisan iman sukar dikecapi tanpa janji Tuhan.

Jadilah seorang muslimah yang gemar merenung kejadian yang berlaku dan memerhati hikmah dengan mata hati. Muslimah sejati adalah mereka yang selalu berhikmah dalam berkata-kata dan meletakkan perasaan rendah diri sebagai asas mencari ketaqwaan. Zuhud dalam pencarian dunia dengan meletakkan tasawuf ke akhirat sebagai pedoman serta melupakan sifat cintakan dunia yang berlebihan.


Serikandi muslimah sejati..

Alangkah baiknya di saat-saat kau dilanda tribulasi, kau tega mengutip akar-akar kemelaratan dan teguh mengukir senyum buat pengubat kerungsingan. Tatkala kau dalam dilema permasalahan yang meruncing serta kau berasa putus harap dengan dunia, maka sebutlah dan zikirlah berkali-kali ke hadrat ILAHI moga-moga kau bakal bertemu kedamaian.

Sucikan wajahmu dengan air wuduk dan basahkan matamu dengan airmata keinsafan. Tundukkanlah sepenuh hatimu jua dahimu ke tikar sejadah beserta lafaz dan doa kau hembuskan seikhlas jiwa, semurni sanubari memohon keampunan. Renunglah, resapkan kekaguman dan kuatkan keyakinan bahawa hayatmu setiap detik di bawah naungan ALLAH S.W.T.

Kecintaan Tuhan melimpah dan melaut di segenap penjuru alam, walaupun pada yang lupa erti kehidupan. Dan, roh ketenangan akan mendakap dirimu hingga kau terasa tiada tabir yang menabiri setiap kali pertemuan kau dan DIA. Ketaqwaan hendaklah dipupuk agar matlamat dan cita-cita yang kau bawa akan tercapai suatu masa kelak dengan izinNYA,
Insya-ALLAH..


Akhirul kalam, ingatlah, walau setinggi manapun kedudukanmu di mata masyarakat, jangan sesekali menyombong diri. Sesungguhnya wanita itu lemah. Dan dijadikan lah-rijal sebagai pelindung buatmu. Carilah lelaki yang baik budinya dan teguh imannya. Inilah yang bakal mengukuhkan akar kebahagiaan rohani dan tunjang kecintaan kepada ILAHI, Insya-ALLAH..

Dari Ibn Abbas lah.a dari Rasulullah SAW yang meriwayatkan hadis ini daripada Tuhannya Tabaraka Wa Ta'ala, katanya : " Sesungguhnya ALLAH telah menetapkan yang baik dan yang jahat, dan telah menerangkan keduanya itu. Maka barangsiapa yang bercita kepada kebaikan, kemudian ia tidak mengerjakannya, ALLAH akan mencatit disisinya satu hasanah yang sempurna. Dan jika ia melaksanakan, nescaya ALLAH akan mencatitkan di sisinya sepuluh hasanah hingga tujuh ratus kali lipat ganda dan hingga sampai beberapa kali ganda banyaknya. Dan jika ia bercita-cita mengerjakan sesuatu kejahatan kemudian tidak dilakukannya, ALLAH akan mencatitkan di sisinya satu hasanah yang sempurna. Jika ia meneruskan cita-citanya yang jahat itu dan melakukannya, ALLAH akan mencatitkan baginya satu kejahatan sahaja.


Semoga yang baik itu datangnya daripada Allah S.W.T dan yang buruk itu datangnya daripada kelemahan diri ini jua..


Damba CintaNYA..
Nurhuda_cahayapetunjuk
9 Zulkaedah 1431H /17 Oktober 2010

02 Oktober, 2010

Artikel Yang Baru Dibaca: Mensyukuri Nikmat Sihat

بسم الله الرحمن الرحيم
Dengan nama Allah Yang Maha Pemurah lagi Maha Penyayang


Alhamdulillah..masih mampu bertemu sahabat-sahabat di sini. Sebagai santapan rohani, saya kongsikan di sini artikel yang baru saya baca. Yang baik kita kongsikan bersama untuk sama-sama mendapat manfaat dan ilmu yang berguna kerana saya, anda dan kita semua memerlukan ilmu dan peringatan untuk diri dalam mencari yang terbaik di sisi Allah sama ada di dunia dan di akhirat..insyaAllah...(^_^)

Tajuk: Mensyukuri Nikmat Sihat
Oleh: Ahmad Sabki Mohd Tahir
Sumber: Harian Metro di sini

SESUNGGUHNYA tidak terhitung kita betapa banyaknya nikmat Allah yang dikecapi semasa hidup di dunia. Kita tidak pernah putus menerima nikmat Allah, kecuali bila kita mati barulah nikmati itu terhenti. Sebagai contoh, nikmat mata dapat melihat, nikmat kaki dapat berjalan, nikmat tangan dapat bergerak, nikmat mulut dapat makan. Semua nikmat itu Allah berikan kepada kita secara percuma. Oleh demikian, kita patut mengucap syukur selalu kepada-Nya.

Satu lagi nikmat Allah yang kurang kita beri perhatian ialah nikmat sihat. Justeru, semasa sihat ramai di kalangan kita tidak ambil kisah untuk menjaga kesihatan. Bila sudah dapat penyakit baru sedar betapa mahalnya nilai kesihatan itu dalam kehidupan. Ada orang sanggup membelanjakan sejumlah wang yang banyak semata-mata untuk berubat bagi mendapatkan kembali nikmat sihat yang pernah dikecapi.

Bagi orang yang sudah terlantar sakit, sebut berapa saja jumlah wang yang perlu dibayar untuk ubat, dia sanggup sediakan demi untuk dirinya kembali sihat. Biasanya di waktu sakit baru timbul keinsafan betapa tubuh yang sihat itu lebih mahal nilainya daripada segala-galanya yang ada di dunia baik wang mahu pun harta benda. Isteri cantik atau suami kacak sudah tidak memberi apa-apa makna kalau diri terlantar sakit. Tidak siapa boleh nafikan betapa tubuh yang sihat membolehkan seseorang itu melakukan apa saja kerja dengan baik dan sempurna, termasuklah mengerjakan amal ibadat kepada Allah. Tetapi ada di kalangan kita tidak menjaga kesihatan sebaik-baiknya ketika sihat sehingga Nabi Muhammad s.a.w pernah mengingatkan umatnya tentang hal ini.

Sabda Rasulullah bermaksud:

“Ada dua nikmat yang kebanyakan manusia tertipu kerananya iaitu kesihatan dan masa lapang.” (Hadis riwayat Al-Bukhari)

Sudah jadi lumrah dunia, kebiasaannya orang sihat jarang memikirkan tentang sakit. Justeru, orang sihat bila makan selalu gelojoh dan tidak ikut peraturan. Selagi boleh makan dia makan sungguh-sungguh. Selagi tidak kenyang dia tidak berhenti makan, tak kira apa yang dia makan itu boleh mendatangkan mudarat kepada tubuhnya atau tidak. Selagi ada selera dia makan sepuas-puasnya.


Tetapi lain halnya bagi orang yang tidak sihat seperti mempunyai penyakit darah tinggi, kencing manis atau jantung. Orang yang berpenyakit selalu merindui sihat. Boleh dikatakan dua puluh empat jam dia berharap dan berdoa supaya kembali sihat seperti orang lain. Oleh kerana inginkan sihat, dia mula makan ikut peraturan seperti yang dinasihatkan doktor. Makannya tidak lagi ikut kata hati dan cukup berhati-hati. Makannya juga terhad. Semua itu dilakukan kerana ingin cepat sembuh daripada penyakit dan kembali sihat seperti dulu.

Seharusnyalah ketika tubuh sihat inilah kita perlu muhasabah diri dan mengucap syukur atas nikmat sihat yang Allah berikan kepada kita. Allah mengurniakan tubuh sihat bukan semata-mata untuk kita bekerja mencari rezeki untuk diri kita dan keluarga, tetapi pada waktu sama Allah mahukan kita mengerjakan amal ibadat seperti yang diperintahkan-Nya terutama solat fardu lima waktu.

Tidak ada alasan untuk kita meninggalkan solat ketika tubuh sihat. Sesibuk mana pun kita bekerja kerana mencari nafkah untuk keluarga, bila masuk waktu kita perlu solat. Solat tidak boleh kita tinggalkan kerana kita mampu mengerjakannya.


Semasa sihat inilah juga kita selalu diingatkan supaya banyak berzikir dan mengingati Allah. Bila kita ingat kepada Allah nescaya Allah juga akan ingat kepada kita. Ada sebuah riwayat yang menyebutkan mengenai seorang hamba Allah yang soleh telah mencapai usia 70 tahun tetapi masih sihat. Ketika ditanya seorang hamba Allah dia menjawab,

“Anggota badanku ini sejak kecil aku jaga untuk selalu taat kepada Allah s.w.t. Oleh kerana itu Allah menjaganya untukku di saat aku sudah tua.”

Nikmat sihat adalah paling agung yang sentiasa diharapkan setiap manusia di bumi ini agar dapat hidup bahagia dan sejahtera. Manusia boleh melakukan apa saja kerja jika sihat dan sekali gus menunaikan kewajipan kepada Allah yang berkaitan dengan dunia mahupun akhirat.


Rasulullah bersabda yang bermaksud:

“Orang mukmin yang kuat lebih baik dan lebih dicintai oleh Allah daripada mukmin yang lemah dan keduanya (baik yang kuat atau yang lemah) memiliki kebaikan.” (Hadis riwayat Muslim daripada Abu Hurairah).


Dalam sebuah hadis lain daripada Abu Hurairah, Rasulullah bersabda yang bermaksud:

“Sesungguhnya yang ditanyakan pertama kali kepada hamba di hari kiamat - maksudnya tentang nikmat - adalah dikatakan, ‘Bukankah Aku telah menyihatkan tubuhmu dan menyegarkanmu dengan air yang dingin.” (Hadis riwayat Tirmizi)

Mereka yang menghargai kesihatan sentiasa ingat dan mengucap syukur kepada Allah. Nikmat sihat yang Allah kurniakan kepadanya itu tambah menguatkan lagi perasaan cinta dan takwa terhadap Allah. Nabi Muhammad mengerjakan solat tahajud di waktu malam bagi melahirkan rasa syukur kepada Allah.

Apabila ditanya Aisyah r.a. kepada baginda kenapa melakukan perbuatan itu padahal Allah telah mengampuni dosa baginda yang telah lalu dan akan datang, maka jawab baginda:

“Tidak bolehkah aku menjadi hamba yang bersyukur?”

Sesungguhnya tubuh yang sihat tidak memberi makna apa-apa sekiranya kita lupa kebesaran Allah dan pada waktu yang sama tidak digunakan untuk mentaati Allah dengan mengerjakan apa yang diperintahkan-Nya dan meninggalkan apa yang ditegah-Nya. Badan sihat jadi sia-sia jika tidak dimanfaatkan untuk kebaikan dan kebahagiaan di akhirat kelak, di samping dapatkan juga kebaikan dan kebahagiaan di dunia.


Amat rugi hidup seseorang Muslim kalau badannya sihat, kuat dan bertenaga dihabiskan dengan kerja maksiat dan melakukan amalan yang dilarang-Nya. Tambah malang lagi jika umur panjang tanpa amalan soleh sebagai bekalan di hari kemudian.

Rasulullah bersabda yang bermaksud:

“Kekayaan tidak akan menimbulkan bahaya bagi orang yang bertakwa. Kesihatan bagi orang yang bertakwa lebih baik daripada kekayaan. Dan keadaan jiwa yang baik adalah bahagian daripada nikmat.” (Hadis riwayat Ibnu Majah).

Sebagai khalifah Allah di dunia ini, orang yang sihat tubuh badannya juga akan diuji Allah dengan pelbagai dugaan dan musibah. Semua itu untuk menguji tahap kesabaran kita sejauh mana tebalnya iman kita kepada Allah. Hanya mereka yang sabar berjaya melepasi ujian ini.

Allah berfirman dalam surah Ali Imran ayat 146 yang bermaksud:

“Allah menyukai orang-orang yang sabar.”

Dalam surah lain pula Allah berfirman yang bermaksud:

“Dan berikanlah berita gembira kepada orang-orang yang sabar, (iaitu) orang-orang yang apabila ditimpa musibah, mereka mengucapkan ‘Inna lillahi wa inna ilaihi rajiun.’ Mereka itulah yang mendapatkan keberkatan yang sempurna dan rahmat daripada Rabb mereka, dan mereka itulah orang-orang yang memperoleh petunjuk.” (Al-Baqarah ayat 155-157).

Masa sihat adalah sebaik-baik masa memperbanyakkan amal ibadat seperti solat, puasa sunat dan jika berkemampuan di segi kewangan segeralah pergi mengerjakan umrah dan haji. Kita tidak mahu apabila sakit dan tidak berupaya untuk bergerak, saat itu baru ada kesedaran untuk membuat amal ibadat sebanyak mungkin, tetapi sudah terlewat.

Orang sakit tidak mampu melakukan kerja-kerja seperti orang sihat. Justeru, pesan Nabi Muhammad dalam sebuah hadis seperti yang diriwayatkan oleh Hakim amat baik dijadikan ingatan bagi setiap Muslim, iaitu ambillah peluang lima perkara sebelum dihilangkan (didatangi) lima perkara.

Lima perkara yang dimaksudkan itu ialah peluang masa mudamu sebelum datang tuamu, peluang masa kayamu sebelum datang fakirmu, peluang masa lapangmu sebelum datang kesibukanmu, peluang masa sihatmu sebelum datang sakitmu dan peluang masa hidupmu sebelum datang matimu.


Semoga yang baik itu datangnya
daripada Allah S.W.T dan yang buruk itu datangnya daripada kelemahan diri ini jua..


Damba CintaNYA..
Nurhuda_cahayapetunjuk
23 Syawal 1431H /2 Oktober 2010

23 September, 2010

Berjuanglah Hingga Ke Syurga

بسم الله الرحمن الرحيم
Dengan nama Allah Yang Maha Pemurah lagi Maha Penyayang

Iman itu nikmat Allah..berdoa semoga diri ini dapat meneruskan perjuangan hingga ke syurga..Aminn..
"Perjuangan hingga ke syurga" kerana cintaku milik Allah...ALLAH MAHA PENYAYANG dan MAHA PENGASIH..(^_^) "

Kutitipkan suatu kisah buatmu sahabat-sahabatku..

Ini ialah kisah puteri Rasulullah(Fatimah Azzahra'), ketika mana beliau berkahwin dengan Ali bin Abi Thalib. Beliau menguruskan rumah tangganya dengan memasak, mengisar gandum sehingga menjadi tepung dan seterusnya membuat roti ,sehinggakan tinggal kesan-kesan luka pada tanganya akibat terlalu berat kerja yang dilakukan'maka pada suatu hari beliau datang berjumpa bapanya (Rasulullah S.A.W) dan mengadu apa yang dialami dan meminta diberikan seorang khadam untuk membantunya dirumah dan

Nabi berkata: "Fatimah adalah sebahagian dariku apa yang dialaminya seperti aku yang mengalaminya"

Maka Rasulullah berkata padanya:
"mahukah kamu jika aku tunjukkan perkara yang lebih baik dari itu ……..ketika kamu mahu tidur bertasbihlah sebanyak 33 kali,bertahmid 33 kali,dan bertakbirlah 33 kali, sesungguhnya zikrullah tersebut lebih baik bagimu dari seorang khadam "

Apa yang dimaksudkan Rasulullah ialah zikrullah memberimu kekuatan jiwa dan membantumu menanggung segala penderitaan hidup dan Allah akan senantiasa bersamamu.


Mari kita sentiasa mengingati Allah...(^_^)

Semoga yang baik itu datangnya daripada Allah S.W.T dan yang buruk itu datangnya daripada kelemahan diri ini jua..

Damba CintaNYA..
Nurhuda_cahayapetunjuk
14 Syawal 1431H /23 September 2010

20 September, 2010

Nukilan Buat Diri..

بسم الله الرحمن الرحيم
Dengan nama Allah Yang Maha Pemurah lagi Maha Penyayang

Hati akan tenang dengan mengingatiMU, Ya Allah..

Rasulullah SAW bersabda: “Sesiapa yang suka bertemu Allah, maka Allah suka bertemu dengannya.”

Dan jika kamu menghitung nikmat Allah (yang dilimpahkanNya kepada kamu), tiadalah kamu akan dapat menghitungnya satu persatu. Sesungguhnya Allah Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani. (al-Nahl: 18)

Terasa kegembiraan dan keseronokkan menyintai Allah dengan membaca dan menyintai kitabNYA, Al-Quran. Dan malam akan terasa indah jika sentiasa munajat
kepadaMU, Ya Allah...
Biar cintaku pada Allah bertemu dalam setiap tahajjudku...


Sayang Allah selagi nafasku terhembus dari jasad....
Cinta Allah..cinta sejati
Rebutlah cinta Allah untuk memandu arah ke jalan yang diredhai..


SAYA SAYANG ALLAH...(^_^)

Semoga yang baik itu datangnya daripada Allah S.W.T dan yang buruk itu datangnya daripada kelemahan diri ini jua..


Damba CintaNYA..
Nurhuda_cahayapetunjuk
11 Syawal 1431H /20 September 2010

16 September, 2010

Kisah-kisah Yang Lalu & Salam Idulfitri

بسم الله الرحمن الرحيم
Dengan nama Allah Yang Maha Pemurah lagi Maha Penyayang

Salam Idul fitri buat sahabat-sahabat Teratak Indah. Menyepi sekian lama. Bersyukur kepada Allah kerana masih memberi kesempatan menghirup udara dan nadi masih berdenyut dan anggota badan masih mampu digerakkan..Alhamdullillah..walau terlalu lama meninggalkan Teratak Indah kosong tanpa khabar berita tapi sahabat-sahabat di sini tetap di hati (tersenyum kerana ukhwah itu indah).

Kisah kerjaya ;

Sebulan sebelum kita menyambut ramadhan, saya telah memulakan kerjaya sebagai seorang guru. Alhamdulillah bersyukur kerana impian yang ingin digapai telah terlaksana cuma masih ada beberapa lagi impian yang belum tercapai (apa dia? hehehe..hanya saya jer yang tahu :) Pertama kali masuk ke sekolah, anak murid bertanya...

"Ada ustazah baru ker?, siapa nama ustazah baru tu? (Aduhai..saya ni ustazah akaun hehhehe tersenyum lagi melihat gelagat anak-anak murid).

Teringat pengalaman semasa saya praktikal di sebuah sekolah di Melaka. Pelajar-pelajar yang tidak belajar dengan saya memanggil saya ustazah, setiap kali berselisih dengan mereka, mereka akan berkata:

"Assalamualaikum ustazah" (saya menjawab sambil dalam hati tersenyum meleret).

Dan kadang kala apabila saya menggantikan guru yang tiada di dalam kelas, saja jer saya menguji mereka membaca ayat-ayat lazim..(sukanya mengenakan mereka). Tak mengapa kerana ini juga sebagai proses untuk mengingatkan diri sendiri.

Hebatnya dugaan mengajar dan mendidik. Banyak sangat anasir-anasir luar yang mudah mempengaruhi mereka ni..cikgu perlu kuat, cikgu perlu tabah dan yang penting cikgu perlu tegas..pernah saya tanya pada pelajar saya,

" Saya ni garang tak?" spontan mereka jawab, "Tidakkkk" ..
Aduhai..rasanya saya pernah marah, pernah buat muka serius (bukan senyum-senyum macam selalu) masih lagi tak garang rupanya, pernah juga ada yang berkata;

"Rendah dan keciknya cikgu ni" (ayat sinonim dengan saya, kecik-kecik cili padi hehehehe)...

Tak mengapa lah, tak garang pun tak apa cuma yang penting bagi saya, apabila saya mengajar, mereka boleh fokus, apabila mendengar suara saya tidak ada yang mengantuk, tidak ada yang tidur dan paling penting kerja yang diberikan siap dan faham apa yang diajar..insyaAllah..saya mahu mereka berjaya..bukan saja di dunia tetapi juga di akhirat..ameenn insyaAllah doa saya sentiasa untuk mereka (*_*)

Kisah di Bulan Ramadhan;

"Ya Allah..sediakan untuk kami sebahagian daripada rahmat-MU yang luas, dan berikanlah kami petunjuk kepada ajaran-ajaran-MU yang terang, dan bimbinglah kami menuju kepada kerelaan-MU yang penuh dengan kecintaan-MU, ameen...."

Ramadhan kedua; tiba-tiba atok sakit..sebelah badan terutama kaki dan tangan tidak boleh bergerak, tekanan daran tinggi mendadak..atok muntah-muntah, diserang angin ahmar. Sepanjang bulan Ramadhan, mak, abah, makcik dan pakcik yang menguruskan atok. Saya akan membantu apabila balik kg hujung minggu.

Dugaan yang menimpa tanda Allah sayang pada kita. Allah mahu menguji sejauh mana tahap kesabaran kita, sejauh mana redhanya kita pada ketentuan Allah. Seminggu sebelum raya, sekolah mula bercuti, maka saya berpeluang menjaga atok. Atok terpaksa solat secara baring, diambilkan wuduk, disuapkan makanana, minuman dan pemakanannnya perlu dikawal. Kadang-kadang menitis airmata melihat keadaan atok tetapi saya cepat-cepat kesat airmata supaya atok tidak turut sedih...

Kisah Hari Lebaran;

Dengan keadaan atok yang tidak mengizinkan dan perlu dijaga sentiasa, hari raya tahun ni disambut secara sederhana. Ramai saudara-mara datang menziarahi atok, dan setiap kali berjumpa saudara-mara sememangnya saya juga tidak terlepas dengan soalan cepu emas dan teka silang kata..(bila...bila lagi ni...dah ada ker..), saya hanya tersenyum sebab tak ada jawapan dan tak tahu jawapannya (kalau yang ditanya ialah soalan akaun, saya boleh jawab sungguh-sungguh hehehhe), cuma dalam hati berkata "InsyaAllah..Allah akan pilihkan untuk saya ..dan pilihan Allah adalah yang terbaik.." (*_*)

Alhamdulillah setelah beberapa kali dihantar berurut, atok boleh menggerakkan kaki dan tangan tetapi masih lemah. Seluruh ahli keluarga tidak putus-putus memberikan semangat kepada atok kerana adakalanya atok seakan-akan patah semangat.

"Atok kena kuat semangat, kena banyak-banyak berdoa, kena yakin kerana semuanya datang daripada Allah.."

Kadang-kadang nampak juga atok sedih. Ramai yang ziarah atok menitiskan aimata. Walau apapun semuanya perlu kuat..sabar..insyaAllah kita akan bersama harungi dugaan ini..

Kata-kata ini saya petik daripada artikel yang pernah saya baca di sini ;

"Semakin tinggi nilai keimanan seseorang itu maka semakin tinggilah tahap ujian dihadapinya. Ini termasuk ujian membabitkan Nabi dan Rasul Allah. Oleh sebab itu kita menyaksikan menjadi sunnah orang beriman untuk diuji dengan ujian yang hebat"

"Sebenarnya, ujian yang kita tempuhi dapat melatih kita untuk memperoleh sifat terpuji. Sabar, reda, tawakal, baik sangka, mengakui diri sebagai hamba yang lemah, mendekatkan diri dengan Allah di samping mengharapkan pertolonganNya, merasai dunia hanya nikmat sementara dan sebagainya"

Saya berdoa semoga kami sekeluarga berjaya mengharungi dugaan dengan sabar, redha dan sentiasa bertawakal kepada Allah..(^_^). Dan sentiasa berdoa semoga atok cepat sembuh seperti sediakala..


Temuilah ketenangan dalam berzikir mengingati Allah kerana zikrullah adalah penawar hati paling mujarab dalam memberi ketenangan jiwa bagi mengubat keresahan diri.

Sabda Rasulullah SAW yg bermaksud:"Zikrullah itu adalah penawar bagi hati."



Hati yang hidup adalah hati yang mengingati Allah. Sesiapa yang mencintai Allah, dia mencintai Islam kerana kehidupan Islam ialah kehidupan yang ditunjuki oleh Allah. SAYA SAYANG ALLAH(^_^)

Doakan saya juga kuat dalam mengharungi liku-liku kehidupan, dan kuat dalam menghadapi dugaan dalam mendidik anak bangsa..

Mari kita sama-sama jaga iman, jaga diri, jaga hati, tingkatkan amal dan takwa kita, insyaAllah....
Moga ukhwahfillah antara kita akan kekal hingga ke syurga, uhibbukum fillah, abadan abada...(^_^)
Indahnya cinta kerana ALLAH.......Sesungguhnya cinta kepada Allah yang kekal abadi.

SELAMAT HARI RAYA...
MAAF ZAHIR DAN BATIN

Daripada;

Nurhuda_cahayapetunjuk (@_@)

sekeluarga


Semoga yang baik itu datangnya daripada Allah S.W.T dan yang buruk itu datangnya daripada kelemahan diri ini jua..

Damba CintaNYA..
Nurhuda_cahayapetunjuk
07 Syawal 1431H /16 September 2010

KeredhaanMu

KeredhaanMu..

بسم الله الرحمن الرحيم
Dengan nama Allah Yang Maha Pemurah lagi Maha Penyayang

Tajuk lagu: KeredhaanMU
Munsyid: Inteam
Sumber lirik: http://www.liriknasyid.com

Ya Allah, Ya Tuhanku

HambaMu merindukan
Rahmat kasih sayangMu
Dan jua keredhaanMu
Dalam hidupku

Meskipun ku ulangi dosa noda
Yang menjanjikan azab sengsara
Namun ku sedari
KeampunanMu tidak bertepi

Ku akui diri ini
Hamba yang mungkir pada janji-janji
Jadikanlah taubat ini yang sejati
PadaMu Ilahi

Ya Allah, ampunkanlah dosa-dosaku
Ya Allah, redhakanlah kehidupanku
Moga terhapus penghijab kalbu
Antara Kau dan aku

Tuhan,
Ku zalimi diri ini
Andai Kau tak ampuni dan rahmati
Alangkah ruginya diri

Tuhan,
Jangan Kau palingkan hati ini
Setelah Kau beri hidayah
Sesungguhnya Kau Maha Pengasih

Lagu : iniAmin / Zamre Khan (Hijjaz Records)
Lirik : iniAmin / Zamre Khan (Hijjaz Records)
Penyusun Muzik : Trabye
Penerbit : Faizal Osman
Hakcipta : Hijjaz Records Sdn. Bhd.

Semoga yang baik itu datangnya daripada Allah S.W.T dan yang buruk itu datangnya daripada kelemahan diri ini jua..

Damba CintaNYA..
Nurhuda_cahayapetunjuk
07 Syawal 1431H / 16 September 2010

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails

YA ALLAH...

YA ALLAH...

INDAHNYA....


I made this widget at MyFlashFetish.com.